SHAH ALAM - Potensi calon-calon pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bergantung kepada pihak atau parti mana yang menjadi ‘payung’ kepada mereka.
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, sekiranya calon terbabit popular tetapi bertanding atas logo ‘parti nyamuk’ atau parti kecil, ia tidak akan berhasil untuk memenangi kawasan yang ditandingi.
"Ia tidak akan berhasil terutama sentimen pengundi di semenanjung yang lebih cenderung menyokong calon berdasarkan parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilaporkan membuka pintu kerjasama dengan golongan profesional dan NGO Melayu dalam menghadapi PRU15.
Mengulas lanjut mengenai kerjasama dengan golongan profesional dan NGO Melayu, Awang Azman berkata, kerjasama seperti ini telah ada dalam politik Malaysia yang dilakukan oleh parti-parti dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).
"Misalnya, UMNO ada kerjasama dengan golongan profesional dan NGO Melayu secara langsung dan tidak langsung.
"Kerjasama dengan NGO pelbagai etnik juga dilakukan sesuai dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia,” katanya.
Mengulas isu sama, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula berpendapat, tidak ada jaminan untuk Pejuang menang di kawasan yang ditandingi sekiranya parti itu meletakkan calon daripada NGO Melayu.
"Kerjasama NGO ini tidak cukup bagi saya untuk menang pilihan raya. Sebab calon NGO itu kita tidak kenal pun.
"Pejuang pun orang tak berapa kenal lagi disebabkan ia parti baharu kecuali Dr Mahathir dan (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir,” jelasnya.
Menurutnya, untuk menang di sesuatu kawasan dalam pilihan raya, perlunya ada gabungan parti politik sama ada separa, kurang atau lebih dominan.
"Asalkan ada gabungan (parti politik) dan ada tarikan kepada rakyat untuk beri mandat bagi memerintah negara,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca