SHAH ALAM - Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli tidak boleh bekerja seorang diri untuk membawa kejayaan kepada parti.
Pemerhati politik, Iswardy Morni berkata, walau bagaimanapun watak Rafizi penting kerana beliau seorang yang cukup berpengalaman dalam politik.
"Dalam mana-mana organisasi kita perlu pemimpin dan pada masa sama juga perlukan pengurus.
"Meskipun Rafizi berkebolehan untuk mengurus parti berdasarkan pengalamannya dalam Invoke dan akhirnya membawa kepada kemenangan parti pada pilihan raya, beliau tidak boleh bekerja seorang sendiri kerana parti perlu penglibatan semua ahli sama ada menang atau kalah itu perkara kedua,” katanya pada program Wacana Sinar Harian edisi ke-350 bertajuk ‘Mampukan Anwar, Rafizi Pulihkan PKR’ yang disiarkan secara langsung menerusi semua platform Sinar Harian pada Jumaat.
Wacana itu turut menampilkan penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi dan Pengerusi Biro Guaman dan Pembangunan Komuniti Wanita PKR, Fadhlina Sidek sebagai panelis manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.
Katanya, setiap individu itu mempunyai kelebihan dan kekurangan, sebagai seorang pengurus Rafizi harus faham bagaimana mahu menggarap kelebihan dan kelemahan masing-masing bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membentuk satu pasukan utuh bagi menghadapi pilihan raya sekaligus membuang stigma rakyat bahawa parti ini sudah tidak relevan dalam politik negara.
"‘Ayuh Malaysia’ bukan slogan untuk kempen pemilihan parti namun bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum pemilihan parti berlangsung.
"Maksudnya menang atau kalah gerakan itu harus diteruskan," katanya
Jelasnya lagi, ingatan pengundi hanya enam bulan dan selepas itu mereka tidak akan memberi sokongan.
"Bagaimana kita nak yakinkan bahawa apa yang diperkatakan tentang parti itu hanya persepsi?
"Sebab itu Rafizi kata kita kena kembalikan kepercayaan kepada pengundi atas pagar dan kembalikan keyakinan pengundi ekonomi,” katanya
Ujarnya lagi, politik itu berkenaan dengan persepsi dan perbezaan pendapat adalah perkara paling fundamental dalam sesebuah parti.
Iswardy berkata, beliau setuju nama Pakatan Harapan (PH) atau PKR tercemar kerana Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Tapi dalam masa yang sama janganlah kita biarkan persepsi itu menjadi kebenaran sebab itu kita ada perbezaan pendapat tentang khemah besar dan sebagainya.
Maklumat kini (boleh diperoleh) di hujung jari. Suka atau tidak kita kena uruskan spekulasi itu. Berkemungkinan tidak ada pun perancangan untuk buat khemah besar itu , tapi perkara itu diuar-uarkan.
Contohnya sebelum Rafizi kembali, ramai ahli atau pengundi yang tertanya-tanya adakah PKR sudah seperti hilang arah , bila Rafizi kembali mereka harapkan parti ini akan dibawa ke arah yang betul.
"Apa yang betul itu adalah memahami musuh adalah musuh. Boleh guna musuh untuk kalahkan musuh tetapi jangan sesekali menggunakan golongan itu untuk membina kekuatan kerana sekali dia tarik tiang seri rumah, roboh rumah dan itu telahpun berlaku,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca