SHAH ALAM - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sesuai diperkenalkan semula apabila rakyat sudah mempunyai kemampuan untuk berbelanja. Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sesuai diperkenalkan semula apabila rakyat sudah mempunyai kemampuan untuk berbelanja.

Pakar Ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kerajaan memilih melaksanakan GST kerana ia merupakan langkah paling mudah memandangkan ia telah mempunyai sistem dah pernah diguna pakai sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, pelbagai faktor indikator perlu dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum melaksanakan GST bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan pelaksanaan cukai tersebut.

"GST sesuai (dilaksanakan) apabila rakyat mempunyai keyakinan untuk berbelanja. Maknanya taraf kehidupan rakyat sudah mula meningkat serta pulih seperti sebelum pandemik Covid-19.

"Itu yang kita kena pastikan dahulu. Jika kita belum pulih sepenuhnya, kita tidak mampu berbelanja kerana harga barang makin tinggi.

"Walaupun GST dikenakan, namun tidak semestinya ia menghasilkan kutipan cukai yang diharapkan kerana rakyat sudah tidak mampu berbelanja dengan kuasa membeli semakin berkurang dan gaji kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sinar Live: GST Kembali pada Khamis yang dikendalikan moderator, Hazwan Mokhtar.

Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan perlu mengambil pengajaran bagi memastikan sistem pelaksanaan GST tidak berlaku seperti sebelum ini.

"Penambahbaikan yang perlu kita buat ialah seperti tahun 2018 itu, kita dapati berlakunya situasi yang kita tidak tahu apa yang terjadi kepada duit kutipan cukai itu.

"Dan kita dapati juga wang RM19.3 bilion yang sepatutnya dikembalikan kepada peniaga tidak dilakukan, menyebabkan peniaga juga tertekan kerana tidak mendapat kecairan.

"Maka peniaga meletakkan harga yang tinggi kepada pembeli sebab mereka tidak ada duit,” ujarnya.

Menurutnya, aspek ketelusan serta akauntabiliti amat penting dalam sistem GST bagi memastikan rakyat lebih yakin dengan pelaksanaan inisiatif tersebut.

"Apa yang lebih penting untuk memastikan bahawa kita mampu mengendalikan sistem yang ada ini dengan sebaiknya dan seperti saya beritahu, amanah itu penting.

"Rakyat mengharapkan jika kerajaan melaksanakan GST ini untuk membantu mereka tetapi walaupun hasrat itu bagus, namun disebabkan implementasinya tidak mencapai apa yang diharapkan, maka ia tidak akan memberikan apa-apa manfaat,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca