SHAH ALAM - Membangunkan aplikasi dalam talian merupakan taktik terbaharu sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ah long untuk menarik orang ramai.
Kaedah terbaharu itu dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak setahun lalu.
Menerusi kaedah tersebut, ah long kini tidak lagi menggunakan cara menyimbah cat di kediaman atau mengugut mangsa secara fizikal bagi menakutkan peminjam, sebaliknya beralih kepada taktik memalukan peminjam melalui kenalan dan keluarga terdekat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Kamarudin Md Din berkata, untuk menarik orang ramai, sindiket akan mengiklankan tawaran pinjaman menerusi media sosial seperti Facebook dan Google.
"Mangsa diminta untuk memuat turun aplikasi pinjaman yang menggunakan pelbagai nama melalui Play Store (untuk pengguna Android) dan App Store (untuk pengguna iPhone) bagi tujuan proses pinjaman.
"Semasa aplikasi tersebut dimuat turun, mangsa perlu menekan butang yang membenarkan sindiket mengakses lokasi, fail-fail, rekod audio, media, gambar, video dan senarai nombor telefon kenalan yang ada di dalam telefon bimbit mangsa,” kata beliau.
Menurutnya, selepas selesai memuat turun aplikasi tersebut, peminjam dikehendaki mengisi butiran maklumat diri dan memuat naik gambar kad pengenalan serta dokumen peribadi.
"Sindiket kemudian akan memasukkan wang pinjaman ke dalam akaun bank mangsa.
"Bagaimanapun, sekiranya mangsa gagal membuat bayaran seperti ditetapkan, sindiket akan memalukan peminjam dengan menghubungi rakan-rakan dan keluarganya serta menyebarkan gambar mangsa yang telah diconteng sebagai penipu,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Sehubungan itu, Kamarudin berkata, polis kini mengambil tindakan sewajarnya serta memantau kaedah terkini yang digunakan ah long dalam memerangkap mangsa.
"Daripada siasatan kes ah long yang dilaporkan, sebanyak 14 kes melibatkan modus operandi sebegini.
"Sehingga kini, polis berjaya menumpaskan 45 kumpulan sindiket ah long dan berjaya menyelesaikan 112 kertas siasatan yang dibuka daripada tangkapan tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata, pihak polis mengambil langkah proaktif dalam membanteras kegiatan ah long daripada terus berleluasa.
"Polis telah mengambil tindakan tegas dengan melancarkan operasi besar-besaran bagi mencegah kegiatan ah long di seluruh kontinjen.
"Orang ramai juga diingatkan agar tidak sesekali meminjam daripada ah long.
"Harus diingat, sindiket ini mempunyai elemen gangsterisme dan menjalankan perniagaan pinjaman secara haram dan tidak dikawal selia oleh undang-undang.
"Mangsa yang terlibat tidak terlindung jika tindakan ah long melampaui batasannya,” ujar beliau.
Tambahnya, orang ramai turut diingatkan agar tidak sesekali memuat turun mana-mana aplikasi pinjaman di dalam Play Store atau App Store.
"Tindakan ini akan menyebabkan maklumat diri dan keluarga anda diambil oleh ah long. Jangan sesekali serahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan kata laluan akaun bank kepada ah long.
"Faedah atau bunga yang dikenakan oleh ah long adalah terlalu tinggi dan tidak munasabah. Hampir kesemua mangsa menghadapi masalah untuk menyelesaikan hutangnya,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca