SHAH ALAM - Sering berfikiran negatif dan tidak dapat memberi tumpuan kepada kerja yang dilakukan adalah antara tanda-tanda awal seseorang menghadapi masalah kesihatan mental.
Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, ingatan individu yang mengalami masalah kesihatan mental juga akan sering terganggu.
Menurutnya, selain faktor pemikiran, tiga lagi aspek yang menjadi tanda-tanda seseorang mengalami masalah mental meliputi fizikal, emosi dan tingkah laku.
"Dari aspek fizikal, individu yang mempunyai masalah kesihatan mental ini juga sering sakit kepala seperti migrain, sakit sendi, badan selalu letih, degupan jantung laju, tekanan darah tinggi dan juga mengalami masalah pencernaan.
"Dari segi emosi, mereka ini sering mengalami emosi yang tidak stabil seperti cepat marah dan sering menangis.
"Bagi aspek tingkah laku, mereka yang ada gangguan kesihatan mental juga mengalami masalah tidur tidak teratur, suka menyendiri dan selalu mengabaikan tanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian.Tambah beliau, mereka yang mengalami tanda-tanda tersebut perlu mendapatkan rawatan bermula dengan sesi bersama kaunselor.
Bagaimanapun ujar beliau, sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan tekanan dan gangguan emosi dalam tempoh dua minggu secara berterusan, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.
"Bentuk rawatan adalah bergantung kepada tiga tahap sakit mental yang dialami seseorang.
"Pertamanya dalam keadaan tekanan yang normal, boleh dapatkan khidmat kaunselor. Namun pada tahap neurosis iaitu tekanan berterusan harus dapatkan rawatan lanjut.
"Yang ketiga adalah tahap psikosis iaitu mempunyai pemikiran tidak waras sehingga tahap mahu membunuh diri. Pada tahap ini mereka perlu mendapatkan khidmat pakar psikiatri,” ujarnya.
SAKIT MENTAL KEMBALI SEBAB STRES KERJA
Sementara itu, seorang pesakit mental mendedahkan pertama kali dia menyedari mengalami masalah kesihatan itu adalah semasa berumur 10 tahun.
Menceritakan perkara tersebut, pesakit itu yang hanya mahu dikenali sebagai Faiz berkata, pada mulanya dia mengalami sesak nafas, badan menggigil dan rasa seperti hendak ‘mati’.
"Saya pergi ke hospital untuk membuat pemeriksaan paru-paru, jantung dan sebagainya tetapi semuanya normal sehinggalah saya ditahan di wad selama seminggu.
"Selepas itu, doktor maklumkan saya mengalami masalah kesihatan yang dipanggil sebagai kecelaruan panik dan gangguan keresahan yang menyebabkan seseorang mengalami simptom tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Faiz berkata, rawatan psikiatri yang diterimanya adalah selama tiga tahun iaitu dari umur 10 hingga 13 tahun.
Walaupun telah sembuh, ujarnya, masalah kesihatan mental itu muncul kembali semasa dia berumur 29 tahun.
"Penyakit itu datang balik mungkin disebabkan faktor tekanan kerja atau terlalu memikirkan sesuatu perkara,” katanya sambil menambah dia kini terpaksa berjumpa dengan pakar psikiatri di sebuah hospital di ibu negara pada setiap bulan.
Jelasnya, ketika mengalami masalah kesihatan mental semasa kecil, dia hanya memakan sejenis ubat tetapi kini perlu mengambil dua jenis ubat lagi.
Cerita Faiz, antara sebab penambahan ubat itu adalah kerana dirinya juga mengalami masalah murung.
"Saya lebih suka memencilkan diri. Kadang-kadang saya tidak bercakap dengan rakan serumah, saya akan senyap sahaja.
"Saya juga tidak pasang lampu kalau duduk di dalam bilik,” katanya.
Dalam pada itu, Faiz yang menyedari dirinya mengalami masalah kemurungan pada umur 30 tahun menggesa mana-mana individu yang mengalami masalah kesihatan mental supaya mendapatkan rawatan secepat mungkin.
"Kalau ada masalah kesihatan mental, dapatkanlah rawatan segera. Jangan tunggu lagi. Nanti akan jadi lagi teruk,” ujarnya.
Dia juga mencadangkan kepada kerajaan agar memberikan panduan menerusi iklan di media tentang proses atau langkah untuk mendapatkan rawatan bagi mengatasi masalah kesihatan mental.
"Ada pesakit tidak tahu apa proses atau langkah-langkah untuk mendapatkan rawatan.
"Mungkin kerajaan boleh buat iklan di televisyen mengenai langkah-langkah yang mereka perlu ambil,” katanya.
Mereka yang memerlukan sokongan boleh menghubungi befrienders.org.my/centre-in-malaysia atau hubungi talian hotline Befrienders (03-7627 2929); Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (03-2935 9935 atau 014-322 3392); Talian Kasih (15999) dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (03-77825499)
Klik di sini untuk terus membaca