HARI kedua Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada Sabtu, 4 Jun, pagi-pagi lagi peminat-peminat buku sudah berkerumun di luar dewan menunggu ia dibuka. Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing bergegas masuk menuju ke reruai... Klik di sini untuk terus membaca

HARI kedua Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada Sabtu, 4 Jun, pagi-pagi lagi peminat-peminat buku sudah berkerumun di luar dewan menunggu ia dibuka.

Sebaik sahaja pintu terkuak, masing-masing bergegas masuk menuju ke reruai penerbitan-penerbitan yang mereka gemari.

Sebahagian besar mereka sudah ada senarai dalam kepala, buku-buku apakah yang hendak dibeli. Dewan akan mulai sesak dengan peminat buku mulai jam 11 pagi hinggalah selepas maghrib.

Deja vu? Ya, deja vu pra-Covid-19. Inilah suasana di pesta buku sebelum pandemik melanda. Setiap tahun, jumlah pengunjung ke PBAKL biasanya mencecah melebihi sejuta orang.

Mereka datang menaiki komuter, tren LRT, kenderaan sendiri dan dengan perkhidmatan Grab. Tidak kurang juga dalam kalangan mereka yang datang berulang kali untuk membeli buku-buku diingini.

Keadaan jauh berbeza pada PBAKL 2019, 2020 dan 2021. Pada tahun-tahun itu, pesta buku diberi nama ‘pesta buku edisi khas’ iaitu pesta buku secara maya susulan pandemik. Peminat buku tidak teruja dengan cara membeli buku secara online, maka jadilah pesta buku maya yang tidak bermaya.

BUKU FIZIKAL, E-BOOK

Fasa peralihan endemik benar-benar membuka tirai pesta buku menjadi pesta semula. Suasana meriah dan hingar-bingar kembali bila pengunjung berpusu-pusu dan berasak-asak di reruai syarikat penerbitan yang mengadakan acara pelancaran atau diskusi buku dengan para penulis mereka.

Nampaknya, peminat buku lebih gemarkan buku fizikal daripada e-buku. Meskipun dikatakan jualan bagi syarikat-syarikat e-buku meningkat melebihi 100 peratus pada tahun-tahun Covid-19 melanda, ia berlaku untuk memenuhi ketagihan membaca.

Apabila tiada lagi penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, mereka datang kembali ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), seolah-olah ia adalah sebuah pilgrimage tahunan buat peminat buku.

Mereka mahu memegang buku, menghidu bau dakwat, melarikan jejari di permukaan kertas dan seronok memeluk buku yang dibeli.

Apa jadi dengan e-buku? Jualannya lembab kembali. Sekurang-kurangnya tiga pemain industri mengesahkan gambaran bahawa jualan e-buku sudah menurun.

Ketua Pegawai Operasi Grup Buku Karangkraf, Firdaus Hussamuddin mengatakan bahawa jualan e-buku sudah tidak menjadi perhatian utama peminat buku.

Nada itu turut disuarakan oleh Chief Revenue Officer, Patriot Publishing, Helmi Effendy. Katanya, jualan e-buku syarikatnya hanya sekitar 10 peratus berbanding buku-buku fizikal.

Penurunan jualan e-buku juga diulas oleh Brother Farid Ullah, tuan punya Dakwah Corner, sebuah penerbitan yang mempunyai rangkaian bisnes di United Kingdom, Pakistan dan Arab Saudi.

Katanya, reruainya di pesta buku terletak berhampiran dengan tiga buah syarikat e-buku. Namun, jualan buku-buku fizikalnya kelihatan lebih laris daripada syarikat-syarikat berkenaan. Peminat buku lebih ramai berkerumun di reruainya.

Kini keterujaan peminat buku untuk ke PBAKL adalah satu fenomena nasional. Semua pihak daripada pembaca, penjual, penerbit, penulis dan pelukis tersenyum lebar dengan sambutan orang ramai.

Tidak syak lagi masyarakat pembaca di Malaysia sememangnya meminati buku. Oleh sebab itu, Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) dan pelbagai pihak dalam industri buku wajib mengadakan jerayawara ke segenap ibu negeri di Malaysia. Jadikan ia sirkit tahunan.

Pada setiap bulan, pesta buku diadakan bergerak di setiap negeri. Para penerbit buku di negeri-negeri dan syarikat penganjur acara boleh diberi tanggungjawab melaksanakannya dengan sokongan kerajaan-kerajaan negeri.

Semua pihak akan mengalu-alukannya. Mulakan sekarang ketika bahang PBAKL masih panas. Jadikan tabiat membaca membara di sepanjang tahun!

* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca