CARA sesetengah orang politik melacurkan istilah ‘masih’ dan membandingkan kos sara hidup di Malaysia dengan negara-negara lain memberi dua gambaran tidak baik.
Yang pertama, bahasa sendiri pun mereka tidak faham dan kedua, mereka menganggap semua orang bodoh atau kedua-duanya sekali.
Boleh jadi juga mereka menggunakan ungkapan seperti ‘ekonomi masih kuat’ dan ‘kadar inflasi masih rendah’ sebab mereka tahu ekonomi sedang menuju ke arah kelemahan serta kadar inflasi akan melambung tinggi.
Adalah mustahil orang seperti Datuk Seri Mustapa Mohamed, seorang pakar ekonomi dan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, seorang eksekutif perbankan tidak tahu arah tujuan ekonomi yang diamanahkan kepada mereka.
Jadi, apabila 26 Mei lalu, Mustapa dilaporkan berkata, harga barang di Malaysia ‘masih rendah’ berbanding Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), saya rasa ada muslihat di sebalik kenyataannya itu.
Adakah beliau cuba menyedapkan hati orang ramai dengan berkata nasib mereka lebih baik daripada penduduk dua negara maju itu dan kerajaan Malaysia lebih berjaya mengawal harga barang?
Mustahil beliau tidak tahu perbandingan tersebut hambar dan mengelirukan.
Orang yang pernah belajar, bekerja atau melancong ke AS serta UK tentu mengakui bahawa harga barang makanan dan keperluan asas adalah lebih murah dibandingkan dengan Malaysia mengikut nilai mata wang tempatan.
Antara sebabnya, AS, UK dan banyak lagi negara perindustrian tidak mengabaikan pertanian, khususnya pengeluaran bahan makanan.
Amerika ialah negara pengeksport makanan terbesar di dunia, diikuti Jerman, UK, China, Perancis, Belanda, Jepun, Kanada, Belgium dan Itali. Kecuali China, yang lain semuanya negara perindustrian.
Jadi, jika kita bandingkan Malaysia dengan negara-negara tersebut, kegagalan kita ada berlipat ganda.
Kita negara pertanian yang mempunyai keluasan bumi sama seperti sesetengah mereka tetapi gagal memajukan pertanian sehingga terpaksa bergantung kepada import.
INDEKS BIG MAC
Saya harap Mustapa tidak membuat perbandingan kos sara hidup berasaskan semata-mata kepada Indeks Big Mac.
Indeks yang dicipta oleh majalah The Economist itu membandingkan kos sara hidup global menggunakan harga burger Big Mac yang dijual di restoran makanan segera, McDonald’s.
Sebagai wakil rakyat, beliau tentu tahu sejak setahun dua ini, harga sajian McDonald’s pun naik sedangkan pendapatan per kapita merosot.
Laman web McDonald’s Malaysia memberikan harga satu Big Mac RM10.40 (AS$2.36).
Yang sama penting adalah bagi Mustapa menyedari dan mengakui bahawa masih ramai rakyat Malaysia tidak mampu makan di restoran McDonald’s atau Kentucky Fried Chicken (KFC).
Perbandingan yang lebih baik adalah melihat kos sara hidup dahulu dan sekarang. Itulah yang kebanyakan rakyat jelata sedang perkatakan.
Mengapa harga barang dahulu lebih termampu dari sekarang walaupun dahulu pendapatan lebih rendah?
Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga kena ikhlas. Kurangkanlah memberi alasan teknikal bagi menjustifikasikan kejatuhan kadar tukaran ringgit.
Ini bukan perkembangan seminggu, sebulan atau dua tahun sejak beliau menjadi Menteri Kewangan.
Kadar tukaran ringgit mula merosot sejak 2011, daripada RM3.01 bagi setiap AS$1 pada 5 Ogos tahun berkenaan kepada sekitar RM4.40 sekarang. Sudah 10 tahun lebih.
Kesimpulannya, adalah lebih baik bagi menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas ekonomi dan kewangan memberi maklumat yang betul kepada orang ramai dan nasihat yang baik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia amat wajar kerana Perdana Menteri bukanlah seorang yang pakar dalam hal ekonomi dan kewangan.
Kita perlu takut kepada kemungkinan beliau akan mendengar nasihat yang salah daripada orang di luar kabinet.
Wallahuaklam.
* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara
Klik di sini untuk terus membaca