SEJAK pemerintahan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz dan anakandanya Putera Mohammed Bin Salman menjadi Putera Mahkota, wanita-wanita di negara berkenaan telah dibenarkan melakukan apa yang mereka tidak pernah lakukan sejak berdekad-dekad lalu.
Ketika pemerintahan Raja Salman dan anakandanya itu, negara beraja itu 'memahat' sejarah apabila buat pertama kalinya golongan Hawa dibenarkan memandu kenderaan bermula pada bulan Jun 2018 sehingga kini.
Kebenaran itu diberikan selepas sejumlah kecil wanita sanggup membuat tuntutan dan dikenakan hukuman kerana memperjuangkan hak-hak wanita memandu kenderaan ketika Raja Salman masih menjadi Gabenor Riyadh pada tahun 1990an sebelum perjuangan itu akhirnya menjadi realiti pada tahun 2018.
Kini sesuai dengan arus pemodenan yang dibawa oleh Raja Salman dan anakandanya, semakin ramai wanita Arab Saudi menceburi bidang pekerjaan yang sebelum ini didominasi oleh kaum lelaki.
Memperluaskan hak-hak wanita adalah merupakan visi penting buat Putera Mohammed bagi menjayakan Agenda 2030 yang bertujuan untuk mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi kerana negara itu sebelum ini banyak bergantung kepada hasil sumber minyak.
Justeru, pada tahun 2018, negara beraja itu bukan sahaja telah membenarkan wanita memandu kenderaan tetapi juga golongan wanita dibolehkan menetap seorang diri, bekerja di luar rumah dan melancong tanpa perlu mendapat kebenaran daripada penjaga lelaki.
Semua itu tidak pernah berlaku di negara tersebut.
Bilangan wanita yang mempunyai pekerjaan di Arab Saudi juga telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu dengan kini berjumlah lebih 35 peratus daripada tenaga kerja di negara berkenaan.
PALING TINGGI DALAM SEJARAH
Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Arab Saudi, Abdullah Abthnain pada bulan lalu pernah berkata, bilangan wanita yang bekerja berada pada tahap tertinggi dalam sejarah ketika kerajaan berusaha memperkenalkan pembaharuan dalam meningkatkan hak-hak wanita.
Berikutan pembaharuan itu, semakin ramai wanita di negara berkenaan menceburi kerja-kerja yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki sehingga tidak pernah terfikir ia kini boleh dilakukan oleh golongan wanita.
Antara pekerjaan itu ialah kerja-kerja yang dianggap 'kasar' dan 'kotor' seperti membaiki kenderaan dan pemandu trak bagi menunda kereta lumba di litar perlumbaan.
JADI PEMANDU TRAK
Baru-baru ini, seorang wanita berusia 30 tahun, Merryhan Al-Baz’ telah 'menongkah arus' apabila menjadi pemandu trak bagi menunda kereta lumba yang terlibat dengan kemalangan di litar perlumbaan.
Merryhan merupakan wanita Arab Saudi pertama yang menjadi pemandu trak yang menunda kereta lumba.
Sejajar dengan lebih banyak kebebasan diberikan kepada wanita dalam bidang pekerjaan, golongan lelaki yang sebelum ini hidup ketika negara tersebut mengamalkan pendekatan era lama, perlu menyesuaikan diri dengan arus pembaharuan.
Pembaharuan itu juga menyebabkan seorang isteri tidak mahu ketinggalan menceburi bidang pekerjaan yang selalu dilakukan oleh kaum kaum lelaki.
Ola Flimban iaitu seorang ibu kepada empat orang anak berusia 44 tahun, mula-mula mendengar tentang pekerjaan sebagai mekanik menerusi media sosial, dan segera bertanya kepada suaminya, Rafat Flimban, jika dia boleh memohon.
Rafat bersetuju dan membantu isterinya membuat persediaan untuk menghadiri sesi temu duga dengan mengajarnya nama- nama alat ganti kenderaan.
"Sekarang, dia mempunyai pengalaman dalam pelbagai jenis kereta, cara menukar minyak, cara memeriksa kereta," kata Rafat seperti dilaporkan oleh AFP.
Ola pula berkata: "Para pelanggan terkejut bahawa gadis-gadis ini bekerja dalam bidang itu dan meminta kami untuk menerangkan bagaimana kami jatuh cinta dengan bidang ini."
Buat masa ini, Arab Saudi berusaha untuk memastikan agenda meramaikan golongan wanita menceburi bidang pekerjaan yang selama ini dikuasai oleh golongan lelaki.
ANAK KAPAL WANITA
Pada bulan lalu, sebuah syarikat penerbangan bajet buat pertama kalinya terbang dengan kesemua anak kapalnya ialah wanita.
Penerbangan itu dikendalikan oleh flyadeal iaitu anak syarikat penerbangan Saudia yang berlepas dari ibu negara Riyadh ke bandar pesisir Laut Merah, Jeddah.
Seramai tujuh anak kapal yang kebanyakannya ialah rakyat Arab Saudi itu menaiki pesawat A320 jenis Airbus yang terbaharu dan salah seorang juruterbangnya adalah juruterbang wanita paling muda di negara berkenaan.
Transformasi pembaharuan yang dilakukan itu kini bergerak seiringan dengan agenda 2030 bagi meninggalkan Arab Saudi yang konservatif.
Namun, berjayakah Arab Saudi memenuhi cita-cita itu? - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca