SHAH ALAM - Kemunculan semula Rafizi Ramli dalam pentas politik tanah air bukti ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahukan satu perubahan dalam kepimpinan parti.
Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Sidek berkata, gandingan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Rafizi Ramli memperlihatkan ahli sudah membuat pilihan dan pilihan itu harus dihormati
"Kemenangan ini baik di sebelah Rafizi atau pun Anwar membawa satu isyarat jelas bahawa ahli-ahli di seluruh negara mahukan perubahan.
"Begitu juga dengan kemenangan dua menteri besar yang menjadi naib presiden, jadi kita nak lihat bagaimana figura-figura penting ini mengemudi parti dan membawa kelebihan untuk membawa pembaharuan dalam parti untuk terus ke hadapan,” katanya pada program Wacana Sinar Harian edisi ke-350 bertajuk ‘Mampukan Anwar, Rafizi Pulihkan PKR’ yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Wacana itu turut menampilkan Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dan Pemerhati Politik, Iswardy Morni manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, apa yang penting PKR mempunyai keberanian untuk membuat pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) sekali gus membuktikan parti ini mementingkan suara akar umbinya
"Saya ingat yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua, yang penting mereka nak bina kekuatan hasil gabungan semua ini dan bagaimana untuk merangkul semua potensi yang ada dalam dalam parti.
" Ini bukan soal presiden atau timbalan presiden tetapi pasukan yang boleh membawa parti pada PRU akan datang,” katanya.
Jelasnya, ini merupakan tanggungjawab Rafizi dan (Datuk Seri) Anwar untuk bekerjasama dan memastikan segala perancangan dapat diterjemahkan pada PRU akan datang.
"Mereka harus segera menyelesaikan tugasan tersebut dan kita tak mahu dengar cerita kem Rafizi atau Anwar lagi," ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai isu khemah besar, Fadhlina menegaskan perkara itu sepatutnya tidak timbul sama ada PKR mahu berseorangan atau menyertai khemah besar kerana ia perlu diserahkan kepada pucuk kepimpinan.
"Kita minta semua ahli jangan mendahului parti dan jangan pandang rendah apa yang parti sedang rangka, pimpinan kita semua bekerja keras merangka strategi dan perkara ini juga pastinya akan dibincangkan dalam kerangka Pakatan Harapan (PH)," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca