KERAJAAN tidak perlu tergesa-gesa 'menari ikut rentak' sesetengah pemimpin dan parti politik supaya Parlimen dibubarkan secepat mungkin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, dalam masa terdekat. Ini kerana apa yang... Klik di sini untuk terus membaca

KERAJAAN tidak perlu tergesa-gesa 'menari ikut rentak' sesetengah pemimpin dan parti politik supaya Parlimen dibubarkan secepat mungkin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, dalam masa terdekat.

Ini kerana apa yang paling penting bagi kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sekarang adalah memberi tumpuan 100 peratus kepada mengawal kenaikkan harga barang dan impak inflasi yang menyebabkan kos sara hidup rakyat semakin meningkat saban hari.

Kerajaan sedia ada juga perlu mendapatkan pandangan penjawat awam sama ada sekarang adalah masa sesuai atau tidak diadakan PRU15 kerana mereka pelaksana dasar dan penentu proses peralihan kuasa selepas pilihan raya nanti berjalan lancar atau sebaliknya.

Penganalisis politik merangkap Pengerusi Majlis Negara (MPN) Profesor Ulung, Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, menegaskan sekarang adalah bukan masa sesuai untuk Perdana Menteri membubarkan Parlimen kerana rakyat hidup dalam kesusahan dan menderita kesan daripada kenaikkan harga barang dan peningkatan kadar inflasi akibat pandemik Covid-19 dan krisis bekalan makanan.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu juga, berpandangan bahawa pemimpin parti politik yang mendesak kerajaan supaya membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 secepat mungkin adalah terdiri daripada golongan mementingkan diri sendiri dan tidak mempedulikan masalah serta kesengsaraan sedang dihadapi rakyat sekarang.

DR SHAMSUL AMRI

"Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP mahu PRU15 diadakan secepat mungkin kerana mereka kecewa (selepas dijatuhkan pada Februari 2020) dan mahu kembali berkuasa. Bagaimanapun, mereka sukar untuk kembali berkuasa kerana PH kini berpecah, PKR pun sudah berpecah dan lemah.

"Oleh itu, kebanyakan desakan untuk mempercepatkan PRU15 ini datang daripada parti berasaskan kaum Melayu/Islam terutama UMNO yang merasakan diri mereka kini kembali kuat. Desakan UMNO ini mungkin berkait rapat dengan kes mahkamah dihadapi oleh pemimpin tertinggi terutamanya Kluster Mahkamah.

"Justeru, untuk menenang dan mengalih isu maka diadakan Perhimpunan Khas bagi menangguhkan pemilihan UMNO sehingga enam bulan selepas PRU15 nanti," katanya kepada Sinar Premium, pada Khamis.

Shamsul Amri berkata demikian ketika mengulas amaran diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, supaya kerajaan mempercepatkan PRU15 jika BN tidak mahu mengambil 'risiko besar' akan kalah teruk jika pilihan raya ditangguhkan untuk tempoh lebih lama.

"Pada saya ada perkara lebih penting patut diutamakan kerajaan sekarang terutama kesusahan dan penderitaan dihadapi oleh rakyat yang harus difikirkan semua pihak. Ahli politik dan pemimpin kerajaan jangan hanya fikirkan perut sendiri sahaja, itulah saya risaukan.

"Kerajaan juga perlu mengambil kira pandangan wakil kesatuan sekerja terutamanya penjawat awam yang memastikan proses peralihan kuasa dan pertadbiran sama ada daripada kerajaan BN ke PH, PH kepada PN dan kerajaan hari ini berjalan lancar sebelum membuat keputusan mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15, dalam masa terdekat," kata Shamsul Amri.

TIDAK SESUAI

Sementara itu, pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Univesiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, PRU15 tidak sesuai diadakan dalam masa terdekat kerana kerajaan sepatutnya memberi fokus kepada usaha menangani pelbagai masalah yang menghimpit kehidupan rakyat terutama kenaikan harga barang.

Biarpun pandemik Covid-19 sudah hampir ke penghujung dan Malaysia kini berada di endemik sekarang, namun Mazlan berkata, kesan daripada penularan wabak berkenaan masih lagi ketara termasuk pertumbuhan ekonomi yang perlahan dan kejatuhan nilai Malaysia Ringgit (MYR) berbanding Dollar Amerika Syarikat (USD) yang memberikan tekanan amat besar kepada rakyat sehingga mengakibatkan peningkatan harga barang terutama diimport dari luar negara.

Untuk rekod Malaysia amat bergantung kepada produk dan bahan makanan import yang mencecah RM55 bilion setahun, selain berlaku peningkatan harga barang seperti minyak masak, tepung gandum berikutan kekurangan bekalan di pasaran tempatan, kenaikan harga ayam dan sayur-sayuran.

DR MAZLAN

"Berikutan itu, bagi saya kerajaan Ismail Sabri sekarang memberikan fokus sepenuhnya kepada usaha menyelesaikan isu rakyat seperti kenaikan harga barang dan menangani masalah peningkatan kos sara hidup dahulu. Kerajaan sedia ada masih mempunyai tempoh kira-kira sebelum tempoh Parlimen matang pada Mei 2023.

"Jadi saya berpandangan bahawa tiada keperluan mendesak untuk kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk mengadakan PRU15 sekarang. Malah, kalau kita lihat biarpun BN menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini, namun kemenangan mereka adalah kerana faktor kemerosotan jumlah rakyat yang keluar mengundi dan undi popular diperoleh lebih kurang sama dengan PRU14 lalu.

"Oleh itu, secara asasnya tiada pertambahan jumlah sokongan pengundi kepada BN dan jika kita mahu bandingkan situasi semasa PRN dan PRU amat berbeza. Malah, saya yakin jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat BN/UMNO tidak mampu menang 90 kerusi seperti dicanangkan mereka, sebelum ini," katanya.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, antara faktor mempengaruhi kemenangan BN termasuklah perubahan pola pengundi, pertambahan pengundi baharu berikutan pelaksanaan undi-18 dan pendaftaran pengundi secara automatik.

"Tindakan kerajaan pimpinan Ismail Sabri yang mahu mengembalikan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga mungkin memberikan kesan buruk kepada sokongan rakyat kepada BN pada PRU15 nanti.

"Kenyataan itu bukan hanya tidak menyenangkan rakyat, malah mungkin mereka akan menunjukkan bantahan mereka kepada BN pada PRU15 nanti," katanya.

PEMBANGKANG LEMAH

Bagaimanapun, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, pula menegaskan BN mahu Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 secepat mungkin kerana PH dan PN sekarang dalam keadaan lemah, berpecah.

DR AWANG AZMAN

Beliau berkata, sebagai contoh ada antara parti dalam PH terutama PKR dan DAP enggan menerima pembentukan jajaran politik baharu disertai Parti Pejuang Tanah Air kerana pengerusinya ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, manakala ada juga pemimpin pembangkang terutama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli menolak 'khemah besar'.

Justeru, Awang Azman berkata, ramai pemimpin UMNO/BN melihat perpecahan dan kelemahan dalam kalangan parti dan pemimpin pembangkang terbabit memberi kelebihan besar kepada mereka untuk meraih kemenangan bergaya jika PRU15 diadakan dalam masa terdekat.

"Ini adalah satu peluang besar yang perlu direbut BN/UMNO kerana jika PRU15 diadakan dalam tempoh lebih beberapa bulan lagi mungkin kesatuan antara parti pembangkang dan PN mungkin menjadi lebih kukuh sekaligus menjejaskan peluang untuk menang. Itulah sebab kenapa BN mahu mengadakan PRU15 cepat.

"Bagi PH dan PN pula mereka menolak PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana mereka belum bersedia dan mungkin akan tewas banyak kerusi," katanya.

Dalam pada itu, Awang Azman berpendapat, kebanyakan pemimpin PN pula menolak cadangan PRU15 diadakan secepat mungkin kerana mereka tidak mahu kehilangan kerusi sebagai Menteri atau Timbalan Menteri dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) disandang ketika ini.

"Umpamanya ramai pemimpin Pas yang sudah berpuluh tahun tidak pernah menjadi Menteri Kabinet, sejak 1978... Jadi mereka tidak mahu Parlimen dibubarkan dalam masa terdekat. Jika Parlimen dibubarkan hari ini dan PRU15 diadakan kelak belum tentu mereka dapat jadi sebahagian daripada kerajaan dan anggota Kabinet nanti.

"Ini kerana belum tentu pemimpin Pas berkenaan akan menang dan kembali menjadi sebahagian daripada parti gabungan membentuk kerajaan," katanya.

Ditanya sama ada kerajaan wajar menangguhkan PRU15 sehingga masalah kenaikan harga barang dan inflasi menurun, Awang Azman berkata, perkara berkenaan adalah terlalu subjektif kerana ia adalah masalah global dan tiada jangka masa tertentu.

Klik di sini untuk terus membaca