MELANGKAH kaki ke pejabat Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah, hati penulis berasa kagum dengan keindahan bangunan dipanggil ‘White House’ yang terletak di Jalan Langgak Golf, Ampang itu.
Sementara menunggu kehadiran bekas Menteri Kewangan itu, penulis sempat mencuci mata untuk melihat koleksi gambar-gambar bersejarah yang dipamerkan di setiap sudut dinding pejabat berkenaan.
Sedang asyik penulis membelek satu gantungan gambar beliau bersama segerombolan pegawai kerajaan China yang dipercayai diambil pada tahun 1971. Tanpa semena-mena Tengku Razaleigh menyapa penulis dari belakang.
"Yang tengah itulah mendiang Zhou Enlai, bekas Perdana Menteri pertama pemerintah komunis China era Mao Zedong," kata bekas Naib Presiden UMNO berusia 85 tahun itu.
Menyingkap kembali agenda pertemuan beliau dengan pemimpin pemerintah komunis China itu, Tengku Razaleigh atau Ku Li mengakui kisah tersebut merupakan salah satu daripada 1,001 rahsia sulit yang masih tersimpan kemas di minda beliau sehingga kini.
PERTEMUAN DENGAN PM KOMUNIS CHINA SINGKAP RAHSIA BESAR
"Saya pun hairan mengapa saya dipilih Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein untuk mengetuai satu delegasi perdagangan ke negara China pada tahun 1971 kerana saya hanyalah berjawatan Bendahari UMNO ketika itu.
"Kemudian, Tun Abdul Razak menerangkan ada kemungkinan rombongan itu sebagai perintis kepada kewujudan semula hubungan diplomatik secara rasmi di antara dua negara berkenaan.
"Beliau juga menerangkan negara tidak mempunyai sebarang hubungan diplomasi dengan China ketika itu, susulan status pemerintah China adalah komunis. Rupanya sudah ada bisik-bisik secara sulit di antara China dan kerajaan kita untuk hidupkan kembali hubungan itu selama ini,” ujarnya kepada Sinar Premium.
Menjadi satu-satu ahli Parlimen yang pernah berkhidmat di bawah sembilan Perdana Menteri, anak jati Kelantan itu turut membongkar kisah kononnya ketua pengganas Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng mempunyai hubungan secara langsung dengan kerajaan komunis China.
Agak mengejutkan, Enlai sewaktu bertemu dengan Ku Li di sebuah hotel di Beijing mengesahkan bahawa negara itu sebenarnya tiada sebarang hubungan dengan Chin Peng serta pengikutnya yang melakukan pelbagai perkara yang menakutkan rakyat Malaysia ketika itu.
"Apabila saya bangkitkan soal bagaimana Malaysia dapat jalinkan hubungan diplomasi dengan China, sedangkan puak PKM bermaharajalela melakukan kekacauan di atas muka bumi Malaysia.
"Enlai dengan tegas mengatakan itu bukan perbuatan pemerintah komunis China, sebaliknya puak komunis dipimpin Chin Peng terdiri kumpulan komunis berfahaman Marxisme–Leninisme (fahaman komunis dibangunkan oleh Joseph Stalin pada lewat 1920-an).
"Perdana Menteri kerajaan komunis China itu turut menjelaskan Chin Peng tidak pernah datang ke Beijing sebagaimana didakwa dan perkara itu saya laporkan segera kepada kerajaan sebaik sahaja delegasi perdagangan Malaysia kembali ke tanah air,” luah Ku Li, yang turut pernah menjawat tugas Menteri Perdagangan dan Industri pada tahun 1984-1987.
Secara tidak langsung, peranan Ku Li membolehkan beliau diiktiraf sebagai arkitek penting yang merintis kepada agenda Persahabatan Malaysia-China pada tahun 1974 susulan kehadiran Tun Abdul Razak ke negara Tembok Besar itu. Lebih manis, usaha murni berkenaan turut membawa kepada kejatuhan PKM dan Chin Peng.
INDIVIDU BERTANGGUNGJAWAB WUJUDKAN PETRONAS
Sebagai seorang pemimpin berketurunan diraja yang pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), umum pasti mengetahui jasa besar Ku Li dalam menubuhkan syarikat cari gali minyak dan gas negara, Petroliam Nasional Berhad atau lebih dikenali Petronas.
Namun begitu, ramai tidak menyedari idea mewujudkan Petronas asalnya bertujuan menjana dan mendanai pergerakan politik UMNO yang ketika itu sedang bertungkus-lumus untuk membina semula negara daripada cengkaman kuasa penjajah.
"Cerita penubuhan Petronas, saya ketika itu dilantik Bendahari UMNO oleh Presiden parti, Tun Abdul Razak dan diarahkan untuk mencari dana parti bagi menjana pergerakan akar umbi dan badan bukan kerajaan (NGO) bersekutu dengan UMNO.
"Saya kemudiannya beritahu Tun Abdul Razak yang saya tidak sanggup hendak pergi tiap-tiap rumah orang kaya untuk minta derma bagi pihak UMNO.
"Sebaliknya saya mencadangkan Perdana Menteri itu mewakili kerajaan memohon syarikat minyak Shell dimiliki British, memulangkan semula kawasan-kawasan perairan negara yang memiliki hasil minyak dan gas, namun tidak mahu diusahakan syarikat berkenaan,” ujar Ku Li sambil tersenyum.
Menceritakan kisah itu lebih lanjut, Ku Li mendedahkan sebenarnya kawasan perairan negara yang mempunyai hasil minyak dan gas, tetapi tidak diusahakan syarikat Shell sebenarnya amat luas.
Beliau menjelaskan syarikat British itu enggan mengusahakannya kerana kawasan berkenaan memerlukan kos lebih tinggi untuk dijalankan kerja-kerja mencari gali hasil petroleum.
"Namun, saya melihat ruang itu sebagai peluang kepada negara untuk memperoleh hasil pendapatan lumayan menerusi perusahaan sebuah syarikat cari gali minyak sendiri.
"Saya cakap kepada Tun Abdul Razak, idea Petronas ini boleh mewujudkan satu tabungan khas untuk UMNO membiayai pergerakan parti itu sendiri.
"Tun Abdul Razak tertarik dengan idea penubuhan Petronas, namun kemudiannya menegah cadangan Petronas digunakan untuk membiayai parti. Sebaliknya beliau menegaskan sumber petroleum adalah merupakan hak milik negara, bukan UMNO,” tegas beliau sambil menyatakan kekaguman terhadap jiwa patriotik Allahyarham Tun Abdul Razak.
Cadangan penubuhan itu kemudiannya direalisasikan kerajaan pada 6 September 1974 dengan Allahyarham Tun Abdul Razak melantik Tengku Razaleigh sebagai Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, satu jawatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC)yang bertaraf menteri kabinet.
Dengan pelantikan itu, Ku Li terpaksa meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) yang telah dipegang sejak 1970, tetapi mengekalkan jawatan sebagai Pengerusi Bank Bumiputera.
AMBIL ALIH GUTHRIE, SIME DARBY
Satu lagi kisah unik didedahkan Ku Li kepada penulis adalah bagaimana kerajaan berjaya mengambil alih aset-aset strategik negara seperti syarikat Guthrie, Sime Darby, London Tin Company, Highlands & Lowlands Berhad dan News Strait Times Press daripada tangan British.
Jika anda masih ingat kisah peristiwa Dawn Raid pada 7 September 1981 di mana London Stock Exchange (LSE) dikejutkan dengan inisiatif pengambilalihan majoriti saham syarikat Guthrie dalam masa empat jam.
Ramai sebenarnya tidak menyedari kejayaan tersebut termasuk usaha pengambilalihan Kumpulan Sime Darby Berhad selepas itu, sebenarnya hasil percaturan rapi Ku Li bersama bekas Gabenor Bank Negara, Allahyarham Tun Ismail Ali.
Lebih penting, pelan pengambilalihan aset-aset strategik negara berkenaan tidak mungkin dapat direalisasikan sekiranya Ku Li dan Tun Ismail tidak dapat ‘memperdaya’ taikun bank Yahudi terkemuka dunia, Sir Evelyn Rothchilds bagi mendanai projek itu.
"Tun Abdul Razak amat mengharapkan saya untuk mengusahakan strategi mengambil alih aset-aset strategik negara. Menteri tidak boleh buat kerja itu. Takut ada konflik berkepentingan, jadi orang seperti saya (Pengerusi Pernas) digunakan.
"Dengan kepercayaan Tun Abdul Razak, ditambah dengan secara kebetulan Tun Ismail berkawan baik dengan ramai pemilik bank sewaktu menjadi Gabenor Bank Negara termasuk Sir Evelyn de Rothschild.
"Mulai situ, saya mula berhubungan rapat dengan Rothschild. Malah beliau sendiri memberi idea untuk saya berunding dengan Tun Ismail mencari jalan supaya negara dapat mengembalikan aset-aset strategik tanah air daripada tangan pihak kolonial,” kata beliau.
Hakikatnya, keluasan ladang estet Sime Darby yang diselia syarikat milik British berkenaan pada saat itu adalah lebih besar daripada jumlah keluasan tanah milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).
Sehubungan itu, Ku Li menjelaskan, sekiranya kerajaan hanya bergantung kepada usaha pemilikan ladang estet melalui Felda, mana mungkin negara mampu memiliki sejumlah besar kawasan estet pertanian luas di muka bumi sendiri.
"Justeru, jalan pintasnya adalah dengan kerajaan mengambil alih kawasan estet milik syarikat strategik British seperti Sime Darby dan Guthrie melalui kaedah pembelian saham secara general bid.
"Apabila individu seperti Rothschild boleh ‘dipergunakan’ kerana beliau amat mengetahui selok-belok pasaran LSE, mengapa kita harus menolak peluang bekerjasama dengan beliau untuk menjayakan inisiatif membawa faedah kepada negara?
"Saya sedar Rothschild seorang taikun Yahudi, tetapi beliau juga seorang ahli perniagaan yang mementingkan keuntungan. Dengan kerjasama dua pihak ini berbentuk ‘menang-menang’, akhirnya kita berjaya mengambil alih sebahagian besar aset strategik negara,” luahnya lagi.
SAYA ENGGAN JADI BEBAN NEGARA
Di sebalik 1,001 pengorbanan Tengku Razaleigh kepada agama, bangsa dan negara, satu fakta penting yang perlu diketahui rakyat Malaysia adalah bekas Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO itu langsung tidak pernah mengambil sebarang imbuhan dan kemudahan yang ditawarkan sepanjang beliau memegang sebarang jawatan menteri dan GLC.
Ini kerana, beliau menganggap setiap amanah diberikan adalah satu perkhidmatan kepada negara.
"Kalau pemimpin zaman dahulu termasuk Perdana Menteri sanggup berkorban dengan hanya menerima gaji RM3,000 sebulan, mengapa orang seperti saya yang diberi penghormatan untuk mengepalai syarikat penting seperti Pernas dan Petronas, harus diberi elaun lumayan. Biarlah saya berkorban...saya sudah ada pemandu, kereta sendiri. Jadi saya tidak mahu jadi beban kepada negara.
"Berbanding dengan pemimpin sekarang yang dikhabarkan menerima elaun sebagai pengerusi syarikat GLC mencecah RM1 juta sebulan, saya fikir itu melampau.
"Saya rasa pemimpin-pemimpin kita dahulu lebih memikirkan soal rakyat dan negara, ada dalam kalangan mereka yang meninggal dunia tanpa meninggalkan harta...tetapi jasa ditinggalkan kepada negara adalah sangat besar,” ujar Ku Li mengakhiri sesi wawancara eksklusif selama lebih sejam itu.
Klik di sini untuk terus membaca