SHAH ALAM - Arahan ahli-ahli Parlimen mengemas kini maklumat peribadi kepada Parlimen adalah satu prosedur operasi standard (SOP) normal selepas tempoh pentadbiran Dewan Rakyat melebihi empat tahun. Berikutan itu, langkah tersebut yang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Arahan ahli-ahli Parlimen mengemas kini maklumat peribadi kepada Parlimen adalah satu prosedur operasi standard (SOP) normal selepas tempoh pentadbiran Dewan Rakyat melebihi empat tahun.

Berikutan itu, langkah tersebut yang dikaitkan dengan desas-desus Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam masa terdekat (spekulasi menjangkakan ia akan diadakan pada bulan Oktober ini) berkemungkinan tidak tepat.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, beliau mengesahkan menerima e-mel dihantar oleh Bahagian Hal Ehwal Ahli Parlimen pada 3 Jun lalu dengan pentadbiran Parlimen itu telah mengarahkannya untuk mengisi borang-borang berkaitan pembayaran faedah penamatan khidmat ahli Parlimen atau lebih dikenali elaun pencen ahli Parlimen.

Menurutnya, selepas empat tahun sesi Parlimen berlangsung, sememangnya pentadbiran Dewan Rakyat perlu mendapatkan maklumat terkini mengenai perincian data peribadi, hubungan terkini suami isteri, akaun bank dan alamat tempat tinggal bagi memudahkan urusan pembayaran elaun pencen ahli Parlimen apabila mereka berusia 50 tahun ke atas.

Charles Santiago - Foto Bernama

"Begitu juga dengan proses persediaan agensi-agensi kerajaan diketuai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghadapi PRU15.

"Dengan tempoh pentadbiran kerajaan hanya berbaki setahun, SPR dan agensi berkaitan wajib membuat persiapan dan pemeriksaan pusat pengundian di setiap negeri dan daerah bagi melicinkan proses pilihan raya kelak.

"Bila proses sebegini mula dijalankan, tidak bermaksud PRU wajib dilaksanakan dalam tempoh sebulan atau dua bulan lagi.

"Ini SOP normal yang perlu dilaksanakan agensi-agensi kerajaan selepas tempoh pentadbiran kerajaan selepas empat tahun kerana kuasa menentukan tarikh sebenar PRU terserah kepada bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong," ujarnya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan sesetengah pihak bahawa terdapat petanda PRU akan diadakan dalam masa terdekat ekoran pentadbiran Parlimen mengarahkan ahli-ahli Parlimen mengemas kini maklumat peribadi dengan segera.

Sinar Premium turut difahamkan ahli-ahli Parlimen yang menerima e-mel arahan daripada Parlimen itu, perlu mengembalikan maklum balas borang berkenaan selewat-lewatnya 10 Jun ini.

Arahan e-mel itu pula timbul di tengah-tengah kehangatan isu kepimpinan UMNO menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen secepat mungkin.

Dengan populariti UMNO dan Barisan Nasional (BN) kini sedang memuncak susulan kemenangan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, majoriti kepimpinan parti itu berpandangan saat ini merupakan waktu terbaik untuk UMNO-BN menang besar PRU15.

Pandangan itu bagaimanapun diketepikan beberapa pemimpin utama UMNO yang berada dalam 'kem Putrajaya' seperti Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

TIDAK SEMESTINYA PRU15 DUA, TIGA BULAN LAGI

Sementara itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Chan Ming Kai bersependapat dengan Santiago dan menganggap arahan pentadbiran Parlimen itu merupakan perkara biasa pada saat penggal pentadbiran kerajaan hampir ke saat penghujung.

"Langkah itu penting kerana pentadbiran Parlimen boleh memproses lebih awal borang-borang berkaitan pembayaran elaun pencen ahli Parlimen apabila kami sudah mencapai usia 50 tahun ke atas.

"Sekalipun PRU15 mungkin diadakan lebih awal atas kehendak kerajaan semasa, ahli-ahli Parlimen tidak boleh berbuat apa dan harus menerima keputusan itu sebaiknya.

"Cuma saya tidak nampak arahan Parlimen itu signifikasi PRU15 akan diadakan lagi dua, tiga bulan," katanya.

Chan Ming Kai

PRU15 MAKIN HAMPIR

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali.

Walaupun mengakui arahan Parlimen berkenaan merupakan satu SOP normal, beliau tidak menolak kemungkinan ia merupakan petanda PRU15 mungkin diadakan tidak lama lagi.

Khairuddin

"Ya, saya akui arahan e-mel itu tidak boleh dianggap isyarat PRU15 bakal dilaksanakan tidak lama lagi.

"Namun, dalam keadaan kepimpinan UMNO sendiri kuat menekankan keperluan PRU15 diadakan secepat mungkin, kita tidak boleh menolak kemungkinan ia benar-benar bakal direalisasikan kerajaan sedia ada.

"Kalau lihat secara umum, pertamanya UMNO mempunyai hujah kuat dalam menuntut PRU15 disegerakan. Mereka tahu dengan pembentukan sebuah kerajaan stabil dapat membantu memulihkan segera ekonomi negara di samping menjaga kepentingan rakyat.

"Pada masa sama, Perdana Menteri selaku salah seorang ahli Parlimen UMNO juga perlu akur dengan keputusan parti secara kolektif. Jadi bagi saya, tidak pelik sekiranya PRU15 bakal diadakan dalam masa terdekat," ujar Khairuddin lagi.

Klik di sini untuk terus membaca