SHAH ALAM - Bencana banjir pada akhir tahun lepas berisiko berulang apabila jumlah curahan hujan diramal sama atau hampir sama dengan keadaan tersebut untuk hujung tahun ini.
Pakar Meteorologi di Pusat Penyelidikan Antartika Kebangsaan, Profesor Datuk Dr Azizan Abu Samah berkata, keadaan itu dijangka berlaku kerana cuaca negara diramalkan akan terus dipengaruhi La Nina sehingga penghujung tahun ini dengan kebarangkalian lebih 60 peratus.
"Mengikut ramalan ada kemungkinan akhir tahun ini kita akan hadapi keadaan (curahan hujan) yang sama 2021/2022.
"Pada mulanya CPC (Climate Prediction Center) ramal akhir tahun ini kita dijangka neutral macam biasa tapi ramalan terkini ialah La Nina akan berterusan hingga akhir tahun 2022," ujarnya.
Negara pada penghujung tahun lalu dan awal tahun ini dikejutkan dengan kejadian banjir besar yang melanda beberapa negeri seperti Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor dan termasuk kawasan Lembah Klang.
Faktor curahan hujan ekstrem didapati menjadi faktor berlakunya bencana banjir besar di beberapa kawasan tersebut yang turut meragut nyawa dan membabitkan kerosakan harta benda mencecah bilion ringgit.
Fenomena La Nina adalah fasa sejuk bagi fenomena El Nino iaitu Ayunan Selatan atau ENSO yang merupakan mod utama keragaman semula jadi iklim akibat interkasi lautan dan atmosfera di Lautan Pasifik.
Secara purata fenomena itu berulang dua hingga lima tahun dan boleh berlaku dalam skala kategori lemah, sederhana dan kuat mengikut darjah penurunan suhu permukaan air laut di bahagian tengah dan timur lautan Pasifik (bagi La Nina).
Klik di sini untuk terus membaca