PUTRAJAYA - Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sengaja mereka-reka cerita kononnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri... Klik di sini untuk terus membaca
PUTRAJAYA - Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sengaja mereka-reka cerita kononnya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan 119 ahli Parlimen untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Katanya, tindakan Mohd Shafie yang menjaja kisah konon Muhyiddin mahu menjadi Perdana Menteri semula seolah-olah mahu menutup krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti Warisan sendiri.

Wan Saiful turut menasihatkan Mohd Shafie supaya tidak menjaga 'tepi kain' orang lain dan memberi tumpuan kepada usaha memulihkan parti Warisan berbanding sibuk dengan isu parti lain.

"Shafie sepatutnya fokus kepada masalah dalaman Warisan kerana parti sendiri kini terumbang ambing dan pincang selepas seorang demi seorang pemimpinnya termasuklah berstatus Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bertindak keluar parti.



"Jadi selesaikan masalah dalam parti Warisan dulu daripada sibuk mereka-reka cerita tidak benar mengenai Muhyiddin. Tidak perlulah Shafie mereka cerita semata-mata mahu melencongkan isu masalah dalaman parti Warisan yang semakin hari semakin besar," katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini, media melaporkan, Mohd Shafie yang juga bekas Ketua Menteri Sabah mendakwa Muhyiddin menghubunginya dua bulan lalu bagi mendapatkan sokongan 119 daripada 222 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat untuk menjadi Perdana Menteri semula.

Susulan itu, Muhyiddin dalam satu kenyataan, menafikan dakwaan beliau pernah memberitahu pemimpin sebuah parti politik kononnya sudah mendapat sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri kelapan menyifatkan tuduhan terbabit tidak benar dan menegaskan, beliau tidak pernah memberitahu atau mengesahkan kepada sesiapa bahawa sudah mendapat sokongan majoriti terbabit.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga menjelaskan bahawa apa yang dibincangkan dalam siri pertemuan dengan beberapa pimpinan parti politik selain Barisan Nasional (BN) adalah untuk merintis persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

WAN SAIFUL


DEDAH PERBUALAN TELEFON

Mengulas lanjut, Wan Saiful juga mempertikaikan tindakan Mohd Shafie kerana mendedahkan butiran perbualannya dengan Muhyiddin kerana ia bukan sahaja melanggar etika peribadi malah kejujurannya selaku kawan lama Ahli Parlimen Pagoh terbabit.

"Amat tidak kena jika kita ada perbualan telefon antara dua individu yang saling mengenali antara satu sama lain begitu lama, kita cerita pula kepada seluruh negara perbualan antara dua rakan. Jadi ini menimbulkan persoalan mengenai keperibadian dan kejujuran Shafie ini," katanya.

Bagaimanapun, Wan Saiful mengakui, tidak salah jika Muhyiddin selaku Presiden Bersatu mahu kembali menjadi Perdana Menteri semula kerana beliau layak berbuat demikian selaku Pengerusi PN.

"Pertama sekali Muhyiddin adalah Pengerusi PN, jadi sudah pasti dalam PN, beliau adalah calon paling layak kita angkat menjadi Perdana Menteri. Jadi jika ada perbincangan untuk menjadi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri semula ia adalah bukanlah sesuatu yang pelik.

"Malah, semua parti gabungan dalam PN dan saya sendiri memang berharap Muhyiddin menjadi Perdana Menteri semula selepas PRU15 nanti," katanya. Klik di sini untuk terus membaca