PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson mampu menarik nafas lega selepas ‘tuah masih lagi berpihak kepadanya’ kerana beliau terselamat undi tidak percaya pada Isnin, namun masih berada dalam kedudukan yang lemah kerana gagal meraih... Klik di sini untuk terus membaca

PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson mampu menarik nafas lega selepas ‘tuah masih lagi berpihak kepadanya’ kerana beliau terselamat undi tidak percaya pada Isnin, namun masih berada dalam kedudukan yang lemah kerana gagal meraih sokongan majoriti anggota parti pemerintah, Parti Konservatif.

Pemimpin yang dihimpit kontroversi akibat siri skandal ‘partygate’ di Downing Street itu berjaya mengekalkan jawatannya setelah meraih ‘keputusan yang meyakinkan’ dengan 211-148 undi.

"Kini kita boleh meneruskan agenda kerajaan dan memberi tumpuan kepada perkara yang benar-benar penting,” katanya sejurus keputusan tersebut diumumkan.

Imej Johnson, 57, yang menang besar pada pilihan raya umum lebih dua tahun lalu sedikit sebanyak tercalar berikutan kemarahan awam yang semakin meningkat gara-gara bekas Datuk Bandar London itu menjadi Perdana Menteri Britain pertama sewenang-wenangnya melanggar undang-undang yang dilaksanakan kerajaan ketika lockdown.

Spekulasi baharu kini muncul sama ada Johnson berupaya terus ‘terselamat’ berikutan kebanyakan anggota Parti Konservatif tidak lagi menyokongnya, selain pentadbiran beliau bakal menyaksikan beberapa menteri kanan yang ‘tidak sebulu’ dengannya mungkin meletak jawatan.

Menerusi undian Tory sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Margaret Thatcher dan pendahulunya, Theresa May akur untuk meletak jawatan kerana berasakan kredibiliti mereka telah tercalar teruk serta enggan memburukkan lagi reputasi masing-masing.

Namun, ia agak berbeza dengan Johnson yang masih selamba mahu mengekalkan jawatannya.

Keputusan yang berpihak kepada Johnson turut menjadi tajuk utama muka depan kebanyakan akhbar di Britain.

Beberapa tajuk muka depan akhbar utama yang mempersoalkan sampai bila Johnson mampu mempertahankan jawatannya.

The Times menerusi laporan mereka menyifatkan kemenangan beliau sebagai A wounded victor dan mendakwa margin kemenangan yang diperolehnya adalah kurang daripada yang diraih May ketika melalui proses sama.

The Daily Telegraph pula menggunakan tajuk Hollow victory tears Tories apart, manakala The Financial Times berpendapat margin kemenangannya ‘mendedahkan imejnya yang tercalar teruk dan skala perpecahan serta permusuhan dalam parti pemerintah’.

"PM masih memegang kuasa selepas proses undian yang memalukan,” lapor The Guardian yang seakan-akan memberi gambaran kecewa kerana Johnson gagal disingkirkan.

Sementara itu, The Daily Mirror yang membongkar skandal parti di pejabat No. 10 Downing Street hanya menggunakan tajuk berbaur sindiran, Party’s over, Boris.Terdapat juga beberapa akhbar yang pro-Johnson seperti The Daily Mail yang menyambut baik keputusan itu dengan tajuk lebih positif, Boris vows: I’ll bash on.

ENGGAN BERUNDUR

Sebelum ini, Johnson berulang kali menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan kerana pendedahan skandal ‘partygate’ tersebut.

Beliau cuba mempertahankan kedudukannya dengan menyenaraikan pencapaian cemerlang sepanjang tempoh pentadbirannya seperti merealisasikan Brexit, usaha memerangi pandemik Covid-19 dan sokongan berterusan terhadap Ukraine yang berdepan kempen pencerobohan Rusia.

"Ini bukan masanya untuk drama politik domestik yang tidak ber-kesudahan. Kita pernah melalui detik yang lebih sukar dan saya boleh membina semula kepercayaan orang ramai,” katanya menerusi ucapannya di Parlimen sebelum ini.

Beliau dikatakan cuba meraih sokongan dengan cara melaksanakan pemotongan cukai ketika negara itu berdepan krisis inflasi terburuk.

Tetapi, segala cubaan itu tidak akan dapat melindungi skala perpecahan yang besar dalam Tory yang turut menyaksikan peletakan jawatan ‘pejuang antirasuah’, John Penrose dan sekutu lamanya, Jesse Norman.

Pecahan undi tidak percaya ke atas Johnson.

Menurut kandungan surat ditulis Norman, bantahan terhadap skandal ‘partygate’ itu disifatkan mengerikan dan Tory berisiko kalah pada Pilihan Raya Umum yang dijadualkan pada 2024.

Selepas kemenangan agak suram pada pemilihan tempatan yang diadakan pada Mei lalu, Parti Konservatif dijangka berdepan kekalahan ketika pilihan raya kecil bulan ini termasuk satu kerusi yang dipegang agak kukuh sebelum ini.

Kedudukan Johnson yang semakin goyah dalam parti sendiri menyebabkan anggota Konservatif bimbang jika Johnson akan memburukkan lagi reputasi mereka pada pemilihan akan datang.

Di tengah-tengah kemarahan orang awam yang semakin meningkat, sekumpulan orang ramai yang berhimpun di luar Katedral St Paul ketika sambutan Jubli Platinum Ratu Elizabeth II pada Jumaat lalu bertindak melaungkan ‘boo’ kepadanya.

Tetapi, segala kata cacian tidak menjadi kudis kepada Johnson yang tetap bermati-matian untuk mempertahankan jawatannya walaupun menyedari beliau bukan lagi pemimpin disukai ramai. - AFP

Klik di sini untuk terus membaca