PERNAH diharamkan oleh ulama-ulama di Makkah. Diharamkan juga oleh Kristian Orthodok di Ethopia. Dianggap ancaman kepada ekonomi negara lalu diharamkan di Prussia. Dianggap ancaman kepada takhta salah seorang raja Inggeris. Itu antara beberapa fakta menarik tentang kopi.
Ada lagi yang tidak kurang menariknya. Ada kopi harganya mencecah lebih RM5,000 sekilogram. Ada bandar raya di dunia yang bilangan ‘kedai kopinya’ lebih 10,000 buah. Ada pasangan bercerai-berai semata-mata kerana kopi. Itu sahaja dahulu. Kita perhalusi semua fakta itu kemudian.
Ilham hendak menulis tentang kopi datang selepas berbual-bual dengan seorang ‘orang lama’ sambil kami sama-sama menghabiskan satu jar besar kopi. Saya ulangi – satu jar besar.
"Dulu-dulu ada orang tak bagi anak dia minum kopi sebab takut hitam.”
"Dulu-dulu orang anggap kopi cuma minuman untuk orang tua-tua. Orang muda tak minum kopi. Tak ada kelas.”
"Dulu-dulu kopi dianggap minuman orang kampung.”
Itulah sedikit sebanyak ‘ilmu baharu’ yang saya dapat daripada perbualan itu. Sebelumnya saya hanya pernah mendengar sisi baik tentang kopi. Yang paling disebut adalah khasiatnya untuk menahan mengantuk.
Selain itu, saya juga pernah diberi petua oleh orang tua-tua bahawa cara mudah merawat luka adalah dengan menabur serbuk kopi ke atas luka tersebut. Luka akan cepat kering dan sembuh.
Sisi buruk tentang kopi pun ada, antaranya ia boleh menyebabkan ketagihan. Yang ini memang terbukti betul. Tidak sedikit orang yang tak senang duduk kalau tidak dapat minum kopi sehari sekali. Tetapi tidak kurang juga yang ketagihnya sampai ke peringkat sehari berkali-kali.
Dan saya diberitahu oleh seorang tabib Cina, kopi juga patut dielak oleh mereka yang menghidap penyakit batu karang. Setakat itu sahajalah yang saya tahu. Tidak pernah terfikir oleh saya kopi dikaitkan dengan hitam putih anak, apatah lagi dengan ‘kelas’ dalam kehidupan.
Tetapi perbualan dengan beberapa orang lama yang lain mengesahkan apa yang diberitahu orang lama yang mula-mula itu. Memang ada rupanya manusia memandang rendah pada kopi.
"Dulu-dulu orang kita bercelaru sikit. Terperangkap dalam arus kemodenan dan nilai tradisional. Segala sesuatu yang bersifat tradisional dianggap kekampungan dan semua yang kekampungan pula dianggap lekeh.
Makan petai, makan belacan, makan ikan sungai, semuanya dipandang rendah. Minum kopi pun tidak terkecuali,” cerita seorang lama yang lain.
Saya tidak tahu adakah orang yang memandang rendah terhadap kopi itu masih wujud. Jika masih ada, bagaimana agaknya perasaan mereka apabila kopi sekarang ini menjadi begitu popular terutama dalam masyarakat bandar.
Kopi tidak hanya muncul di kedai kopi, restoran, bistro dan kafe tetapi juga di tepi-tepi jalan, di kaki lima dan di lorong-lorong. Ia menjadi kegilaan ramai, malah menjadi lambang status.
Mana tidaknya, kalau harga satu cawan berbentuk lonjong boleh mencecah RM7-RM8.
Kopi sebetulnya tidak pernah tidak popular. Populariti awalnya dikesan di Yemen pada awal abad ke-15 apabila muncul idea memproses biji kopi untuk dijadikan minuman.
Tiga empat ratus sebelum itu, walaupun kopi telah dibawa ke Semenanjung Arab dari Ethiopia, ia diproses dengan cara berbeza. Yang digunakan bukan bijinya tetapi pulpanya yang ditapai dan dijadikan arak.
Kejayaan menghasilkan minuman daripada bijinya menjadikan kopi komoditi sangat berharga. Popularitinya sebagai minuman pantas bergerak ke seluruh Semenanjung Arab sebelum merentas sempadan ke bahagian-bahagian dunia yang lain.
KESAN SAMPINGAN
Ketagihan terhadap kopi dan kesan sampingan seperti sedikit memeningkan bagi mereka yang meminumnya terlalu banyak menyebabkan muncul pandangan yang pro dan kontra terhadap minuman itu.
Ia juga mendorong sekumpulan ulama di Makkah pada 1511, mengharamkan kopi kerana menganggapnya sebagai minuman boleh mengkhayalkan. Pengharaman itu bagaimanapun ditarik balik tiga dekad kemudian.
Di Ethiopia, puak Kristian Ortodoks melarang penganutnya minum kopi kerana menganggapnya sebagai minuman orang Islam. Larangan itu hanya ditarik balik pada 1889.
Beberapa gereja Kristian lain turut mengharamkan kopi tetapi atas sebab berbeza – menganggapnya sebagai minuman tidak sihat kepada jasmani dan rohani.
Pada 1670, beberapa doktor Perancis mendakwa kopi sebagai beracun. Lima tahun kemudian di England, Raja Charles II mengeluarkan perintah yang disifatkan sebagai percubaan untuk menutup coffee house yang ketika itu berjumlah lebih 3,000 di seluruh England.
Tindakan itu didorong oleh kebimbangan baginda terhadap populariti coffee house yang menjadi tempat orang ramai berkumpul, bertukar pandangan termasuk mengenai politik. Percubaan itu bagaimanapun gagal dan sekadar menambah marah rakyat kepada raja.
Pada 1777, Raja Frederick Agung mengharamkan kopi di Prusia kerana ia memberi kesan kepada ekonomi berikutan kos mengimportnya tinggi. Sebab yang sama juga menjadi alasan untuk Sweden mengharamkan minuman itu pada abad ke-18.
Begitulah serba ringkas perjalanan dilalui oleh kopi. Sama seperti minuman itu sendiri, ada pahit dan ada manisnya. Banyak yang kita boleh pelajari daripada perkembangan budaya meminum kopi.
Paling ketara, jika asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau, jatuh ke pulau menjadi pokok, jatuh dari pokok, bangun dan panjat semula.
Maksudnya, sesuatu yang baik, berkualiti dan benar-benar punya jati diri tidak akan mudah dilenyapkan. Dikerat dicincang, ia tetap akan hidup. Dipijak dibenam, ia tetap akan timbul.
Kopi melalui evolusinya. Daripada minuman biasa-biasa menjadi minuman luar biasa. Daripada minuman orang tua-tua menjadi minuman ‘hipster’.
Daripada minuman orang kampung menjadi minuman kota raya. Daripada dipandang lekeh kepada menjadi penyebab air liur meleleh.
Daripada yang kononnya digoreng bercampur sabut dan selipar lalu dijual sekati seringgit dua, kepada yang keluar dari bun*** gajah dan musang yang harganya 'beribu-riban' sekilogram.
Pada dasarnya, kopi sinonim dengan warna hitam. Kopi putih (white coffee) itu bukanlah berasal daripada biji kopi berwarna putih. Ia hanya hasil teknik memanggang biji kopi, yang asalnya sama dengan kopi hitam.
Dan kehitaman kopi tidak pernah menghalangnya daripada menakluki dunia. Makin hitam, makin ganas aromanya dan makin luas jajahan takluknya.
Kopi datang dari dunia purba tapi ia tetap berdiri megah, malah terus melebarkan sayapnya di dunia baharu. Kita pun seharusnya begitu. Yakinlah pada asal-usul sendiri.
Binalah sikap untuk kebal dan kental. Bersedialah untuk berdepan dengan apa pun, dan pada masa sama bersedialah menyerapi perubahan sebelum mula menunggangnya bagi mencari segala sesuatu yang lebih baik.
Percayalah, dengan menggunakan formula itu, sama ada kita ini hitam atau tidak, sama ada dianggap kekampungan atau tidak, sama ada diperlekeh atau dipandang remeh, kita tetap mampu menjadi penakluk dunia yang semakin hilang sempadannya ini.
Jadi, dengan bahasa mudahnya, jadilah macam kopi. Syaratnya jangan berulang alik ke kedai kopi. Tak jadi kerja nanti. #dush
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 akan menulis mengenai pengurusan perubahan
Klik di sini untuk terus membaca