PAK Cik Kamil dan Pak Cik Mustafa dan Siti Aisyah adalah antara nama yang kerap lalu lalang di media sosial kebelakangan ini. Pak Cik Kamil atau Md Kamil Abdullah, 64, ialah seorang bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh,... Klik di sini untuk terus membaca

PAK Cik Kamil dan Pak Cik Mustafa dan Siti Aisyah adalah antara nama yang kerap lalu lalang di media sosial kebelakangan ini.

Pak Cik Kamil atau Md Kamil Abdullah, 64, ialah seorang bekas tentera dari Kampung Padang Pak Amat, Pasir Puteh, Kelantan. Namanya menjadi viral kerana menjual roti canai 50 sen sekeping selama 34 tahun iaitu sejak 1988.

Menurut Md Kamil, dia berniat untuk mengekalkan harga sebagai tanda perkongsian rezeki bersama penduduk setempat.

"Lagipun ini merupakan salah satu usaha saya bersama keluarga mengumpul saham akhirat,” katanya.

Di Melaka, peniaga roti canai Mustafa Abd Latif, 58, sudah biasa mendengar pelanggan mengatakan dirinya gila kerana menjual roti canai 50 sen sekeping.

Ketika harga barang melambung, Mustafa yang berniaga sejak 11 tahun lalu di warungnya di Bukit Pulau, Bukit Katil, masih menjual roti canai kosong 50 sen manakala roti telur serta roti planta masing-masing RM1 sekeping.

Rata-rata di restoran biasa harga roti canai kosong adalah tiga kali ganda iaitu RM1.50 sekeping.

Kita tahu banyak mana sangatlah untung menjual roti canai 50 sen. Katalah sekilogram tepung boleh dapat 20 keping roti canai atau RM10.

Namun harga tepung gandum sekarang sekitar RM3.30, itu belum ambil kira kos minyak dan gas memasak. Untungnya amat tipis, silap-silap rugi.

Namun bak kata Mustafa, niat dia berniaga bukan mahu menjadi kaya, tetapi bersedekah agar pahalanya mengalir kepada arwah ibu bapanya.

Asalkan keluarganya senang sedikit sudah memadai dan akan sentiasa ada rezeki, katanya.

MULIANYA HATI PENJUAL NASI LEMAK

Siti Aisyah Othman, 32, pula ialah seorang peniaga nasi lemak di Skudai, Johor. Seperti Pak Kamil dan Pak Mustafa, Siti Aisyah menjual nasi lemak pada harga murah.

Sebungkus nasi lemak dijual pada harga RM1, lengkap dengan sambal, timun, kacang, ikan bilis dan telur rebus dibelah empat. Mana nak cari nasi lemak semurah itu di Lembah Klang sekarang?

Sudahlah murah, dia juga bermurah hati memberikan nasi lemak percuma kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai yang tidak berkemampuan.

Menurut cerita, kesusahan hidup ketika menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor, pada 2010 sehingga terpaksa berhenti belajar akibat kekangan kewangan mendorong peniaga nasi lemak itu untuk memberi makanan percuma kepada penuntut.

Mustafa, Kamil dan Siti Aisyah ini hanyalah peniaga kecil tetapi berjiwa besar. Mereka menjadi inspirasi dan contoh kepada semua peniaga, yang perniagaan bukan mengejar untung dan rugi semata-mata namun bagaimana memberi manfaat kepada orang lain.

Tiada siapa yang berniaga mahu rugi, tetapi masih ada jalan lain untuk dapat untung. Peniaga warung roti canai mungkin boleh dapat duit lebih menerusi jualan air minuman.

Sebenarnya ada ramai lagi rakyat Malaysia seperti mereka bertiga. Pandemik Covid-19 telah menonjolkan kemurahan hati rakyat Malaysia.

Saya juga teringatkan cerita mengenai seorang pemilik rumah sewa yang mahu untung dunia akhirat sekali gus. Caranya, dia menetapkan kadar sewa RM700 sebulan, tak boleh kurang seringgit pun kalau tawar-menawar.

Tetapi apabila tiba hari untuk membayar sewa, dia hanya minta RM500, baki RM200 lagi dianggap sedekah kepada si penyewa rumah.

Mereka semua ialah orang biasa yang berjiwa besar di negara kita.

* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca