IDEA bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu membentuk jajaran baharu politik atau 'khemah besar' tanpa pembabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memang mampu direalisasikan. Bagaimanapun, sejauh mana... Klik di sini untuk terus membaca

IDEA bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mahu membentuk jajaran baharu politik atau 'khemah besar' tanpa pembabitan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin memang mampu direalisasikan.

Bagaimanapun, sejauh mana kekuatan dan keupayaan gabungan khemah besar berkenaan untuk menewaskan gagasan politik sedia ada terutama Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) jika berlaku pertembungan banyak penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sukar diramal.

Malah, ramai penganalisis politik dan dasar menyifatkan idea dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri ke-4 dan ke-7 merangkap Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) tidak masuk akal dan kurang realistik berbanding realiti politik semasa di Malaysia sekarang.

Penganalisis politik dan Pakar Perundangan Kajian Dasar, Profesor Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, idea Dr Mahathir berkenaan tidak berpijak di bumi nyata kerana parti gabungan PH seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) mustahil akan menyertai 'khemah besar' itu, tanpa penyertaan Anwar.

Ahmad Martadha berkata, Pas juga tidak mungkin menyertai 'khemah besar' bakal diasaskan oleh Dr Mahathir kerana mereka masih setia dengan PN di mana Muhyiddin sebagai pengerusinya sekarang.

"Pas tidak akan menyertai khemah besar berkenaan kerana mereka dijangka membentuk Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO bagi merampas Selangor daripada tangan PH, pada PRU15 nanti.

"Pas juga akan bekerjasama dengan UMNO dan Bersatu di negeri lain. Jadi saya saya tidak rasa khemah besar yang mahu dibentuk oleh Dr Mahathir akan menjadi gabungan kuat berdasarkan realiti politik semasa di tanah air sekarang," katanya kepada Sinar Premium.

Ahmad Martadha

TIDAK REALISTIK

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha berkata, jika Dr Mahathir atau Pejuang yang mempunyai hanya empat kerusi dan mahu bergabung dengan parti lebih kecil seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) mana mungkin mereka mampu menewaskan gabungan lebih besar seperti BN, PN mahu PH dalam PRU15 nanti.

Berikutan itu, Ahmad Martadha menegaskan, beliau tidak nampak jika khemah besar yang dibentuk Dr Mahathir akan menjadi satu gabungan politik yang kuat tanpa penyertaan Anwar dan Muhyiddin.

Malah, Setiausaha Agong DAP baharu, Anthony Loke baru-baru ini pernah menegaskan bahawa mereka tidak mungkin bekerjasama dengan Dr Mahathir selepas Ahli Parlimen Langkawi itu menjadi punca kejatuhan kerajaan PH, pada 2020.

"Justeru, saya melihat Dr Mahathir hanya bersifat mahu mencuba nasib kerana Pejuang tidak lagi menjadi sebuah parti relevan dalam konteks politik Malaysia sekarang selepas mereka kalah teruk dan hilang wang pertaruhan di semua kerusi dalam PRN Johor baru-baru ini.

"Malah, besar kemungkinan Pejuang akan kalah semua kerusi dalam PRU15 selepas Tun Dr Mahathir sendiri menyatakan beliau tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Langkawi nanti.

"Tambahan pun, pengaruh Dr Mahathir juga bukan hanya semakin merosot, malah tidak memberikan sebarang impak kepada situasi politik negara ketika ini," katanya.

HAMPIR PUDAR DARIPADA RADAR

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Univesiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, pula menyifatkan Dr Mahathir tidak berpijak di bumi nyata kerana Pejuang kini sudah hampir pudar daripada radar politik tanah air.

Beliau berkata, ini kerana Anwar bukan hanya Presiden PKR, malah beliau adalah Pengerusi PH yang menjadi salah satu gabungan parti pembangkang yang kuat dan menguasai lebih 90 kerusi Parlimen termasuk di Sabah dan Sarawak.

Katanya, Muhyiddin pula masih Presiden Bersatu dan Pengerusi PN yang kini menguasai lebih 50 kerusi Parlimen di seluruh negara.

"Dalam PN ada Pas dan Gerakan yang tidak mungkin meninggalkan gabungan berkenaan. Pas masih bersama PN dan BN dalam kerajaan semasa. Pas dan UMNO juga dijangka bergabung dan menghidupkan kembali MN bagi merampas negeri Selangor dan negeri lain.

"Jadi saya tidak rasa cadangan Tun Dr Mahathir mampu membentuk gabungan kuat tanpa penyertaan PKR, Bersatu dan Pas, melihat kepada realiti politik semasa.

"Dr Mahathir juga sudah pasti tidak akan bergabung dengan UMNO kerana beliau mahu menentang BN dalam PRU15 nanti. Justeru, saya mahu bertanya sebenarnya Dr Mahathir nak buat pakatan khemah besarnya dengan parti mana sebenarnya?" katanya.

Mazlan

TAK KUAT TANPA ANWAR, MUHYIDDIN

Penganalisis politik merangkap Pengerusi Majlis Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, ketika dihubungi wartawan Sinar Premium pula berkata, tidak salah Dr Mahathir mempunyai cita-cita mahu membentuk 'khemah besar' tanpa Anwar dan Muhyiddin kerana beliau mempunyai banyak pilihan parti di Malaysia sekarang ini.

Bagaimanapun, Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, khemah besar yang dibentuk Dr Mahathir berkenaan belum tentu mempunyai kekuatan untuk menewaskan BN, PH mahu pun PN dalam PRU15 nanti.

"Jadi saya berpandangan idea Tun Dr Mahathir berkenaan hanya sekadar mahu memberikan alternatif dan pilihan lain kepada rakyat dan pengundi untuk memilih selain gabungan BN, PH dan PN.

"Malah, saya tidak pasti parti mana yang akan bersama Dr Mahathir nanti sama ada Parti Warisan Sabah (Warisan) ke Parti Bangsa Malaysia (PBM) ke parti lain kerana kenyataannya terlalu umum.

"Bagaimanapun, saya tidak menjangkakan Dr Mahathir akan mampu membentuk satu gabungan parti politik atau khemah besar yang kuat tanpa pembabitan Anwar dan Muhyiddin," katanya.

Shamsul Amri
Klik di sini untuk terus membaca