SHAH ALAM - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff percaya bakal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyedari tentang keperluan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff percaya bakal Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli menyedari tentang keperluan Pakatan Harapan (PH) mewujudkan kerjasama politik dalam kalangan parti-parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Justeru kata Rais Hussin, beliau yakin Rafizi akan berlembut dan berubah fikiran dalam mempertimbangkan soal keperluan PKR dan PH dalam melaksanakan agenda pembentukan ‘electoral coalition’ dalam kalangan pembangkang.

Hal ini kerana beliau berpandangan Rafizi turut sedar PH dan PKR sahaja tidak berkemampuan menyekat peluang kemenangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menguasai PRU15, sekiranya pertembungan lebih dua penjuru benar-benar menjadi realiti.

Meskipun Rafizi selama ini lantang menolak idea pembentukan khemah besar pembangkang sebagaimana dikemukakan beberapa pemimpin dalam PH sebelum ini, Rais Hussin percaya bekas Naib Presiden PKR itu mungkin boleh mempertimbangkannya sekiranya ia ditambah baik.

"Saya yakin Rafizi bijak untuk mengetahui keperluan pembangkang membentuk 'electoral coalition' dengan idea itu mungkin ditambah baik daripada cadangan pembentukan khemah besar secara rasmi seperti PRU14.

"Jika hasrat menjadikan negara bebas daripada cengkaman kerajaan kleptokrat dan salah guna kuasa dipersetujui semua pihak, saya percaya Rafizi mampu menjadi pemimpin rasional untuk mengetuai usaha perbincangan dengan parti-parti pembangkang bagi mewujudkan persefahaman tidak rasmi.

"Secara jelas, barisan pembangkang perlu satu pendekatan baharu untuk mengurus tadbir negara secara telus, tanpa rasuah dan salah guna kuasa. Banyak kerja sebenarnya yang perlu dilakukan Rafizi bagi mencapai hasrat itu dan beliau perlu berpijak pada bumi yang nyata,” katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada idea khemah besar pembangkang kini sudah terkubur susulan Rafizi disahkan menang tidak rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan PKR, sementara Tun Dr Mahathir menolak kerjasama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mengulas lanjut, Rais Hussin yang juga bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga menegaskan sama ada Rafizi dan Anwar harus menyedari realiti di peringkat akar umbi di mana senario pertembungan lebih dua penjuru hanya akan mengundang kemenangan besar BN.

"Saya percaya akan ada satu perbincangan lebih demokratik dalam kalangan pemimpin PH untuk mewujudkan satu penyelesaian konstruktif (dalam isu khemah besar).

"Saya akui demokrasi adalah dinamik, namun parti-parti juga tidak boleh melupakan prinsip perjuangan membasmi masalah rasuah, kleptokrasi dan salah guna kuasa yang membelenggu pentadbiran kerajaan selama ini.

"Semua pihak harus mengamalkan pendekatan lebih wasatiyah dan saya yakin Rafizi akan menunjukkan sifat rasional bagi merealisasikan hasrat ‘Reset Malaysia’,” ujarnya.

PEMAIN PASUKAN

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Penyelidikan, Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Ariffin Mohd Munir berkata, beliau berkongsi pandangan Rais Hussin dengan berpendapat strategi dan ruang pilihan raya ketika ini masih terbuka luas, sekali pun Rafizi bakal dimuktamadkan sebagai Timbalan Presiden PKR dalam kongres parti itu bulan ini.

Jelasnya, walaupun Rafizi mempunyai pandangan peribadi tersendiri, beliau harus dan wajib menjadi pemain pasukan untuk menyetujui sebarang keputusan parti yang dibuat secara konsensus dalam Kongres PKR Kebangsaan kelak.

"Hingga kini, PKR dan PH secara rasminya masih belum membuat sebarang ketetapan berhubung insiatif khemah besar pembangkang.

"Justeru, dalam politik, mungkin akan berlaku eksplorasi politik dalam pelbagai senario untuk menang dalam PRU15 menerusi pendekatan pelbagai strategi munasabah. Maka ruang berbincang dan berunding masih terbuka luas.

"Potensi kerjasama dengan pelbagai parti masih terbuka luas. Strategi juga begitu. Istilah mungkin berbeza. Walaupun Rafizi pernah memberikan pandangannya, namun akhirnya sebagai pasukan parti di bawah Presiden PKR, ia juga nanti akan tertakluk dengan keputusan bersama dalam parti kelak,” ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca