SHAH ALAM - Faktor perolehan aset bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) antara kekangan terbesar yang perlu diberi fokus bagi memperkasakan kekuatan tentera udara di negara ini.
Penganalisis pertahanan dan geostrategik, Muhammad Fuad Mat Noor berkata, perkara tersebut boleh menyebabkan kemampuan TUDM dari segi pertahanan negara terbantut sekiranya ia berterusan.
"Bila kita sebut mempertingkatkan keupayaan, kadang-kadang perkara pertama yang datang di minda rakyat adalah perolehan aset-aset terkini yang lebih baik dan canggih, yang dapat dioperasikan oleh keanggotaan TUDM dengan optimum.
"Tetapi kita tengok kebelakangan ini banyak perolehan–perolehan ini menghadapi masalah, bukan masalah dari segi teknikal tetapi lebih kepada (pelaksanaan) program itu sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Mengulas lanjut, Muhammad Fuad berkata, masalah pelaksanaan program itu melibatkan pembinaan teknologi serta industri itu sendiri.
"Kita tidak boleh menunding jari kepada TUDM semata-mata, kerana saya rasa kemampuan keanggotaan yang dipamerkan oleh tentera udara itu cukup baik.
"Cuma masalahnya adalah penggunaan aset yang melibatkan agensi-agensi lain, pengeluaran bajet serta banyak perkara lagi,” ujarnya.
Menurutnya, TUDM tidak mempunyai masalah dari segi kepakaran serta kemahiran dalam mengendalikan sebarang aset dengan baik meskipun ia datang daripada negara-negara luar.
"Kalau kita tengok sejarah kita, TUDM mengoperasikan pesawat F18 Hornet, MIG-29N dan juga Sukhoi Su-30MKM.
"Juruterbang-juruterbang TUDM ini dapat mengoperasi pesawat-pesawat dengan baik walaupun ia datang daripada negara barat atau timur seperti Rusia,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca