PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Joe Biden merancang untuk melawat Arab Saudi bulan ini di tengah-tengah perang Ukraine yang masih lagi belum menemui pengakhirannya.
Rancangannya mahu melawat ke negara beraja tersebut didedahkan oleh media AS baru-baru ini sehingga menimbulkan sindiran sinis tentang prinsipnya yang pernah membidas Arab Saudi atas alasan rekod hak-hak asasi manusia negara itu.
Ini kerana Biden pernah menggelar Arab Saudi sebagai negara berkelas rendah pada tahun 2019 iaitu semasa beliau masih belum memegang jawatan Presiden AS lagi.
Beliau membuat kenyataan itu ketika berdebat dalam persaingan untuk menjadi calon Presiden negara tersebut bagi mewakili parti Demokrat di negeri Atlanta pada November 2019.
Ketika itu, beliau menyentuh tentang pembunuhan wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi yang merupakan rakyat Arab Saudi di konsulat negara beraja tersebut di Istanbul, Turki pada Oktober 2018.
Khashoggi merupakan pengkritik kerajaan Arab Saudi dan seramai lapan warganegara berkenaan yang didapati bersalah kerana terlibat dalam kes pembunuhan itu akhirnya dihukum penjara setelah hukuman mati dikaji semula disebabkan ahli keluarga wartawan tersebut memaafkan perbuatan mereka.
Dalam kes tersebut, Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman atau lebih dikenali dengan panggilan MBS menafikan terlibat dalam pembunuhan berprofil tinggi itu.
Bagaimanapun, selepas memenangi pilihan raya Presiden AS pada tahun 2020 dan memegang jawatan tersebut pada 2021, Biden pada Jumaat lalu menjelaskan tentang prinsip hak-hak asasi manusianya yang mendasari hubungan antara Washington dengan Riyadh.
Namun, katanya pada satu sidang akhbar, beliau tidak akan mengubah pandangannya tentang hak-hak asasi manusia tetapi sebagai Presiden, tugasnya adalah untuk membawa keamanan.
Lawatannya ke Arab Saudi itu pertama kali dilaporkan oleh akhbar The Washington Post dan New York Post, manakala Rumah Putih masih belum membuat pengumuman tentang kunjungan tersebut.
Walaupun masih tidak mengumumkannya, menurut sumber yang rapat dengan perancangan Rumah Putih itu, Biden telah memutuskan untuk melawat Arab Saudi dan Israel.
Rancangan melawat negara berkenaan didedahkan oleh media Barat selepas Rumah Putih dilaporkan berusaha untuk membuat panggilan telefon antara Biden dan MBS pada Mac lalu tetapi ditolak oleh Putera Mahkota tersebut yang dianggap ramai pihak sebagai pemimpin ‘de facto’ Arab Saudi.
Dalam lawatan itu, Biden dipercayai akan menemui MBS.
Presiden AS sebelum ini, Donald Trump daripada parti Republikan menjalin hubungan rapat dengan Arab Saudi.
HARGA MINYAK NAIK
Bagaimanapun, Biden pernah berjanji akan mengambil langkah yang berbeza apabila dipilih menjadi Presiden AS.
Berita tentang lawatannya ke Arab Saudi itu tersebar ketika isu harga minyak melonjak disebabkan oleh sekatan ekonomi Washington dan sekutu-sekutunya ke atas Rusia yang menyerang Ukraine pada Februari lalu.
Adakah jika lawatan tersebut dilakukan, masalah harga minyak akan dibincangkan dengan Riyadh yang kaya dengan ‘emas hitam’ itu?
Biden berusaha mencari cara untuk menurunkan harga petrol di AS dan Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre mengakui peranan Arab Saudi dalam mencapai konsensus dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) untuk mengeluarkan minyak dengan jumlah lebih banyak di pasaran dunia.
Ia bertujuan untuk menurunkan harga minyak di pasaran global.
Terdapat juga spekulasi bahawa Biden akan mengambil bahagian dalam sidang Majlis Kerjasama Teluk di Riyadh yang anggota-anggotanya ialah Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu.
Isu lawatan Biden ke Arab Saudi juga berlaku selepas gencatan senjata antara kerajaan Yemen yang disokong oleh kerajaan beraja tersebut dengan kumpulan penentang, Houthi disambung selama dua bulan lagi.
Persetujuan gencatan senjata itu menyebabkan Setiausaha Akhbar Rumah Putih itu memuji pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz dan MBS berhubung perang saudara di Yemen yang meletus pada tahun 2015.
Bagaimanapun, jika lawatan itu diadakan, adakah perbincangan tentang isu Palestin akan turut dibincangkan oleh Biden?
Biden sebelum ini dilaporkan memberitahu Perdana Menteri Israel, Naftali Bennett dalam perbualan telefon pada April bahawa beliau merancang melawat Israel dalam beberapa bulan akan datang tetapi tiada tarikh rasmi telah diumumkan.
Namun, seorang pegawai Israel memberitahu akhbar Israel bahawa lawatan itu mungkin akan diadakan pada 19 Jun dan Biden dilaporkan akan mengunjungi Tebing Barat serta bertemu dengan Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas.
Persoalannya, adakah lawatan itu benar-benar berlaku dan tentu ada motif tertentu yang menyebabkan Biden mahu melawat Asia Barat. - Agensi.
Klik di sini untuk terus membaca