DI MALAYSIA, sektor pertanian dilihat masih penting dan berperanan membantu negara sebagai pembekal dan penjamin sekuriti makanan. Sektor ini juga sentiasa relevan sebagai sumber bahan mentah untuk pembangunan industri berasaskan pertanian.... Klik di sini untuk terus membaca

DI MALAYSIA, sektor pertanian dilihat masih penting dan berperanan membantu negara sebagai pembekal dan penjamin sekuriti makanan.

Sektor ini juga sentiasa relevan sebagai sumber bahan mentah untuk pembangunan industri berasaskan pertanian.

Ternyata, sektor pertanian telah lama memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia.

Maka, negara melalui sektor tersebut perlu memperkemas dan menambah giat pelan perancangan sekuriti makanan jangka panjang bagi menampung keseluruhan keperluan dan permintaan rakyat.

Institusi pendidikan tinggi (IPT) seharusnya tidak ketinggalan berperanan penting dalam membantu negara mencapai hasrat tersebut.

Malah, IPT perlu menggalas tanggungjawab lebih besar dalam membantu kerajaan merealisasikan isu sekuriti makanan disebabkan fungsi dan kelebihannya sebagai institusi yang memfokus pembentukan modal insan serta pengembangan ilmu berteraskan pertanian.

IPT secara proaktif juga perlu menyesuaikan program pengajian, penyelidikan dan perkhidmatan profesional mereka agar segala aktiviti dilaksanakan relevan dan mengikut kehendak pasaran.

Sebagai menara ilmu, IPT perlu menjadi jaguh dalam menterjemahkan isu sekuriti makanan demi kesejahteraan masyarakat dan negara.

Peranan IPT dalam membantu membekalkan modal insan yang dapat menerajui sektor pertanian negara dan global, menggariskan bidang penyelidikan dan inovasi yang dapat melonjakkan sektor pertanian, mencadangkan program perkhidmatan profesional yang dapat memanfaatkan sektor pertanian serta merancang sumber manusia, prasarana dan tadbir urus bagi mempercekap aktiviti pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta perkhidmatan profesional telah diakui.

Paling ketara, menawarkan pengajian pertanian di institusi masing-masing bertujuan memenuhi aspek permintaan sumber manusia mahir dan terlatih dalam sektor pertanian negara.

IPT boleh membantu usaha ini dengan memindahkan pengetahuan, kepakaran dan teknologi berkaitan pertanian kepada pihak berkepentingan terutama petani dan peladang.

Namun, pemindahan segala bentuk instrumen tersebut mestilah berteraskan teknologi terkini yang diguna pakai industri pertanian.

PENYELIDIKAN PERTANIAN

Di Malaysia, beberapa IPT telah menjadi pencetus inovasi dalam bidang pertanian selain mempunyai kemudahan pengajian pertanian seperti makmal dan ladang.

Kebanyakan IPT turut menjadi rujukan sektor awam dan swasta, malah terdapat bilangan pelajar siswazah luar negara dalam bidang berkenaan mencerminkan kekuatan pengajian pertanian di Malaysia.

Pihak industri turut disaran berganding bahu bersama IPT dalam menyediakan prasarana dan ekosistem yang relevan serta lestari termasuk menyediakan pelaburan atau dana penyelidikan dalam sistem pertanian.

Melalui kerjasama dua pihak tersebut, teknologi pertanian seperti nanoteknologi, robotik, automasi dan pertanian ketepatan dapat dikembang luas dalam meningkatkan keupayaan dan daya saing pengusaha sektor pertanian.

Universiti Putra Malaysia (UPM) antara IPT yang terkehadapan dengan menawarkan subjek berteraskan pertanian seawal tahun 1970-an. Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan UPM misalnya sangat aktif menjalankan penyelidikan pembangunan bagi menghasilkan inovasi baharu dalam bidang sekuriti dan keselamatan makanan.

Institusi ini telah berjaya menghasilkan varieti padi baharu seperti Padi U Putra yang memberikan hasil padi 10 tan sehektar dan mempunyai daya ketahanan terhadap faktor persekitaran seperti banjir kilat dan penyakit karah padi.

Penyelidik UPM juga berjaya menghasilkan formulasi makanan ayam bermutu tinggi daripada bahan sisa sawit yang mana hasil penyelidikan ini berupaya mengurangkan pergantungan yang tinggi negara dalam pengimportan makanan ayam bernilai lebih RM3 bilion setahun.

Akhirnya, IPT perlu melipat gandakan usaha bagi melahirkan lebih ramai ‘tokoh tani’ moden berteknologi tinggi kalangan generasi baharu belia termasuk mahasiswa kerana golongan ini sebahagiannya masih kurang minat serta mempunyai persepsi negatif.

Sektor pertanian dianggap sebagai bidang yang kurang berprestij, berpendapatan rendah serta kurang terjamin dari segi pendapatan menyebabkan berlaku kekurangan generasi pelapis dalam bidang ini.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca