PADA 31 Mei 2022, hubungan diplomatik antara Malaysia dan China memasuki 48 tahun. Hubungan dua hala kedua-dua negara bermula berikutan pemeteraian Komunike Bersama antara Malaysia dan China di Beijing pada 31 Mei 1974. Sejak itu, Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 31 Mei 2022, hubungan diplomatik antara Malaysia dan China memasuki 48 tahun.

Hubungan dua hala kedua-dua negara bermula berikutan pemeteraian Komunike Bersama antara Malaysia dan China di Beijing pada 31 Mei 1974.

Sejak itu, Malaysia mengamalkan Dasar Satu China. Dalam tempoh tersebut, kedua-dua kerajaan telah menandatangani beberapa perjanjian yang menjadi teras kepada hubungan antara Kuala Lumpur dan Beijing.

Dokumen-dokumen diplomatik ini termasuk Kenyataan Bersama Mengenai Rangka Kerja Kerjasama Dua Hala Masa Hadapan yang ditandatangani pada 31 Mei 1999, Komunike Bersama yang dikeluarkan pada tahun 2005 dan Pelan Tindakan Bersama Kerjasama Strategik pada Jun 2009.

Faktanya, hubungan Malaysia-China telah pun terjalin seawal kurun ke-15 antara Kesultanan Melaka dengan Dinasti Ming.

Ekonomi merupakan salah satu aspek utama yang menghubungkan Malaysia-China kerana China telah menjadi rakan dagangan Malaysia yang terbesar dalam tempoh 12 tahun berturut-turut.

Hubungan dagangan Malaysia-China tetap teguh ketika dunia diuji dengan pandemik Covid-19 pada 2020.

Jumlah dagangan antara Malaysia-China sekitar RM329.77 bilion (18.6 peratus jumlah dagangan) berbanding setahun sebelum iaitu RM317.13 bilion (17.2 peratus jumlah dagangan).

Pandemik Covid-19 telah secara tidak langsung telah memperkukuhkan hubungan ekonomi Malaysia-China.

Pada peringkat awal pandemik China telah membekalkan pelitup muka, peralatan perubatan dan kesihatan kepada Malaysia.

Pada masa sama, Malaysia telah menyumbang 18 juta sarung tangan getah dan makanan yang bernilai kira-kira AS$1 juta.

Selain itu, China telah membantu dalam program imunisasi dengan membekalkan 12 juta vaksin jenis Sinovac kepada Malaysia.

Pada September 2021 China telah menyumbang sejuta lagi dos vaksin Sinovac ke Malaysia. Justeru itu, China sedang mempromosikan konsep ‘jalan sutera kesihatan iaitu kerjasama dalam bidang kesihatan dan perubatan yang menjadi sebahagian daripada Jalur dan Laluan China (BRI).

Pada era pasca-pandemik kerajaan Malaysia dan China bersetuju untuk memperkukuhkan kerjasama melalui pembentukan Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kerjasama Pasca Pandemik Malaysia-China.

HUBUNGAN YANG DIUJI

Pada Oktober 2021, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika Majlis Pembukaan Expo China-ASEAN ke-18 yang diadakan atas talian telah mencadangkan agar kerjasama ASEAN-China pasca-pandemik harus tertumpu kepada tiga aspek iaitu perdagangan dan pelaburan, memperkukuhkan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan mempermudahkan gelembung perjalanan rentas sempadan.

Kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk meningkatkan kerjasama melalui BRI khasnya dalam projek Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) dan Taman Perindustrian China-Malaysia Qinzhou (CMQIP), pembangunan pelabuhan Kuantan dan stesen-stesen sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Syarikat pembinaan China juga terlibat dalam pembinaan landasan kereta api berkembar elektrik Gemas-Johor Bahru.

Namun, hubungan Malaysia-China juga diuji. Antaranya ketegasan China di sekitar kawasan maritim dan ruang udara Malaysia.

Pada April-Mei 2020, kapal peninjau China Haiyang Dizhi 8, diiringi empat kapal Pengawal Pantai China (CCG) serta sembilan kapal militia memasuki ke kawasan maritim Malaysia, termasuk Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan pelantar benua.

Kapal peninjau minyak itu dan pengiringnya berpotensi mengganggu aktiviti cari gali minyak dan gas West Capella, sebuah kapal penggerudian dari United Kingdom yang dikontrak oleh Petronas, syarikat minyak milik kerajaan Malaysia.

Selain itu, pada 31 Mei 2021 ketika kedua-dua negara sedang menyambut ulangan tahun hubungan diplomatik ke-47 Tentera Udara Tentera Pembebasan Rakyat (PLAAF) telah dikesan memasuki ruang udara berhampiran pantai Sawarak sehingga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah dihantar untuk memintas mereka.

Pada September 2021, kapal peninjau China Da Yang Hao juga telah dilaporkan memasuki perairan Malaysia berhampiran pantai Sarawak dan Sabah.

Peristiwa ini telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan pemimpin Malaysia. Kejadian sedemikian jelas bertentangan dengan dasar China yang mementingkan semangat kejiranan dan kerjasama dengan anggota ASEAN.

Namun, melalui semangat setia kawan, hubungan diplomatik Malaysia-China yang terbina sejak lebih empat dekad lalu terus kukuh meski ia penuh dengan ranjau berduri.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca