PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sudah memberikan mandat sepenuhnya kepada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi mengadakan rundingan dan perbincangan dengan semua gabungan serta parti ke arah mewujudkan satu jajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum (PRU15) akan datang.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, langkah itu penting bagi membolehkan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) membentuk gabungan parti politik terbaik untuk menewaskan Barisan Nasional (BN) yang masih dikuasai golongan kleptorat terus berkuasa selepas PRU15 nanti.
Beliau berkata, tindakan itu perlu kerana semua parti gabungan PN dan Pakatan Harapan (PH) tahu jika mereka berpecah, maka ia akan menguntungkan BN/UMNO dalam PRU15.
"Biarpun belum ada kata sepakat namun semua parti sama ada dalam PN dan PH masih terbuka untuk mengadakan perbincangan mengenai pembentukan jajaran baharu politik menjelang PRU15.
"Di pihak Bersatu dan PN, kita jarang mengeluarkan kenyataan media kerana belum ada keputusan muktamad. Jika ada keputusan barulah kita akan keluarkan kenyataan rasmi. Malah, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi PH dan Presiden PKR mengakui ada berlaku perbincangan ke arah itu. Justeru, kita tunggu dan lihat hasilnya apabila tiba masanya nanti," katanya kepada Sinar Premium.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin sudah mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin utama parti pembangkang termasuk Anwar yang juga Pengerusi PH dan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan pembentukan kerjasama dengan PN ke arah memastikan BN tewas, dalam PRU15 nanti.
Selain itu, Presiden Parti Warisan Malaysia (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut mendakwa Muhyiddin pernah menghubunginya dan mendedahkan kononnya Ahli Parlimen Pagoh berkenaan sudah memiliki sokongan 119 Parlimen jika beliau mahu kembali menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Anwar dan Dr Mahathir menegaskan pertemuan itu adalah perbincangan tidak rasmi dan tiada keputusan muktamad dicapai mengenai kerjasama PH, Pejuang dengan PN, dalam PRU15 nanti.
Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai cadangan kerajaan untuk mengembalikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Wan Saiful menegaskan, secara peribadi beliau kurang bersetuju dengan usul berkenaan memandangkan rakyat sekarang dihimpit pelbagai masalah terutama kenaikan kos sara hidup dan harga barang.
Wan Saiful berkata, setakat ini Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu belum mengadakan perbincangan rasmi mengenai kenyataan dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung cadangan untuk mengembalikan GST yang dihapuskan apabila PH menguasai Putrajaya, pada 2018.
"Bagaimanapun, saya berpandangan apa-apa cukai termasuk GST yang mahu dilaksanakan sepatutnya tidak boleh membebankan rakyat. Ini kerana kalau kita lihat sekarang ini rakyat amat berasa terkesan dengan impak kenaikan harga barang, harga minyak dan sebagainya sehingga timbul semula slogan 'BN bersamaan dengan Barang Naik'.
"Pada saya, ini adalah masa yang tidak kena untuk kerajaan bercakap mengenai pengenalan cukai baharu atau mengembalikan semula GST yang sudah pasti membebankan rakyat.
"Keadaan itu diburukkan lagi dengan penonjolan beberapa pemimpin dan Menteri Kabinet yang memakai jam, kasut dan pakaian bernilai berpuluh dan ratusan ribu ringgit. Pada masa sama, tiba-tiba kata kerajaan tiada duit dan mahu mengenakan cukai baharu kepada rakyat sedang dalam keadaan susah sekarang ini.
'Justeru itu, saya berpandangan apa-apa cukai baharu mahu diperkenalkan kerajaan mestilah kena pada masanya dan adil kepada semua," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca