SHAH ALAM - Pakar ekonomi mencadangkan kerajaan mewujudkan pangkalan data B40 yang bersifat dinamik untuk memastikan bantuan yang mahu disalurkan benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, teknologi komunikasi dan maklumat perlu digunakan bagi memastikan pangkalan data itu sentiasa dikemaskini setiap masa.
"Sekarang ini, data B40 kita bersifat statik kerana jumlah golongan B40 tidak sentiasa dikemaskini hingga angkanya dalam tempoh setahun kita tak nampak ada perubahan.
"Kalau pangkalan data bersifat dinamik, kerajaan akan peroleh jumlah sebenar B40 dari masa ke masa dan ia akan dapat pastikan tiada B40 yang akan tercicir daripada menerima bantuan.
"Ini kerana, status golongan berkenaan juga berubah mengikut keadaan, misalnya hari ini seseorang itu dikategorikan sebagai M40 tapi esoknya kalau dia hilang kerja atau dipotong gaji, dia dah turun ke B40,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu mengumumkan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi kepada penternak ayam berjumlah RM720 juta sebulan bermula 1 Julai ini.
Subsidi tersebut akan disalurkan kepada rakyat Malaysia yang terkesan seperti golongan B40 susulan kenaikan harga barangan termasuk ayam.
Madeline menambah, pada masa sama kerajaan juga boleh menyalurkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian seperti beras, gula serta tepung gandum dan bukan semata-mata dalam bentuk agihan wang tunai.
Katanya, pemberian bantuan tunai semata-mata hanya akan menaikkan harga barangan keperluan yang lain kerana sikap segelintir peniaga yang mengambil kesempatan.
Klik di sini untuk terus membaca