ANGGOTA-anggota tentera penjajah Israel didapati menggunakan semula taktik yang menyalahi undang-undang antarabangsa apabila menjadikan penduduk Palestin sebagai perisai manusia.
Penggunaan penduduk Palestin dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sebagai perisai manusia tentera Zionis didapati berlaku lagi sejak awal bulan lalu.
Tindakan tentera rejim Zionis menjadikan kanak-kamak dan remaja Palestin sebagai perisai manusia telah direkodkan oleh sebuah pertubuhan iaitu Pembela Hak-Hak Asasi Kanak-Kanak Antarabangsa - Palestin (DCIP).
Baru-baru ini, pertubuhan itu mendedahkan bahawa pasukan keselamatan rejim Zionis menggunakan seorang gadis Palestin yang berusia 16 tahun sebagai perisai manusia dengan mengarahkannya berdiri di hadapan kenderaan tentera Israel di Jenin, Tebing Barat pada bulan lalu.
Gadis itu, Ahed Mohammad Rida Mereb diarah berdiri selama dua jam di luar kenderaan tentera Israel semasa askar-askar rejim Zionis berada di dalamnya.
Ia bertujuan untuk menghentikan kejadian berbalas tembakan sekumpulan pejuang Palestin dengan askar-askar Israel.
Ketika itu, abang Ahed yang berusia 20 tahun berada di dalam sebuah rumah milik keluarga Ahed yang juga seorang pejuang Palestin.
Arahan supaya dia berdiri itu dibuat dari tingkap kenderaan tentera Israel.
Gadis itu diarah berdiri selepas kenderaan tentera tersebut dihujani dengan berdas-das tembakan daripada para pejuang Palestin.
Selepas tidak tahan dengan bunyi tembakan, dia berlari ke arah pokok berhampiran sebelum rebah di atas tanah, kata DCIP.
Tentera Israel menangkap abangnya manakala penduduk di kejiranannya menyatakan menerusi media sosial bahawa dia digunakan sebagai perisai manusia oleh tentera Israel.
TEKANAN MENTAL
Tindakan itu menyebabkan lelaki-lelaki bersenjata Palestin tersebut berhenti menembak ke arah kenderaan tentera Israel.
Ahed telah dipindahkan dengan kenderaan persendirian ke Hospital Jenin dan dirawat kerana tekanan mental dan mengalami kekurangan oksigen yang teruk.
Sebelum itu, seorang remaja Palestin, Nidal Abu Mukhsan yang berumur 19 tahun telah terkorban ketika dia digunakan sebagai perisai manusia dengan kumpulan hak-hak asasi manusia menganggapnya kejadian itu sebagai kesalahan Israel.
Sejak tahun 2000 lagi, DCIP telah mendokumenkan sekurang-kurangnya 26 kes yang melibatkan kanak-kanak Palestin yang digunakan sebagai perisai manusia oleh tentera rejim Zionis.
Tentera Israel juga pernah menggunakan penduduk Palestin sebagai perisai manusia ketika melakukan pencerobohan ke atas Gaza pada tahun 2000an.
Namun, tiada badan atau organisasi antarabangsa yang mengadu bahawa para pejuang Palestin telah menggunakan penduduk Palestin sebagai perisai manusia.
Pada tahun 2009, bekas-bekas askar Israel telah membuat pengakuan bahawa semasa Perang Gaza meletus, anggota-anggota tentera rejim Zionis dibenarkan untuk menggunakan taktik perisai manusia.
Amalan menggunakan penduduk awam sebagai perisai manusia telah diharamkan di bawah undang-undang antarabangsa pada tahun 2005.
Namun, bukti-bukti menunjukkan Israel menggunakan taktik perisai manusia dengan sewenang-wenangnya di Palestin.
KONFLIK
Seorang profesor undang-undang antarabangsa dan hak-hak asasi manusia di Queen Mary University of London, Meve Gordon pernah menyatakan bahawa pegawai-pegawai Israel pernah menganggap bahawa semua penduduk Palestin di Gaza adalah perisai manusia kerana Hamas dan para pejuang Palestin lain berperang dari kawasan bandar.
Rejim Zionis sering mendakwa bahawa para pejuang Palestin menggunakan orang awam sebagai perisai manusia terutamanya semasa konflik antara Gaza dan Israel tetapi tiada bukti yang menunjukkan nahawa ia benar-benar berlalu.
Sebaliknya apa yang berlaku adalah tentera Israel menggunakan penduduk Palestin sebagai perisai manusia.
Ini diperkukuhkan lagi dengan kenyataan Ayed Abu Eqtaish iaitu Pengarah Program Akauntabiliti DCIP baru-baru ini bahawa pasukan keselamatan Israel dengan sengaja meletakkan kanak-kanak dalam bahaya besar dengan menjadikan mereka sebagai perisai manusia. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca