SHAH ALAM - Siasatan membabitkan kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dilakukan dengan terperinci bagi mengesan individu yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan itu. Tegas Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Siasatan membabitkan kes penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dilakukan dengan terperinci bagi mengesan individu yang terlibat dengan jenayah rentas sempadan itu.

Tegas Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintendan Rizal Mohamed, individu yang terlibat dan bersekongkol dengan sindiket diingatkan supaya berhenti daripada melakukan perbuatan sedemikian kerana hukuman yang menanti adalah berat termasuklah tindakan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).

Menurutnya, Mac lalu, Batalion 4 PGA menahan seorang lelaki tempatan berusia 58 tahun yang pertama kali cuba menjadi tali barut sindiket dengan menerima upah RM50 bagi setiap PATI yang dihantar.

"Berdasarkan kes tangkapan PATI juga mendapati ada pembabitan warga tempatan yang berperanan sebagai pemandu e-hailing untuk mengambil pendatang yang baru tiba untuk dihantar ke lokasi tertentu seperti rumah penampungan (rumah sementara).

Rizal
Rizal

"Hasil risikan kita juga berjaya menggempur sebuah premis di Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya pada Mei lalu yang dipercayai dijadikan sebagai rumah penampungan dan berjaya menahan 27 PATI warga Indonesia,” katanya kepada Sinar Ahad.

Rizal berkata, sejak peralihan fasa endemik pada 1 April hingga 31 Mei, seramai 80 PATI ditahan membabitkan 67 lelaki serta 13 wanita.

Katanya, PATI terbabit dipercayai akan membayar kepada ejen sindiket berjumlah RM1,200 hingga RM2,500 setiap seorang.

"Sekiranya PATI ini masuk dari Dumai, Indonesia, kebiasaan mereka akan membayar kira-kira RM1,200 hingga RM1,800 setiap seorang manakala jika masuk dari Tanjung Balai, Indonesia, bayaran akan mencecah RM2,000,” jelasnya.

Mengulas lokasi panas pendaratan PATI di Selangor, Rizal mendedahkan, terdapat 13 lokasi panas pendaratan PATI dikenal pasti membabitkan dua sektor iaitu selatan meliputi Bagan Lalang ke Morib manakala sektor utara meliputi Klang ke Sabak Bernam.

"Bagi sektor selatan terdapat lima tempat yang dikenal pasti lokasi panas pendaratan PATI iaitu Bagan Lalang, Tanjung Rhu, Tanjung Sepat, Kanchong Laut serta Kampung Tali Air.

"Sektor utara meliputi Sungai Serdang, Sungai Janggut, Pantai Remis, Sungai Yu (Tanjung Karang), Parit 4 (Sekinchan), Sungai Nibong, Sungai Besar dan Sungai Lang (Sabak Bernam),” dedah beliau.

Justeru tegasnya, PGA akan sentiasa bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam membanteras kegiatan penyeludupan PATI.

Laporan muka depan Sinar Harian pada Sabtu.

"Mereka yang terlibat dengan sindiket bawa masuk dan keluar PATI tidak akan dapat lari kerana lambat atau cepat mereka akhirnya akan diberkas.

"Warga tempatan yang bersekongkol dengan sindiket ini diingatkan untuk segera berhenti menjadi pengkhianat negara kerana anda membenarkan negara dicerobohi sewenang-wenangnya.

"Kita tidak tahu siapa mereka sama ada penjenayah atau pengganas,” tegas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca