KEHIDUPAN lestari adalah melibatkan pengurangan penggunaan sumber bumi dalam usaha untuk melindunginya serta mengekalkan kebaikannya.
Setiap manusia seharusnya menanamkan rasa tanggungjawab terhadap pelestarian muka bumi ini. Setiap tingkah dan laku dalam kehidupan akan memberi kesan kepada persekitaran muka bumi ini dan menjadi tanggungjawab bersama untuk melindungi bumi ini demi kebaikan generasi akan datang.
Pelbagai cara dan usaha boleh dilakukan bagi membantu usaha ini dan sebaiknya hendaklah bermula dari aplikasi kehidupan seharian di rumah. Kesedaran hendaklah bermula dari diri sendiri. Walaupun amalan dari rumah ini merupakan satu perubahan kecil, namun sekiranya dilakukan secara berterusan, sudah pasti akan memberi impak yang positif dalam usaha mengekal kelestarian.
Salah satu cara yang boleh dimulakan di rumah adalah dengan pengurangan penggunaan tenaga di mana ia dapat membantu mengurangkan pelepasan karbon. Antara beberapa perkara yang boleh menjimatkan tenaga di rumah adalah memastikan setiap peralatan elektrik yang tidak digunakan ditutup.
Setiap perkakas elektrik di rumah yang digunakan sebaiknya peralatan yang jimat tenaga. Sekiranya mempunyai kemampuan yang lebih, adalah amat digalakkan untuk mengaplikasikan penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan lebih bersih seperti Tenaga Solar.
Selain itu juga, amalan Kitar dan guna semula merupakan inisiatif yang sangat penting untuk dimulakan di rumah. Walaupun sudah banyak kempen dilakukan, namun sekiranya amalan ini tidak diamalkan sebaiknya di rumah, impaknya secara keseluruhan sudah pasti amat minimum.
Barangan terpakai seperti kotak, kaca dan plastik, walaupun sudah tidak boleh digunakan sebagai kegunaan asalnya, namun, ianya boleh digunakan untuk lain yang bersesuaian. Didikan tentang kepentingan mengitar semula kepada anak-anak juga perlu dilaksanakan agar mereka menyedari kepentingannya.
Pembaziran gaya hidup lestari bukan hanya melibatkan penggunaan tenaga dan kitar semula semata-mata, malah ia turut meliputi aspek penting yang lain seperti mengelakkan pembaziran sumber makanan.
Kesedaran dalam kesan negatif pembaziran makanan harus dititikberatkan. Memilih dan memasak apa yang perlu adalah lebih sesuai berbanding berlaku pembaziran sisa makanan. Kesannya berlakunya pembaziran sumber mentah yang sepatutnya tidak berlaku ditambah dengan peningkatan kos bahan mentah masa kini.
Selain daripada itu, penggunaan produk pembersihan juga perlu diambil kira. Ini kerana kebanyakan produk pembersihan mengandungi bahan-bahan kimia yang boleh memudaratkan alam sekitar. Mulakan dengan menukar penggunaan produk pembersihan kepada produk mesra alam. Dengan memulakan langkah ini, kita akan membantu dengan menghalang kerosakan berterusan kepada muka bumi.
Kesedaran akan keburukan pembaziran air juga adalah perlu bagi kehidupan lestari. Air merupakan sumber yang sangat penting dan seharusnya pembaziran air perlu dielakkan sebaik mungkin. Penggunaan air yang berhemah harus dipraktikkan dalam kehidupan seharian.
Satu cara bagi membantu dalam penjimatan air adalah dengan mengumpul air hujan untuk digunapakai semula. Setiap rumah boleh menyediakan sebuah tong takungan air hujan bagi tujuan pengumpulan air.
Air takungan ini boleh digunapakai semula untuk pelbagai kegunaan. Antaranya adalah digunakan untuk pengairan taman atau kebun, penyiraman pokok bunga, membasuh kereta dan pelbagai kegunaan semula yang lain.
Kesedaran setiap individu adalah kunci kepada perubahan ini. Dengan memupuk semangat segalanya bermula dari rumah, segala isu kelestarian yang berlaku di sekeliling dapat ditangani dengan baik.
Apa yang diamalkan di rumah sudah pasti akan terbawa dan diamalkan di dalam kehidupan seharian sama ada di tempat kerja mahupun tempat awam.
* Elma Dewiyana Ismail ialah Pensyarah Pusat Pengajian Ukur Bangunan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM Shah Alam
Klik di sini untuk terus membaca