SHAH ALAM - Para penganalisis politik berpandangan tahun ini adalah masa terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memandangkan mood rakyat ketika ini sangat baik kerana banyak tuntutan mereka telah dipenuhi kerajaan.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Para penganalisis politik berpandangan tahun ini adalah masa terbaik untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memandangkan mood rakyat ketika ini sangat baik kerana banyak tuntutan mereka telah dipenuhi kerajaan.

Penganalisis Politik daripada Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, faktor ekonomi tidak lagi boleh dijadikan alasan menangguhkan pilihan raya memandangkan ia adalah masalah global yang mengambil masa untuk pulih.

Malah katanya, sekarang adalah masa yang sesuai untuk kembali mewujudkan kestabilan politik, dengan mendapatkan mandat penuh daripada rakyat.

"Sekaranglah masa yang sesuai untuk kita bubar Parlimen. Walaupun keadaan ekonomi tidak menentu, tapi sekurang-kurangnya ia tidak menyebabkan kerajaan yang dipilih nanti tidak stabil sehingga merunsingkan rakyat.

"Saya lihat mereka yang tidak mahu Parlimen dibubar sekarang mungkin ada kepentingan politik yang cuba dipertahankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memberi bayangan PRU akan dilaksanakan pada bila-bila masa.

Berucap sempena Konvensyen Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, Rabu lalu Ismail Sabri berkata, kalau BN sudah bersiap sedia beliau tidak akan melewatkan sesaat pun PRU15.

Bagi Penganalisis Politik, Dr Jeniri Amir pula, pilihan raya boleh diadakan ketika parti pemerintah iaitu BN merasakan inilah masa terbaik dan memihak kepada mereka.

Jelasnya, ia bukanlah soal mementingkan diri tetapi soal kemenangan kerana parti pemerintah memerlukan jumlah kerusi yang besar untuk mewujudkan kestabilan politik.

"Pilihan raya bukan dilihat atas satu faktor walaupun tidak dinafikan isu kos sara hidup penting sekarang. Saya fikir, Perdana Menteri juga sedar dapatkah beliau beri jaminan inflasi akan turun dalam tempoh setahun akan datang?

"Sebab itu, lagi cepat kita tangani, lebih bagus. Pelabur tak akan mahu melabur jika kita tidak selesaikan ketidaktentuan politik ini,” jelasnya.

Penganalisis Politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Md Shukri Shuib turut senada dan menyatakan inilah masa yang sesuai iaitu ketika parti pemerintah boleh menang pilihan raya.

Ujarnya, walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa eksklusif untuk menentukan tarikh pilihan raya, tetapi bagi parti, tarikh yang sesuai adalah ketika peluang untuk menang lebih besar.

"Jika momentum sekarang berpihak kepada BN, pilihan raya perlu diadakan sekarang. Sebab itu saya rasakan ia akan menjadi pilihan raya rundingan, yang mana walaupun Perdana Menteri mempunyai kuasa, tetapi beliau perlu mendapat ‘restu’ daripada pimpinan parti,” ujar beliau.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib pula berkata, pembubaran Parlimen hanya akan berlaku atas nasihat Perdana Menteri dan dipersetujui oleh Parlimen.

Ini bermakna, ujarnya, ia adalah sebuah keputusan kolektif oleh semua ahli Parlimen.

"Saya rasa Perdana Menteri mahu menunggu sehingga tempoh matang lima tahun untuk mengadakan PRU15. Kaedah atau proses PRU15 adalah pembubaran Parlimen, sesuai peruntukan Perlembagaan.

"Petunjuk lain hanya boleh dilihat sebagai penambah rasa seperti keadaan ekonomi dan inflasi.

"Lebih baik buat PRU15 sekarang daripada menunggu lebih lama, atau lebih baik tunggu dulu, sehingga ada jalan penyelesaian kepada keadaan inflasi untuk rakyat yakin kepada kerajaan. Ini adalah strategi untuk memancing undi,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca