KEMENANGAN besar Rafizi Ramli sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sememangnya mengejutkan. Beliau menewaskan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dengan majoriti besar ketika ramai menjangkakan peluangnya menang cerah sebagai ‘orang kanan’ Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Walaupun pelbagai pendapat dan pandangan diberikan, tiga persoalan ini mungkin membantu untuk melihat implikasi mendalam ke atas ruang lingkup identiti dan kelangsungan parti itu di dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, tetapi politik negara secara umum.
Pertama apa maksud keputusan pemilihan itu kepada PKR dan Anwar. Kedua apa maknanya kepada sekutu PKR dalam Pakatan Harapan (PH) dan ketiga, bagaimana keputusan ini dilihat dalam kalangan pengundi dan masyarakat.
Keputusan pemilihan PKR jelas memberi isyarat kritikal bahawa PKR memerlukan integrasi dalaman merentasi politik individu yang boleh memecahkan antara satu sama lain. Isunya bukan tentang Anwar, Rafizi atau Saifuddin, tetapi tentang kegagalan PKR untuk mengurus dan memahami momentum penerimaan rakyat terhadap parti itu dan PH selepas menumbangkan Barisan Nasional (BN) 2018.Sama ada pengaruh Anwar masih kuat atau terhakis bukanlah isunya. Yang jelas pengukuhan identiti perlu dimurnikan dengan segera agar naratif negatif terhadap PKR di mata pengundi segera dibetulkan. Jika sebelum ini PKR dikenali sebagai parti yang sarat dengan idea-idea pragmatik dan praktikal, maka selepas pemilihan semua pihak perlu pantas bekerjasama merealisasikannya.
PKR sedar politik kepartian tanpa identiti jelas bukan jaminan kepada kelangsungan. Justeru, ia mesti bermula dengan penyatuan dan sokongan pelbagai paksi dalam parti. Di sini peranan yang harus dimainkan Anwar sebagai Presiden yang gagal dimainkannya selepas pemilihan 2019. Lihat bagaimana tindakan ‘geng kartel’ yang memecahkan parti ketika dan selepas pemilihan 2019 masih belum dipulihkan Anwar dan kesannya masih dilihat dalam PKR sampai sekarang.
Kalau dibaca, kemenangan besar Rafizi dengan hampir 60 peratus undi itu berkemungkinan tidak mengulangi peristiwa pemilihan 2019 yang membawa perpecahan dalaman. Cuma apakah perpecahan itu mungkin timbul dari Anwar sendiri yang masih belum beri reaksi selepas menyaksikan orang-orangnya tewas dalam pemilihan tangan pasukan Rafizi. Jelas ia menimbulkan banyak spekulasi.
Sebagai Presiden, sukar mengendalikan parti tanpa ada orang kanan yang setia dan boleh dipercaya. Tambahan dengan pasukan Rafizi menguasai kepimpinan utama parti, adakah Anwar akan guna kuasanya sebagai Presiden melantik tujuh ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri bagi mengimbangi pasukan Rafizi. Mungkinkah kita menyaksikan mereka yang tewas dibawa masuk menerusi pintu belakang oleh Anwar?
JALAN PINTAS KE PUTRAJAYA
Perkara terbesar sudah tentulah keputusan pemilihan tersebut terhadap PH dan reaksi umum (baca: pengundi) terhadapnya. Dua isu terbesar yang dibawa Rafizi bukan sahaja menguji PKR, tetapi PH itu sendiri. Pertama isu khemah besar yang dipersetujui pimpinan tertinggi PH sebagai jalan pintas kembali semula ke Putrajaya. Kedua PH hilang sentuhan kepada pengundi sehingga jatuh ke ‘divisyen tiga’ di belakang BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam beberapa pilihan raya.
Strategi khemah besar jelas memperlihatkan beberapa masalah. Pertama ia memesongkan PH daripada memikirkan idea dan strategi baharu yang segar untuk kembali memikat pengundi. Langkah Sheraton dan siri perundingan belakang tabir yang gagal untuk membentuk kerajaan khemah besar masih tidak cukup untuk memberi pengajaran sewajarnya.
Kesannya, PH tidak lagi menarik sebagai pilihan di kotak undi. Lebih malang bukan sahaja gagal pikat undi mereka di atas pagar, PH turut hilang undi pengundi mereka sendiri. Strategi khemah besar dalam konteks itu gagal kerana PH gagal mengurus dan mengekalkan dinamika politik selepas mendapat kuasa dan ia tidak menyumbang kepada kemenangan dalam empat Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor.
Kemasukan Rafizi dalam kepimpinan PH dijangka melonjakkan kembali populariti PH. Cuma adakah pimpinan PH juga melihatnya sedemikian atau Rafizi dianggap sebagai pengacau kalaupun tidak dianggap pengancam. Apa seterusnya selepas ini menarik untuk diperhatikan.
*Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca