SHAH ALAM - Penggunaan fon telinga, terdedah kepada persekitaran kerja yang bising serta bunyi rekreasi menjadi antara punca utama golongan remaja dan dewasa awal mengalami masalah pendengaran.
Ketua Program Audiologi, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Wan Syafira Ishak berkata, pendedahan terhadap bunyi melebihi 80 desibel (dB) secara kerap boleh menyebabkan seseorang itu mengalami masalah pendengaran secara berperingkat.
"Masalah pendengaran boleh berlaku di semua peringkat umur dan bagi golongan remaja (13 hingga 18 tahun) atau dewasa awal (18 hingga 40 tahun), mereka sepatutnya tiada masalah ini.
"Antara faktor yang boleh menyebabkan masalah pendengaran dalam golongan ini adalah apabila terdedah terlalu lama kepada bunyi bising rekreasi contohnya muzik, televisyen dan permainan video.
"Selain itu, bunyi persekitaran pekerjaan, contohnya bekerja di tempat yang bising seperti kilang, tapak pembinaan atau menggunakan mesin besar tanpa memakai alat pelindung pendengaran juga boleh menyebabkan berlakunya masalah pendengaran,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Dr Wan Syafira berkata, penunggang motosikal juga antara golongan berisiko untuk mengalami masalah berkenaan ekoran terdedah dengan bunyi bising trafik serta persekitaran di luar bangunan.
"Ada juga kajian menunjukkan mereka yang menunggang motosikal, contohnya anak muda yang kerja ‘Grab Food’ dan sebagainya berisiko untuk mendapat masalah pendengaran ekoran bunyi bising trafik dan persekitaran di jalan raya yang sesak.
"Namun begitu, beberapa faktor lain juga perlu diambil kira iaitu kekuatan bunyi serta durasi mereka terdedah kepada kebisingan itu. Sekiranya terdedah kepada kekuatan sehingga 85 dB selama lapan jam, maka lagi cepat telinga boleh rosak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, manusia boleh mengalami masalah pendengaran secara sementara dan kekal mengikut keadaan tubuh badan dan kekerapan sesuatu aktiviti itu dilakukan.Faktor kesihatan
Menurut Dr Wan Syafira, faktor kesihatan juga turut mempengaruhi kecepatan seseorang itu untuk mengalami masalah pendengaran sama ada secara kekal atau sementara.
"Bergantung kepada tahap kesihatan dan kalau dia tiada penyakit lain, proses nak dapat masalah pendengaran mungkin memakan masa, namun sekiranya individu itu seorang perokok atau menghidap diabetes contohnya, boleh mempercepatkan masalah itu berlaku,” ujarnya.
Sementara itu, ditanya mengenai tanda-tanda awal masalah pendengaran, Dr Wan Syafira memaklumkan, bunyi tinitus atau desing dalam telinga merupakan simptom kepada masalah itu selain kerap meminta rakan untuk mengulangi percakapan.
Justeru, Dr Wan Syafira mengingatkan orang ramai untuk memberi perhatian khusus terhadap penjagaan telinga bagi mengelak masalah pendengaran berlaku dengan pantas.
"Elakkan penggunaan putik kapas kerana ia akan mengeringkan kelembapan dalam telinga, sekali gus menyebabkan mekanisme pembersihan semula jadi tidak efektif. Dalam masa sama akan mengakibatkan kecederaan gegendang telinga.
"Orang ramai dinasihatkan mendapatkan perkhidmatan cuci telinga di klinik yang bertauliah,” ujar beliau.
Klik di sini untuk terus membaca