INFLASI adalah satu mantera kuat menaikkan sentimen rakyat untuk menyalahkan kerajaan atau pengawal polisi ekonomi serta kewangan negara. Siapa tidak marah harga barang naik walaupun permintaan tidak pernah berkurangan akibat kenaikan... Klik di sini untuk terus membaca

INFLASI adalah satu mantera kuat menaikkan sentimen rakyat untuk menyalahkan kerajaan atau pengawal polisi ekonomi serta kewangan negara.

Siapa tidak marah harga barang naik walaupun permintaan tidak pernah berkurangan akibat kenaikan harga.

Kita telah biasa menyalahkan kerajaan apabila harga barang naik. Kerap inflasi digunakan oleh musuh politik untuk mengabsahkan propaganda bahawa pemimpin negara gagal dan lemah.

Namun, beberapa hari lalu seorang profesor dan penganalisis politik (bukan bidang ekonomi) menulis dengan mendakwa kerajaan gagal menguruskan ekonomi negara berikutan peningkatan kadar inflasi dan kadar faedah semalaman (OPR) serta kejatuhan nilai ringgit.

Beliau mempertikaikan kenyataan kerajaan bahawa ekonomi negara kukuh dan mampan, malah beliau melahirkan kebimbangan Malaysia akan menjadi Sri Lanka 2.0.

Seorang profesor ialah seorang penyelidik. Justeru, walaupun daripada bidang lain, kenyataan mengenai sesuatu bidang seperti ekonomi harus berasaskan data dan fakta.

Malangnya, profesor itu menolak semua data hanya untuk memberi gambaran tidak benar mengenai ekonomi negara.

Pertama, kita tidak menafikan negara berdepan inflasi atau kenaikan harga barang. Namun, profesor itu gagal menyatakan inflasi masa kini berlaku di seluruh dunia, bukan sahaja di Malaysia dan bukan kerana kerajaan lemah seperti dakwaan beliau.

Inflasi global adalah kesan pasca pandemik dan perang Rusia-Ukraine. Ketika ini inflasi di Malaysia pada 2.3 peratus iaitu masih rendah berbanding sebelum pandemik.

Inflasi harga keperluan asas iaitu makanan dan minuman meningkat empat peratus, namun ia tidak bermakna ekonomi kita tidak berkembang.

Jika profesor itu faham mengenai inflasi, tentu beliau tahu negara memerlukan inflasi untuk mencatat pertumbuhan ekonomi.

Inflasi bukan buruk langsung. Inflasi adalah indikator ekonomi kita berkembang kerana lawan kepada inflasi ialah deflasi yang akan melibatkan kemelesetan ekonomi. Ia lebih berbahaya kepada ekonomi negara.

Namun, kita juga perlu mengawal inflasi agar ia berada pada paras minimum atau sederhana supaya selari dengan pendapatan rakyat, sekali gus tidak menjejaskan kuasa beli rakyat.

KADAR INFLASI MASIH MUNASABAH

Sesiapa yang meragui isu inflasi boleh membaca wawancara Nikkei Asia bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong pada 20 Mei lalu yang menyatakan masalah inflasi dunia sangat serius.

Beliau berkata, kadar inflasi sekarang memerlukan langkah drastik untuk menurunkannya dan mencegah jangkaan inflasi daripada bermula. Namun, beliau juga melahirkan kebimbangan langkah terlalu drastik mungkin akan mencetuskan kemelesetan ekonomi.

Sebenarnya kadar inflasi negara masih pada kadar munasabah jika dibandingkan sepanjang 10 tahun lalu atau dengan negara serantau.

Kadar inflasi negara pada April lalu hanyalah 2.3 peratus berbanding kadar-kadar sebelum pandemik dan tahun lalu mencecah antara 3.8-4.4 peratus.

Kedua, profesor itu secara sinis mempertikaikan kekukuhan dan kemampanan ekonomi. Beliau bimbang Malaysia menjadi seperti Sri Lanka.

Malangnya, beliau langsung tidak mengemukakan data-data bagi mengesahkan dakwaan tersebut.

Sebaliknya, laporan ekonomi negara untuk suku pertama tahun 2022 menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara telah mencatatkan pertumbuhan lima peratus, manakala pelaburan langsung asing (FDI) merekodkan aliran masuk bersih lebih tinggi iaitu meningkat hampir tiga kali ganda kepada RM24.4 bilion berbanding RM8.5 bilion pada suku pertama 2021.

Malah, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) juga menyatakan ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 5.75 peratus tahun ini.

Ketiga, tuduhan kenaikan OPR sebagai tanda ekonomi negara gagal juga sangat mengelirukan.

Kenaikan OPR kepada dua peratus adalah langkah pemulihan polisi kewangan dan ekonomi negara. Kadar OPR kita sebelum pandemik berlegar antara 3 – 3.5 peratus.

Kenaikan OPR penting bagi membantu kerajaan mengawal inflasi dan menaikkan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.

Adalah sukar menangkis semua persepsi nakal profesor tersebut dalam ruang yang terhad ini.

Sangat mudah kita menulis menyesatkan (mislead) rakyat berbanding menerangkan kebenaran dan membawa aura positif.

Namun, sebagai seorang ahli akademik dihormati, komen yang dilontar walaupun di media sosial haruslah boleh dipertahankan, bukan sekadar mengejar kontroversi dan viraliti.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca