SECARA umumnya terdapat pelbagai tafsiran berkaitan dengan hilang akal. Antaranya, tidak boleh berfikir dengan waras, tidak tahu apa yang harus dibuat dan agak gila. Pendek kata, pada ketika itu kewarasan akal seseorang telah hilang sekejap... Klik di sini untuk terus membaca

SECARA umumnya terdapat pelbagai tafsiran berkaitan dengan hilang akal. Antaranya, tidak boleh berfikir dengan waras, tidak tahu apa yang harus dibuat dan agak gila.

Pendek kata, pada ketika itu kewarasan akal seseorang telah hilang sekejap disebabkan oleh beberapa faktor. Kebiasaannya akibat terlalu marah dan terlalu sedih mendorong seseorang itu melakukan tindakan yang boleh memudaratkan orang lain serta dirinya sendiri.

Begitu juga dengan menghadiri sesuatu peristiwa yang bersifat percuma seperti hadiah tudung kepada pelanggan setia, menaja minyak motor, agihan barangan dapur, mengadakan jamuan raya dan pelbagai lagi aktiviti percuma telah mendorong kebanyakan pengunjung hilang akal dengan bersikap agresif, tidak beradab serta berkepentingan diri.

Persoalannya, mengapa secara tiba-tiba mereka menjadi hilang akal semasa situasi berkenaan?

Sebetulnya, manusia tidak boleh lari daripada sifat tamak sebagaimana hadis Nabi daripada Ibnu Abbas bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Seandainya seorang anak Adam memiliki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (berasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan ALLAH menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Selain itu, manusia juga cepat lupa diri setelah mendapat kesenangan kerana sangat lokek untuk memberi, namun teruja untuk mendapatkan pemberian daripada orang lain.

Berkaitan hal itu, ALLAH SWT berfirman: "Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah. Apabila ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah dan apabila ia peroleh kesenangan, ia sangat bakhil dan kedekut.” (Surah Al-Maarij, 70:19-21).

Berbicara soal hilang akal di majlis-majlis percuma, didapati sikap berebut-rebut, tolak-menolak dan gasak-menggasak bukannya dilakukan oleh kelompok yang susah, sebaliknya golongan mampu dan berada juga terlibat dalam perebutan sehingga lupa menjaga maruah serta harga diri.

Keadaan menjadi semakin parah apabila kesemua perbuatan tersebut dirakam menerusi lensa kamera dan memanipulasi peristiwa tersebut seakan-akan rakyat Malaysia sudah kebulur, tiada adab dan maruah.

Menurut perspektif psikologi, kebanyakan golongan yang tamak akan mengalami masalah kecelaruan keinginan kerana berkehendakkan sesuatu melebihi apa yang sepatutnya dimiliki, pentingkan diri sendiri dan memudaratkan orang lain serta masyarakat secara keseluruhannya.

Selain itu, sifat tamak juga dikaitkan dengan kemuncak ketagihan kerana didorong oleh rembesan hormon dopamine setiap kali mereka peroleh kejayaan dan keuntungan.

Justeru, lagi banyak kejayaan dan keuntungan, maka semakin banyak hormon itu dirembeskan bagi merangsang diri mereka untuk lebih teruja mendapatkan sesuatu walaupun sanggup mengorbankan maruah dan harga diri.

Namun, apabila gagal peroleh kejayaan, mereka akan berasa resah gelisah kerana hormon dopamine semakin kurang dirembeskan.

Ia bermakna, segala usaha yang melampau untuk kepentingan diri akan memakan diri akhirnya.

Pada hemat saya, selain pengunjung, pihak penganjur juga perlu bersama-sama membanteras gejala hilang akal dalam kalangan pengunjung dengan melakukan penilaian risiko sebelum sesuatu acara yang bersifat percuma dilakukan.

Maknanya, sistem yang teratur, susunan logistik, tenaga kerja yang berkemahiran dan terlatih serta pelan kecemasan perlu dititik beratkan sebelum mengadakan majlis berkenaan terutama dalam skala yang besar.

Selain itu, sumber atau input yang hendak diberikan kepada pengunjung perlu mencukupi bagi mengelak isu ketidakadilan dan ketidakcekapan oleh pihak penganjur.

Adakala majlis dicanangkan dengan gegak-gempita, namun gagal mengurus pengunjung dengan baik.

Alasan klise yang kerap dilakukan adalah kehadiran pengunjung di luar jangkaan, kekurangan petugas dan masalah daripada pembekal. Natijahnya, benda yang elok menjadi mudarat.

Justeru, segala kekurangan perlu dijadikan iktibar pada masa depan.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca