SHAH ALAM - Rakyat Malaysia memperuntukkan sehingga 70 peratus daripada keseluruhan bakul perbelanjaan mereka untuk memenuhi keperluan makanan, perumahan dan pengangkutan. Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rakyat Malaysia memperuntukkan sehingga 70 peratus daripada keseluruhan bakul perbelanjaan mereka untuk memenuhi keperluan makanan, perumahan dan pengangkutan.

Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, ketiga-tiga komponen berkenaan merupakan keutamaan rakyat dalam memastikan kehidupan mereka selesa.

"Justeru, Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) perlu menumpukan kepada tiga komponen itu dalam usaha menyelesaikan isu kos sara hidup.

"Golongan berpendapatan rendah (B40) hingga pendapatan tinggi (T20) akan gunakan purata antara 60 hingga 70 peratus daripada perbelanjaan mereka untuk penuhi tiga keperluan itu,” katanya dalam wawancara khas bersama Sinar Harian pada Jumaat.

Dalam pada itu Noor Azlan berkata, komponen lain seperti pendidikan dan kesihatan juga perlu dititikberatkan, namun desakan lebih kepada tiga perkara itu buat masa ini.

"Kerajaan perlu memberi lebih tumpuan kerana ia bukan isu baharu. Kita mahu ada kerangka yang menyeluruh bagaimana untuk tanganinya, kena ada kerangka yang jelas dan ia menjadi perkara ‘pokok’ sekarang.

"Justeru cabaran kerajaan masa ini adalah lebih kepada menangani isu kos sara hidup dengan melaksanakan kegiatan ekonomi yang betul serta membawa kepada penyelesaian mampan.

"Kalau setakat bagi bantuan, ia sekadar bantuan dan bukan penyelesaian. Bagaimana di hujungnya nanti?” ujarnya.

Noor Azlan
Noor Azlan

Katanya, NACCOL juga perlu menyediakan kerangka yang lebih komprehensif disertakan dengan tindakan yang efektif agar ia dapat dilaksanakan dengan baik.

Ujarnya, kaedah mengukur prestasi juga perlu diwujudkan agar kerajaan dapat menilai sama ada penambahbaikan itu berjaya atau tidak.

PENINGKATAN HUTANG

Dalam pada itu, Pakar Ekonomi dari University College i CATS, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, peningkatan perbelanjaan bagi memenuhi keperluan makanan, rumah dan pengangkutan menyebabkan terdapat golongan bergaji rendah hanya memiliki lebihan 10 peratus daripada keseluruhan pendapatan mereka bagi tujuan perbelanjaan lain.

Katanya, peratusan penggunaan perbelanjaan bagi tiga keperluan tersebut sememangnya lebih tinggi bagi golongan berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) berbanding dengan kumpulan berpendapatan tinggi (T20).

"Jadi kalau yang berpendapatan tinggi mungkin penggunaan itu masih 70 peratus, tapi bila pendapatan rendah peratus kegunaan itu lagi tinggi.

"Contohnya, kalau kata pendapatan individu itu RM2,000 sebulan, perbelanjaan untuk rumah dan pengangkutan mungkin boleh naik sampai 90 peratus,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Shazali berkata, keadaan tersebut dilihat tidak baik bagi kewangan rakyat Malaysia kerana ia secara langsung menjejaskan perbelanjaan lain seperti pendidikan, riadah dan simpanan.

"Ini kerana kebanyakan mereka tidak ada lebihan pendapatan untuk dibelanjakan bagi perkara itu, apatah lagi nak menabung,” ujarnya.

Beliau berkata, perbelanjaan bagi ketiga-tiga perkara itu juga dilihat menyebabkan isi rumah di Malaysia terpaksa mempunyai hutang yang tinggi bagi menampung keperluan lain.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peratusan hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada kadar 89 peratus setakat Disember tahun lalu, didorong oleh pinjaman kenderaan dan perumahan.

Bagi menangani keadaan tersebut, Shazali berkata, kerajaan perlu menilai kembali dasar yang dilaksanakan antaranya dalam perkara membabitkan pengangkutan.

"Kita tahu perbelanjaan untuk miliki kereta ini bukan murah. Selain minyak, ada juga perbelanjaan lain seperti kos selenggara, bayaran bulanan kereta, cukai jalan dan tol.

"Jadi dalam isu ini, kerajaan mungkin boleh bantu dari segi kurangkan cukai jalan terutamanya terhadap kereta yang ramai B40 dan M40 guna.

"Ini kerana untuk yang duduk di bandar, mereka dah bayar tol. Kadar tol pun pastikan jangan naik.

"Langkah seperti ini perlu dilakukan supaya bila gaji mereka naik, tiga perbelanjaan utama itu tidak naik sama. Jadi lebihan pendapatan mereka meningkat,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca