KEKECOHAN berkaitan kesukaran mendapatkan bekalan daging ayam segar menyebabkan berlakunya krisis bekalan ayam yang meruncing dalam negara, seterusnya memaksa kerajaan menghentikan eksport ayam ke negara luar.
Setiap kali perkara ini melanda, pihak berwajib cuba membayangkan krisis ini bersifat sementara dan segera ditangani mereka dengan melaksanakan pelbagai inisiatif.
Ini termasuklah mencatu, mengeluarkan perintah harga siling, memberi subsidi dan terkini, menyekat pengeksportan ke luar negara.
Apa yang pelik, isu keselamatan makanan ini bukan baharu atau muncul secara mendadak tanpa dapat diduga kebarangkaliannya akan berlaku.
Perkara paling utama perlu diberi perhatian ialah sama ada negara mempunyai sumber pengeluaran bahan makanan utama yang mapan dan kalis gangguan faktor luaran.
Sememangnya untuk merealisasikan perkara ini bukan mudah dan perlu perancangan teliti. Paling utama iltizam pihak berwajib untuk melaksanakannya.
Apa saja perancangan mestilah tidak bersifat populis, tiada kepentingan politik mahupun kewangan semata-mata.
Rakyat tidak sepatutnya dijadikan ‘tebusan’ oleh pihak berkepentingan apabila berhadapan masalah keselamatan makanan dan kerap didendangkan lagu Bangau Oh Bangau oleh pihak berwajib dan industri berkaitan makanan.
Sejak tahun 2007, pengeluaran bahan makanan dari pengeluar-pengeluar utama bahan mentah seperti Australia, Myanmar, Rusia dan pelbagai telah melihatkan trend penurunan.
Ini menyebabkan berlakunya peningkatan berterusan harga bahan makanan utama di serata pelosok dunia.
KRISIS
Kesan langsung perkara ini menyebabkan berlakunya rusuhan di hampir 40 buah negara global dan trend sedemikian dilihat bakal berterusan, malah menjadi lebih parah dengan tercetusnya krisis Ukraine-Rusia yang merupakan pengeluar gandum utama dunia.
Sebagai sebuah negara yang begitu banyak jabatan, institusi penyelidikan, institusi pemikiran dan think tank, badan bukan kerajaan serta institusi pengajian tinggi, apakah tiada kajian ilmiah yang benar-benar mahu meneliti, merumus serta diambil langkah konkrit bagi mengatasi masalah ini?
Sekilas pandang memang wujud usaha pihak berwajib mempertingkatkan tahap keselamatan makanan negara. Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) umpamanya melaksanakan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025.
Terdapat juga negeri yang melaksanakan inisiatif dinamakan sebagai Insentif Keselamatan Makanan yang menggalakkan lebih ramai petani mengamalkan Amalan Pertanian Baik serta menawarkan pembiayaan sehingga maksima RM10,000 dalam bentuk input pertanian, infrastruktur ladang atau latihan serta khidmat nasihat.
Selain itu, ada cadangan penubuhan agensi agro wakaf yang mengkhususkan kegiatannya dalam mengkonsolidasi dan memajukan tanah wakaf yang berpotensi untuk kegiatan pertanian dalam skala besar.
Malangnya, dengan pelbagai idea serta inisiatif di atas kertas, sejak beberapa tahun kebelakangan, tiada banyak yang berubah. Negara masih perlu mengimport beberapa jenis makanan seperti beras (makanan ruji) untuk memenuhi permintaan terhadap makanan.
Sebagai contoh, daya pengeluaran padi yang menjadi makanan ruji rakyat Malaysia masih kekal sekitar 60 hingga 70 peratus sejak 10 tahun lalu, manakala untuk bekalan daging lembu dan kambing pula hanyalah sekitar 10 hingga 24 peratus.
Jika wujud pelan keselamatan negara, kenapa angka ini tidak berubah sejak 10 tahun? Mat Jenin nampaknya masih berada di pelepah kelapa.
Keselamatan makanan negara sebenarnya mempunyai hubung kait serta memberi kesan langsung kepada keselamatan dan kedaulatan negara.
Walau mungkin ramai yang akan meremehkannya, sejarah membuktikan sebaliknya.
Seramai 680,000 tentera Perancis diketuai Napoleon Bonarparte, 40,000 tentera Konfederat ketika Perang Saudara Amerika diketuai Jeneral Albert Sidney Johnston, 8,000 tentera British di bawah Earl Cornwallis ketika perang kemerdekaan Amerika, kesemuanya terpaksa menerima kekalahan akibat langsung daripada kekurangan logistik, khususnya bekalan makanan.
Meremehkan keselamatan makanan akhirnya membawa padah kepada mereka.
* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007
Klik di sini untuk terus membaca