SHAH ALAM - Tokoh astrofizik, Tan Sri Mazlan Othman berpandangan misi menghantar angkasawan kedua negara memerlukan justifikasi khusus serta berbeza daripada misi angkasawan pertama, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor ketika dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 2007 lalu.
Bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara itu berkata, misi kedua itu nanti perlu rasional selain kajian dilakukan harus memberi impak besar kepada negara.
"Kalau saya, akan hebahkan apa sains dan teknologi hebat yang boleh dibuat agar ISS tidak tolak (kajian) kita kerana ada teknologi yang mereka perlukan. Maka itu justifikasi untuk program angkasawan kedua.
"Saya tidak lagi ada pengaruh atau kuasa untuk memberitahu bagaimana kita perlu bergerak. Program ini perlu dilanjutkan dengan rasional yang baik, sebab selepas angkasawan pertama dilancarkan, semua orang mudah kata lancarkan sahaja angkasawan kedua tanpa ada justifikasi khusus," katanya dalam program Bersama Johan Jaaffar yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.
Mazlan berkata, menetap di ISS selama enam bulan bukan untuk mendapatkan kemasyhuran semata-mata tetapi memerlukan kajian sains terkini yang boleh ditawarkan kepada stesen tersebut.
"Kalau nak ulang apa yang Dr Sheikh Muszaphar sudah lakukan, tiada guna. Kita mesti ada rasional dan justifikasi lain. Fikirkan sesuatu yang belum pernah dilakukan," ujarnya.
Dalam pada itu Mazlan berpandangan, sudah tiba masanya golongan muda menceburi bidang astronomi bagi memperluaskan penggunaan bidang itu demi masa depan negara.
"Astronomi adalah ilmu sains tertua kerana kita ada pertalian dengan angkasa secara naluri, budaya dan agama. Kita kena 'persue' sains astronomi sebagai sains tulen.
"Kita lihat sekarang hasil daripada semua dilakukan di angkasa ialah berkait GPS, telefon bimbit dan tiada satu benda dalam seharian tidak melibatkan angkasa," ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca