SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada menerima aduan berkaitan modus operandi terbaharu pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ah long iaitu menggunakan aplikasi. Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, aplikasi... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) ada menerima aduan berkaitan modus operandi terbaharu pemberi pinjam wang tidak berlesen atau ah long iaitu menggunakan aplikasi.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, aplikasi tersebut mempermudahkan ah long mendapatkan akses secara terus kepada nombor kenalan peminjam yang dijadikan sebagai jaminan sekiranya gagal melunaskan bayaran ditetapkan.

Malah, katanya, sindiket juga didapati memperdayakan peminjam dengan mengugut dan menakut-nakutkannya sehingga mangsa menyerahkan gambar lucah sendiri kepada ah long.

Bagaimanapun, katanya, PPIM sukar untuk membantu mangsa menerusi modus operandi baharu tersebut.

"Kita masih tidak nampak jalan lagi sebenarnya, sebab bukan mudah. Ah long ini tidak akan layan kalau kita cuba berhubung dengannya. Sekarang ini kita macam dalam zaman ‘kegelapan’ sedikit berkaitan dengan aplikasi sebab kita tidak mempunyai akses.

"Kalau dulu dia keluar (ugut peminjam secara fizikal), kita ada kesempatan untuk berdepan dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Untuk menangani masalah itu, Nadzim berkata, pihak berkaitan perlu mencari jalan memberikan kesedaran kepada masyarakat agar tidak menggunakan aplikasi tersebut.

Selain itu, katanya, dasar baharu juga seharusnya diperkenalkan kerajaan bagi membolehkan kerahsiaan data peribadi orang ramai dapat ditingkatkan.

PPIM menerusi Facebooknya turut mengeluarkan senarai hampir 50 aplikasi yang didakwa menawarkan pinjaman secara mudah seperti ah long.

Klik di sini untuk terus membaca