AWANG setuju sangat dengan Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 patut dikaji semula dan dipinda.
Menurut Fahmi Fadzil, akta yang ada sekarang tidak mencukupi atau terbatas bagi mengawal kebocoran data peribadi yang semakin menjadi-jadi.
Kata Fahmi lagi dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini lebih 100 juta set data peribadi di negara ini telah dicuri orang.
Data itu datang dari pelbagai sumber termasuk kementerian dan syarikat. Data peribadi ini termasuklah nama penuh, alamat, nombor telefon, nombor MyKad dan lain-lain.
Awang percaya data seperti ini tidak hilang begitu sahaja. Data ini bukan macam air dalam lopak yang kering apabila panas matahari. Data ini sepatutnya tersimpan rapi.
Selain ada akta, kita juga ada Jabatan Perlindungan Data Peribadi yang mengawasinya. Tapi data hilang juga. Menurut Fahmi, setakat ini hanya satu kes kecurian data peribadi berprofil tinggi yang dibawa ke mahkamah, yang membabitkan 30 juta data peribadi pelanggan Malindo Air.
Memang rakyat patut bimbang tentang data peribadi mereka. Mereka berikan maklumat dengan niat baik atau atas keperluan keselamatan atau kesihatan negara.
Ambil saja contoh maklumat dalam MySejahtera. Bayangkan jikalau maklumat peribadi dan kesihatan jutaan rakyat disalahgunakan oleh pihak-pihak tertentu. Data itu tentu sangat berharga kepada mereka yang berkepentingan.
Awang harap kerajaan ambil serius hal ini.
Klik di sini untuk terus membaca