SHAH ALAM - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengingatkan segelintir pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu yakin pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam masa terdekat. Sebaliknya, pemimpin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago mengingatkan segelintir pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) agar tidak terlalu yakin pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal diadakan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, pemimpin DAP itu tidak menolak kemungkinan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan semasa dan Pakatan Harapan (PH) berkemungkinan besar mampu dilanjutkan menjadi MoU 2.0 selepas 31 Julai depan.

Jelas beliau, amat jelas terdapat segelintir pemimpin UMNO 'melobi' PRU15 diadakan lebih awal disebabkan mereka berdepan kes mahkamah yang memungkinkan hilang peluang bertanding pada pilihan raya.

"Sebenarnya MoU gencatan politik itu boleh diguna pakai sehingga akhir Julai ini, tetapi ada kemungkinan MoU 2.0 boleh dipanjangkan demi memberi ruang kepada kerajaan menyelesaikan isu kenaikan harga barang, kos sara hidup dan krisis makanan yang membelenggu negara ketika ini.

"Setakat ini memang tiada sebarang perbincangan formal ke arah itu, namun saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut menyedari cadangan pelaksanaan PRU15 bukan satu keperluan besar pada saat negara berdepan krisis lebih besar berbanding zaman pandemik Covid-19.

CHARLES SANTIAGO

"Saya juga ingin meminta beberapa pemimpin UMNO agar tidak mengulangi perbuatan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mempergunakan negara demi mengekalkan kuasa politik beliau sebelum ini," ujarnya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus PRU15 berkemungkinan bakal diadakan dalam masa terdekat susulan beberapa agensi kerajaan sudah digerakkan untuk bersiap-sedia bagi tujuan itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali yang kini bergelar wakil rakyat bebas berpandangan UMNO dan BN memiliki hujah kuat untuk menuntut PRU15 diadakan secepat mungkin pada saat isu kestabilan politik dilihat menjejaskan kehadiran pelabur ke Malaysia.

Jelas beliau, pada saat UMNO dan BN dilihat semakin mendapat sokongan rakyat, adalah logik parti-parti lain termasuk PH dan Perikatan Nasional (PN) mencari jalan untuk memanjangkan tempoh pentadbiran kerajaan kerana masing-masing sedang berusaha untuk memulihkan kekuatan parti susulan kekalahan dalam beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN).

DR KHAIRUDDIN

"Tidak pelik sekiranya PRU15 bakal diadakan dalam masa terdekat kerana UMNO dan BN ketika ini berada dalam prestasi terbaik untuk kembali mendapat sokongan rakyat bagi membentuk kerajaan.

"Saya fikir Perdana Menteri selaku salah seorang ahli Parlimen UMNO perlu mengikut kehendak parti, namun segalanya terserah kepada keputusan beliau," tegasnya.

Ditanya sama ada Khairuddin sudah memutuskan untuk menyertai mana-mana parti bagi menghadapi PRU15, bekas Setiausaha Majlis Syura Pas itu menegaskan beliau belum membuat sebarang keputusan dan lebih memfokuskan usaha berkhidmat kepada rakyat Parlimen Kuala Nerus.

Klik di sini untuk terus membaca