BUAT pertama kali, kerajaan baru-baru ini membuat kenyataan yang keras dan jelas apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak teragak-agak akan ‘mengusir’ Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

BUAT pertama kali, kerajaan baru-baru ini membuat kenyataan yang keras dan jelas apabila Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak teragak-agak akan ‘mengusir’ Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) di Malaysia selepas mempunyai bukti suruhanjaya itu didapati melakukan kesalahan dalam mengeluarkan Kad UNHCR kepada pelarian yang tidak berhak.

Hari ini, pelarian Rohingya sahaja sudah mencecah lebih 200,000 dan jika negara tidak menangani isu ini, kemungkinan besar kita juga akan melihat pelarian dari Pakistan dan Sri Lanka datang ke Malaysia kerana kedua-dua negara ini sedang bergolak.

Malah, pelarian seperti Iran, dari Timur Tengah juga akan datang ke Malaysia jika UNHCR masih ‘berkuasa’ mengeluarkan kad tersebut dan akhirnya negara ini akan mempunyai lambakan pelarian-pelarian dari pelbagai negara lain.

Di Sabah, demografi negeri itu juga telah berubah lantaran kemasukan pelarian dari selatan Filipina.

Tidak mustahil perkara yang sama boleh berlaku di ibu kota Kuala Lumpur sekiranya UNHCR masih berperanan seolah-olah KDN bagi pendatang asing.

Peguam Norman Fernandez amat menyokong kenyataan Menteri KDN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang telah menyatakan niat untuk mengambil tindakan tegas terhadap UNHCR yang dikatakan telah mengeluarkan kad UNHCR kepada warganegara Indonesia dan India yang bukan pelarian.

"Ini adalah kali pertama kita mendengar kerajaan dengan jelas dan nyata menyatakan niat untuk mengusir UNHCR dari Malaysia.

Kerajaan digesa untuk tidak mengiktiraf lagi Kad UNHCR bagi mengelakkan lebih ramai pendatang asing datang ke Malaysia.
Kerajaan digesa untuk tidak mengiktiraf lagi Kad UNHCR bagi mengelakkan lebih ramai pendatang asing datang ke Malaysia.

"Tidak ada sebab mereka mengeluarkan kad UNHCR bagi pendatang Indonesia sedangkan negara tersebut tiada perang.

"Saya berpendapat ia adalah satu tindakan tepat, wajar dan tegas yang harus dilaksanakan dalam keadaan segera kerana UNHCR telah menyimpang jauh daripada peranan sebenar,” kata Norman kepada Sinar Premium.

Hanya berjaya urus 8,312 pelarian ke negara ketiga

Selain itu, beliau berkata, walaupun UNHCR merupakan agensi di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mereka tidak ada hak untuk kekal di Malaysia kerana mereka berada di sini juga atas ihsan dan izin daripada kerajaan Malaysia.

"Negara ini negara yang berdaulat dan telah memberi izin mereka berada di sini untuk menguruskan penempatan pelarian ke negara ketiga.

"Sebaliknya, UNHCR kini bukan lagi mencari penempatan negara ketiga tetapi giat mengeluarkan kad UNHCR untuk membolehkan pelarian Rohingya tinggal di sini,” katanya.

Menurutnya, dalam 18 tahun, UNHCR hanya dapat menguruskan 8,312 pelarian Rohingya ke negara ketiga dan ini jelas menunjukkan UNHCR adalah agensi PBB yang tidak efektif dan gagal.

"Saya percaya kalau setakat 18 tahun hendak menguruskan 8,312 penempatan negara ketiga, kerajaan Malaysia boleh menguruskan penempatan negara dengan lebih baik atas dasar Government to Government.

"Pelarian Rohingya sudah meningkat mendadak dan tidak menunjukkan apa-apa pengurangan.

"Minggu ini sahaja, lebih 132 pelarian Rohingya sampai di Malaysia,” kata beliau.

Lima kesalahan besar UNHCR yang membolehkan mereka diusir:

- Gagal melaksanakan penempatan negara ketiga untuk pelarian mencari suaka; hanya mampu menempatkan 8,312 Rohingya di negara ketiga dalam masa 18 tahun, namun jumlah Rohingya yang berada di Malaysia sekarang adalah lebih 200,000.

- Mengeluarkan Kad UNHCR tanpa izin kerajaan Malaysia.

- Mengeluarkan Kad UNHCR tanpa apa-apa garis panduan kerajaan Malaysia.

- Setiap individu pelarian disahkan boleh tinggal di Malaysia oleh UNHCR dan bukan KDN.

- Tiada menyalurkan data peribadi pelarian kepada kerajaan.

Klik di sini untuk terus membaca