PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mengarahkan semua kepimpinan negeri supaya membincang soal agihan kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain bagi menghadapi Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

PUTRAJAYA - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah mengarahkan semua kepimpinan negeri supaya membincang soal agihan kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) lain bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang mungkin diadakan bila-bila masa.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, tindakan itu perlu bagi memudahkan pucuk pimpinan tertinggi Bersatu dan PN memuktamadkan senarai nama calon apabila tiba masanya nanti.

Bagaimanapun, Wan Saiful berkata, setakat ini Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu belum berbincang soal bila tarikh sesuai untuk diadakan PRU15.

"Apa yang dibincangkan dalam MPT Bersatu ialah kerajaan kena letakkan keutamaan bagi menyelesaikan pelbagai masalah dialami rakyat ketika ini termasuk soal kestabilan politik negara, kenaikan harga barang dan kos sara hidup sebelum PRU15 diadakan.

"Jadi soal tarikh PRU15 ini tiada keputusan muktamad dibuat oleh MPT Bersatu. Jadi susah saya nak jawab soal bila tarikh sesuai untuk diadakan PRU15 kerana kita tiada memutuskan perkara itu," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Saiful berkata, biarpun tarikh PRU15 belum ditetapkan namun Bersatu yakin mampu mempertahankan semua kerusi Parlimen dan DUN dikuasai parti itu sekarang.

"Kita bukan sahaja mahu mempertahankan semua kerusi yang kita (Bersatu) ada malah kalau boleh kita mahu menang lebih dari itu.

"Bagaimanapun, jumlah muktamad kerusi Parlimen dan DUN ditandingi Bersatu pada PRU15 bergantung kepada perbincangan dengan parti komponen PN lain termasuk Pas, Gerakan dan beberapa parti lain. Ketika ini Bersatu mempunyai 32 kerusi Parlimen di seluruh negara," katanya.

Bersatu yakin mampu mempertahankan semua kerusi Parlimen dan DUN dikuasai parti itu sekarang.

Ditanya mengenai kerusi yang bakal ditandinginya, Wan Saiful berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan bertanding di kerusi Parlimen Kubang Pasu, Kedah jika dibenarkan oleh pucuk pimpinan tertinggi Bersatu dan mendapat restu daripada Pas kerana sudah lama melakukan gerak kerja di sana.

Mengenai kerjasama dalam PN terutama dengan Pas, beliau berkata, secara keseluruhannya permuafakatan dalam kalangan pemimpin tertinggi atau pusat antara parti komponen gabungan itu berjalan dengan baik, namun perlu diterjemahkan menerusi susun atur dan gerak kerja di peringkat negeri serta akar umbi.

Dalam pada itu, Wan Saiful menegaskan Bersatu menghormati keputusan Pas untuk bersama dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) dalam usaha mereka merampas pentadbiran negeri Selangor yang kini ditadbir oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam perkembangan lain, Wan Saiful menafikan khabar angin mendakwa beberapa Ahli Parlimen Bersatu termasuk Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kononnya akan meninggalkan parti itu dalam masa terdekat.

"Saya belum dengar lagi, ini kali pertama saya mendengarnya... Saya tidak pernah dengar apa-apa lagi dan tiada perbincangan mengenainya dalam mesyuarat MPT Bersatu baru-baru ini.

"Malah, setakat ini Mohamed Azmin Ali masih bersama Bersatu dan beliau memegang jawatan sebagai Ketua Penerangan PN dan kedudukan itu tidak berubah setakat ini. Jadi saya tidak nampak beliau akan mengikut jejak langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin buat masa sekarang," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca