PADA hujung tahun 2021, sebuah buku rujukan yang hebat telah diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Ia berjudul Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir. Penulis pertama ialah Tan Sri Ab Rashid Ab... Klik di sini untuk terus membaca

PADA hujung tahun 2021, sebuah buku rujukan yang hebat telah diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Ia berjudul Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

Penulis pertama ialah Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).

Penulis kedua ialah pengamal media dan mantan ahli tetap ERC, Dr Manimaran Govindasamy (G Manimaran). Kedua-dua penulis yang tekun ini meluangkan masa selama setahun untuk menulis buku yang tinggi standardnya ini.

Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur Lah telah berkenan melancarkan buku ini di Kuala Lumpur. Majlis yang permai ini telah dianjurkan oleh Universiti Malaya pada pagi 21 Mac 2022.

Buku tentang pilihan raya demokrasi di Malaysia ini menyediakan segala butiran yang diperlukan sebagai panduan oleh setiap pemegang taruh, tidak kira para politikus atau pun rakyat biasa, yang merupakan pemilih dan penentu wakil rakyat mereka.

Ia juga menyediakan satu huraian lengkap yang diperlukan oleh setiap rakyat sama ada mereka itu pemilih atau pengundi, politikus atau calon, serta agensi yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya. Ia sekali gus membantu memenuhi prinsip sistem pilihan raya demokrasi negara Malaysia.

Pilihan raya merupakan satu komponen yang amat penting di negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia. Oleh itu, ketersediaan dan kedapatan bahan-bahan rujukan berkaitan proses pilihan raya demokrasi menjadi sangat relevan bagi persiapan proses ini.

21 JUTA PENGUNDI

Buku yang mengandungi 806 halaman ini mengandungi 15 Bab, senarai rajah, senarai jadual, senarai gambar serta indeks yang sangat berguna. Ia bersaiz 19.0 sentimeter (sm) x 25.4 sm dan berkulit nipis.

Semua gambar hitam-putih yang bersejarah adalah dari Ogos 1959, sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) pertama di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya), hinggalah PRU ke-14 di Malaysia pada tahun 2018. Satu lampiran yang mengandungi statistik PRU (parlimen dan negeri) yang rapi disampaikan secara berwarna.

Buku ini mestilah disimpan di pusat-pusat pembacaan seperti perpustakaan sebagai rujukan utama terkait pilihan raya di Malaysia. Ia boleh dimanfaatkan oleh warga dunia yang berminat tentang pilihan raya demokrasi di Malaysia.

Pada pagi 31 Mac 2022, Dr Manimaran telah mengunjungi rumah keluarga saya di daerah Gombak-Batu Caves dan kami saling menghadiahkan buku masing-masing. Dr Manimaran menghadiahkan bukunya itu kepada dan saya menghadiahkan kepada beliau dua buah buku saya yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada awal 2021.

Kami juga berbincang tentang senario siasah masa kini dan persiapan ke arah PRU ke15. Bagi saya, tanpa kegigihan, sikap saling mempercayai dan semangat untuk merekodkan peristiwa negara sebagai rujukan rakyat masa kini dan teladan masa depan, mereka berdua tidak akan berjaya dengan misi yang dikongsi bersama itu. Syukur kepada Tuhan yang mengizinkan usaha mereka menjadi satu realiti yang penuh manfaat.

Kami berhubung hingga kini. Antara maklumat yang disampaikan oleh Dr Manimaran kepada saya ialah mulai Disember 2021, daftar pemilih dikemas kini dan diwartakan setiap bulan.

Pada setiap bulan sejak Januari 2022, peningkatan bilangan pengundi baharu ialah sekitar 40,000 orang. Menurut SPR, jumlah pemilih sehingga April 2022 ialah seramai 21,090,980 orang. Ini termasuk bilangan pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca