ISRAEL terlibat dalam provokasi terbaharu dengan Lubnan berhubung usaha menggerudi gas asli di wilayah maritim yang masih menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak itu di Laut Mediterranen. Isu mencari dan menggerudi bagi mencari gas asli... Klik di sini untuk terus membaca

ISRAEL terlibat dalam provokasi terbaharu dengan Lubnan berhubung usaha menggerudi gas asli di wilayah maritim yang masih menjadi pertikaian antara kedua-dua pihak itu di Laut Mediterranen.

Isu mencari dan menggerudi bagi mencari gas asli itu sudah lama berlanjutan sejak lebih 10 tahun lalu lagi kerana Beirut menuntut kawasan tambahan seluas 1,430 kilometer persegi lebih jauh ke selatan laut itu.

Kawasan tambahan itu meluas ke sebahagian daripada kawasan medan gas Karish yang telah diberikan oleh Israel kepada syarikat penggerundian gas asli dan minyak Energean yang berpangkalan di London, Britain.

Kawasan sekitar Karish juga melibatkan kawasan yang dikenali sebagai Blok 72 dan dikatakan mengandungi deposit hidrokarbon yang besar manakala pada Jun 2019, Israel membenarkan syarikat Noble Energy yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) untuk melakukan penerokaan penggerudian di sana.

Bagaimanapun, pembangunan di kawasan itu dilaporkan telah dihalang oleh kebimbangan mengenai nasibnya dalam pertikaian dengan Lubnan.

Ketika ini, Israel dan Lubnan tidak mempunyai hubungan diplomatik dan secara teknikalnya, kedua-duanya masih berada dalam keadaan perang.

Namun, isunya kini ialah Israel melakukan kerja-kerja penggerudian dan cuba memanfaatkan hasil gas asli di kawasan luar pesisir pantai tanpa terlebih dahulu menyelesaikan pertikaian dengan Lubnan di kawasan tersebut.

Justeru, amaran terbaharu telah dikeluarkan oleh Presiden Lubnan, Michel Aoun pada Ahad lalu .

Beliau yang tanpa berselindung lagi menyatakan bahawa sebarang tindakan atau aktiviti di kawasan yang dipertikaikan merupakan satu provokasi dan dianggap satu tindakan agresif yang dilakukan Israel.

Aoun membuat komen itu selepas sebuah kapal penyimpanan dan pemunggahan pengeluaran (FPSO) tiba di kawasan yang dipertikaikan itu.

Kapal itu terlibat dalam kerja-kerja menggerudi gas asli di medan Karish.

KEKAYAAN MARITIM LUBNAN

Sehubungan itu, Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati meminta pihak tentera negaranya untuk memberikan maklumat berhubung isu di wilayah yang dipertikaikan itu menyatakan bahawa situasi di kawasan berkenaan adalah amat berbahaya.

Najib turut menyatakan bahawa Israel cuba mewujudkan krisis baharu dengan menceroboh kekayaan maritim Lubnan dan melaksanakan 'fait accompli' atau melakukan sesuatu kerja di kawasan yang sedang dipertikaikan.

Medan Karish terletak kira-kira 90 kilometer dari barat Haifa, Israel berhampiran dengan medan gas Leviathan dan Tamar yang jauh lebih besar.

Dalam pertikaian itu, syarikat Energean telah menandatangani kontrak pada Mac lalu untuk menjual gas di Karish kepada Israel Electric Co.

Dalam pada itu, Israel mendakwa bahawa Karish terletak di zon ekonomi eksklusif Israel seperti yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ini menyebabkan ia tidak tertakluk kepada pertikaian wilayah negara itu dengan Lubnan.

Bagaimanapun, Beirut tidak sedikit pun mengalah kerana Presiden Lubnan itu menyatakan rundingan berhubung isu maritim dengan Israel masih berlangsung.

Kedua-dua pihak juga telah memfailkan pertikaian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung tuntutan sempadan maritim yang masih belum lagi selesai.

Kumpulan Hizbullah juga mengancam untuk mengambil tindakan jika Israel masih menggerudi bahan api fosil di kawasan yang dipertikaikan itu.

Isu pertikain itu berlaku kerana sempadan maritim antara Israel dengan Lubnan tidak pernah ditetapkan sejak berakhirnya perang antara kedua-dua pihak pada tahun 2006.

Lebih memburukkan situasi adalah sikap Israel yang mengambil hak negara lain.

Ali Hamdan iaitu bekas pembantu kepada Speaker Parlimen Lubnan, Nabih Berri pernah berkata, berdasarkan sejarah, Israel menduduki tanah di negaranya dan mencuri air dan ia juga 'merompak' sumber asli Lubnan.

Adakah kenyataan yang dikeluarkan oleh Ali itu pada tahun 2010 kini benar-benar menjadi realiti dalam isu gas asli?

Kenyataan itu nampaknya sudah berlaku apabila syarikat dari Britain diberikan kontrak untuk membekalkan gas asli dari kawasan yang masih menjadi pertikaian antara Lubnan dengan Israel.

Tentera Israel juga dilaporkan sedang bersedia untuk menghadapi serangan Hizbullah di pelantar gas Energean di luar pantai Mediterranean.

Menurut stesen penyiaran awam Israel, Kan pada Ahad, kapal tentera laut Israel akan membantu platform penggerudian yang memasuki zon maritim yang dipertikaikan Lubnan itu.

Justeru adakah perang baharu akan berlaku antara Lubnan dengan Israel? - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca