SHAH ALAM - Kecewa dan rasa seolah-olah dikhianati oleh rakan sendiri.
Itu yang dirasakan seorang pegawai pemasaran sebuah syarikat swasta yang ingin dikenali sebagai Burhanuddin, 28, ketika dihubungi sindiket pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ah long pada 24 Mei lalu.
Menurutnya, sindiket berkenaan memberitahu bahawa nombornya telah diletakkan dalam senarai ‘hubungan kecemasan’ berikutan salah seorang rakannya membuat pinjaman wang.
Burhanuddin berkata, dia terkejut kerana langsung tidak tahu-menahu pinjaman yang dibuat rakannya itu.
"Saya amat terkejut ketika mendapat mesej melalui aplikasi WhatsApp yang mendakwa daripada syarikat pengutip hutang. Dia beritahu, rakan saya telah berhutang dengannya sambil menunjukkan bukti gambar kawan saya memegang kad pengenalannya.
"Saya kemudian diminta menghubungi sindiket tersebut secepat mungkin sekiranya mengenali rakan tersebut. Sindiket itu juga mengugut untuk menyebarkan gambar dan video tidak senonoh sekiranya enggan berbuat demikian.
"Pada awalnya, saya anggap ia hanyalah panggilan scam, lalu segera menyekat nombor itu dan memadam mesejnya,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Burhanuddin bagaimanapun berkata, bukan hanya dia seorang sahaja yang menerima mesej tersebut, sebaliknya ramai lagi kenalan lain turut terlibat angkara rakan yang sama.
"Orang lain ada juga membuat hantaran di Facebook mengenai kawan saya ini. Rupanya ramai juga yang kena macam saya. Sampai dua tiga ah long cari,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad Sani, 50, berkata, sindiket ah long kini menggunakan modus operandi lebih canggih apabila boleh mendapatkan senarai nombor telefon kenalan yang disimpan dalam telefon bimbit peminjam.
Menurutnya, ah long kemudian akan menghantar mesej kepada semua senarai kenalan yang ada untuk memaklumkan bahawa peminjam belum melunaskan hutangnya.
"Katakan kalau ada 200 nombor, 200 oranglah dia akan hantar mesej yang sama. Tujuannya nak beritahu kepada kenalan peminjam bahawa dia telah meminjam wang daripada ah long,” jelasnya.
Menurutnya, sebelum ini terdapat ah long menghubunginya memaksa melunaskan hutang yang dibuat seorang lelaki yang mendakwa anaknya.
Sedangkan, katanya, lelaki tersebut bukanlah anaknya tetapi orang lain.
Turut mengalami pengalaman sama, Shuhaimi Saad, 48, yang mendedahkan dia dihubungi dua orang ah long berlainan syarikat pada pertengahan April lalu.
Shuhaimi berkata, dia dimaklumkan anak saudara lelakinya berusia sekitar 30-an gagal membayar hutang yang dipinjam daripada ah long.
Juruteknik yang berasal dari Batu Gajah, Perak itu terkejut dan hairan bagaimana sindiket pinjaman berkenaan mengetahui nombor telefonnya.
"Setelah diselidik, rupa-rupanya ramai lagi penduduk kampung yang menerima panggilan daripada ah long dengan peminjam yang sama,” ujarnya.
Bimbang akan keselamatan diri dan ahli keluarganya, bapa kepada dua orang anak itu membuat laporan polis.
Klik di sini untuk terus membaca