TAUFAN Katrina yang membadai New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat telah menyebabkan kerosakan dahsyat dalam sejarah negara tersebut. Pasti ramai yang masih ingat tragedi Ogos 2005 apabila taufan Katrina kategori 5 membadai New Orleans... Klik di sini untuk terus membaca

TAUFAN Katrina yang membadai New Orleans, Louisiana, Amerika Syarikat telah menyebabkan kerosakan dahsyat dalam sejarah negara tersebut.

Pasti ramai yang masih ingat tragedi Ogos 2005 apabila taufan Katrina kategori 5 membadai New Orleans menyebabkan 80 peratus bandar itu ditenggelami air.

Kadar kerosakan melepasi AS$100 bilion (RM443 bilion). Katrina menghadiahkan `ibu segala malapetaka’ dalam sejarah Amerika. Sehingga kini, selepas 17 tahun menangisi musibah terhebat, warga New Orleans masih menangisi kisah sedih bermula 26 Ogos 2005 itu. Sehingga kini New Orleans masih merasakan kesan taufan Katrina.

Penulis terpanggil untuk menulis tentang taufan Katrina yang menyebabkan banjir besar di New Orleans apabila minggu lalu beberapa kawasan utama di Kuala Lumpur dilanda banjir kilat.

Insiden banjir kilat ini masih berlaku dan seolah-olah tiada pengajaran yang dipelajari daripada Taman Sri Muda serta beberapa kawasan di Shah Alam, Selangor.

Penulis percaya Taman Sri Muda dan beberapa kawasan di Shah Alam umpama `bom perangkap’ yang bakal berdepan ancaman banjir besar pada bila-bila masa sahaja. Sekiranya hujan berterusan selama beberapa hari di Taman Sri Muda, ia akan sekali lagi menjadi `lautan perangkap’ yang pasti memberi kesan begitu pahit kepada penduduk di taman berkenaan.

New Orleans bekerja keras untuk mengembalikan keindahan bandaraya tersebut yang pernah satu ketika digelar `Bandaraya Blues dan Jazz’.

Khabarnya, New Orleans masih bergelut dengan kisah seksaan taufan Katrina. Nasib New Orleans sangat baik kerana semua pihak bekerjasama demi New Orleans yang lebih makmur.

GUNA AI TANGANI BANJIR

Misalnya, Pasukan Kor Jurutera Tentera Louisiana mencipta dan menguji sistem perlindungan dilengkapi tambak kukuh, sistem pintu air dan beberapa sistem perlindungan efisien untuk menghadapi sebarang kemungkinan taufan.

Sistem lingkaran tambak sepanjang lebih 200 kilometer direka bentuk untuk menahan gelombang ribut melebihi ketinggian 9 meter (30 kaki) di sekitar New Orleans dan pinggir bandar di tiga kariah atau parishes di kawasan berdekatan.

Gabenor New Orleans, John Bel Edwards menegaskan pembangunan tersebut demi kepentingan awam.

Malangnya untuk penduduk Taman Sri Muda dan kawasan berdekatannya. Sehingga kini, belum ada pengesahan sama ada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menggunakan artificial intelligent atau kercerdasan buatan (AI) untuk menangani tragedi lautan perangkap yang melanda kawasan berkenaan.

Sebelum ini, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor menegaskan MBSA akan menggunakan AI sebagai usaha terbaharu untuk menangani permasalahan banjir lautan perangkap di Taman Sri Muda dan kawasan berdekatannya.

Penulis percaya Zamani sedang berusaha keras memastikan cadangan dipersetujui semua pihak.

Apa yang berlaku di New Orleans ialah banjir bertakung berminggu-minggu lamanya. Insiden serupa boleh terjadi di Taman Sri Muda. MBSA harus segera berani mengambil tindakan drastik bagi mengatasi banjir lautan perangkap di Taman Sri Muda dan kawasan berdekatannya.

Penulis percaya cadangan sistem penyelesaian, pengawasan dan pengawalan banjir, lalu lintas serta pengurusan harta benda semua pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memiliki blueprint projek pemulihan banjir bagi mengelak berulangnya tragedi lautan perangkap Taman Sri Muda.

Sebenarnya ALLAH SWT telah mengingatkan kesan musibah yang dashyat menerusi Surah al-Baqarah ayat [2:155-157] bermaksud "Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan; Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar (iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan ALLAH dan kepada ALLAH jualah kami kembali”; Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat daripada Tuhan mereka, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.”

Hakikatnya, malapetaka boleh datang bila-bila masa. PBT perlu sentiasa mencari petunjuk dan pengajaran daripada apa yang berlaku termasuk tragedi lautan perangkap di Taman Sri Muda, bagi mempersiapkan diri, bermuhasabah dan berusaha mencari jalan penyelesaian untuk melindungi keluarga serta harta benda daripada sebarang musibah.

Tragedi di New Orleans, Kuala Lumpur dan Taman Sri Muda memberi pengajaran kepada manusia sebagai khalifah ALLAH yang dilantik untuk menguruskan bumi dengan nilai-nilai integriti dan etika tinggi dengan menerapkan pemahaman serta penghayatan menerusi sumber rujukan komprehensif.

Penulis mendesak semua PBT termasuk MBSA agar tidak lagi menangguhkan sebarang perancangan untuk mengatasi permasalahan banjir yang boleh berlaku secara tiba-tiba dan pada bila-bila masa. Ketepikan perasaan negatif dan sikap berkepentingan demi membantu mengatasi masalah banjir.

Kesimpulannya lebih baik cegah sebelum parah. Jangan tunggu sehingga 17 tahun untuk atasi masalah banjir demi mempertahankan bumi indah ini.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca