[WAWANCARA EKSKLUSIF] Beliau merupakan ahli astrofizik pertama di Malaysia dan kini memegang jawatan sebagai Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM). Ketika menjadi Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa), Profesor Emeritus Tan Sri... Klik di sini untuk terus membaca

[WAWANCARA EKSKLUSIF] Beliau merupakan ahli astrofizik pertama di Malaysia dan kini memegang jawatan sebagai Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM). Ketika menjadi Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (Angkasa), Profesor Emeritus Tan Sri Mazlan Othman merupakan antara individu penting yang berperanan menjayakan program menghantar rakyat Malaysia pertama ke angkasa iaitu Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor pada 2007.

Beliau berpandangan, program angkasawan kedua negara perlu mempunyai justifikasi khas dan tidak sama sekali menyamai program terdahulu bagi memastikan sesuatu projek sains diiktiraf Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Ikuti perkongsian dan pandangan beliau bersama Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Karangkraf baru-baru ini.

JOHAN: Tan Sri dikenali sebagai astrofizik yang pertama di Malaysia. Dalam bahasa mudah, apakah disiplin astrofizik sebenarnya?

MAZLAN: Astrofizik adalah kata asal astron, iaitu perkataan Yunani bermaksud bintang. Fizik adalah satu bidang seperti kimia, jadi astrofizik adalah fizik bintang. Kita ada astrokimia, arkeoastronomi dan banyak lagi.

- Saya membaca latarbelakang Tan Sri dan difahamkan Tan Sri mempelajari bidang ini hanya dalam tahun ketiga sewaktu di Otago Universiti, New Zealand, sedangkan disiplin ini telah mencorak Tan Sri seperti sekarang. Ada yang mengingatkan Tan Sri kalau balik ke Malaysia tiada kerja asrofizik ketika itu. Bagaimana Tan Sri boleh memilih bidang ini?

Persoalan kenapa saya menceburi dan menyukai bidang ini ketika di universiti kerana sewaktu di sekolah dahulu tiada buku berkaitan astronomi. Jadi saya tidak ada pendedahan kepada ilmu astronomi. Bila saya ke universiti saya mengetahui bidang astronomi atau astrofizik.

- Tiada rasa kesal sewaktu di Kolej Tengku Kursiah dahulu untuk mendalami bidang kesusasteraan atau sains? Walaupun demikian saya percaya minat dan pandangan Tan Sri mengenai kesusasteraan tidak pernah berubah.

Apabila saya memberitahu bahawa saya menjurus kepada kepada kesusasteraan dan seni, guru-guru beritahu negara ini memerlukan saintis, tidak memerlukan orang sastera. Masa itu saya berumur 15 tahun dan saya ikut sahaja. Tetapi ini adalah satu hikmah kerana saya jatuh cinta dengan ilmu fizik apabila saya dimasukkan dalam jurusan sains tulen. Melalui fizik itulah saya dapat melihat sains dan bagaimana penemuan metadologi sains masa itu adalah antara yang saya serasi dengan baik.

- Apabila Tan Sri mengikuti kursus astrofizik di New Zealand, ada yang mengingatkan Tan Sri nak jadi apa apabila balik Malaysia.

Betul. Tetapi masa itu masih muda dan tidak terfikir mengenainya. Cuma fikir apa yang membara di jiwa dan bila saya di universiti, saya baru lihat bahawa apa yang saya idamkan sebelum ini iaitu sastera, falsafah semua itu digembleng dalam astrofizik. Apabila kita buka buku astronomi kita lihat gambar yang cantik sekali. Misteri alam cukup memberangsangkan dari segi sastera dan falsafah. Bak kata orang, I come the full cycle apabila saya menemui bidang astrofizik itu.

- Tan Sri tentu tahu di kalangan orang Melayu ada pemahaman tentang ilmu bintang dan sebagainya, dalam karya sastera juga ada mengenainya. Itu hanyalah sebahagian daripada kewibawaan, kesenian dan sebagainya. Tetapi dari segi keilmuan, apa yang menarik minat Tan Sri kepada dunia astromi dan bintang?

Antara kesemua aliran fizik sama ada fizik nuklear, fizik atom, fizik bahan dan sebagainya, yang paling banyak misteri dan tak ketahui adalah dalam bidang astronomi dan astrofizik. Misalannya kita tidak mengetahui apa yang ada di alam samesta, adalah 95 peratus kita belum tahu dan faham termasuk falsafah agama, budaya, semua elemen itu perlu dimasukkan dalam membincangkan astronomi.

- Dalam dunia astronomi, ramai orang bertanya sampai hari ini. Adakah kita satu-satunya planet yang dihuni oleh makhluk dari berbilion bintang dalam cakerawala alam. Apakah realiti dan justifikasi mengenai perkara itu?

Itu sebab tiada justifikasi kita nyatakan sedemikian. Kita ada berbilion bintang dan galeksi. Jadi kalau kebarangkalian salah satu daripada..selain daripada bintang dan galaksi, setiap bintang boleh ada lebih daripada 10 planet dan planet itu pula boleh memiliki 10 lagi bulan dan sifar itu semakin banyak dan darab dengan 10 kali berapa kosong, sudah pasti bukan hanya satu. Ia mesti 10,100 atau mungkin sejuta. Jadi tiada justifikasi secara statistik untuk menyatakan kita sahaja yang wujud di alam semesta sebagai kehidupan. Tetapi kehidupan macam kita, mungkin kita unik. Yang kita kata semestinya ada, adalah kehidupan pada tahap sel atau mikro. Itu mesti ada di Marikh. Saya rasa dalam 10 tahun akan datang, kita akan jumpa kehidupan yang mikro.

Mazlan

- Selalu menjadi misteri dalam fikiran apabila kita mempelajari cakerawala, alam semesta dan sebagainya. Bumi satu-satunya ada penduduk atau manusia dan makhluk. Tidakkah kebarangkalian itu dalam konteks trilion ciptaan, ini abad ke-21 dengan segala teknologi dan kekuatan. Kita masih lagi belum memecahkan misteri ini?

Itu sebab kita sudah mengkaji dalam pelbagai aspek, satu ialah untuk kita mengesan peradaban di luar bumi. Ia memerlukan perkembangan kehidupan dalam satu tahap peradaban itu boleh berkomunikasi. Mikrot tidak boleh komunikasi. Ia mesti berkembang menjadi satu kehidupan yang berkomunikasi menerusi teknologi. Persoalan mengenai berapa banyak teknologi peradaban di luar sana memang satu persoalan memberangsangkan. Apabila persoalan itu untuk dijawab, ia mengenai peradaban. Peradaban itu isu sosiologi, bukan lagi isu sains. Kita kena faham apa yang akan berlaku kepada peradaban. Kita tahu peradaban sebelum ini timbul, mati dan begitu. Jadi mungkin sudah ada peradaban di luar bintang dan matahari, tetapi sudah mati. Dan banyak sebab mereka tidak wujud.

- Sewaktu pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau melihat keperluan ilmu dan sains sebagai satu bidang baharu, atau disiplin baharu. Oleh itu Tan Sri dibawa ke bahagian Planetarium di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dan kemudian permulaan penubuhan Agensi Angkasa Malaysia. Pada ketika itu mula perbincangan untuk menghantar orang kita ke angkasa. Bagaimana idea ini boleh datang?

Kita boleh lihat dari konteks Wawasan 2020 yang mana berimpian untuk menjadi satu negara maju. Dalam konteks ini dan sebelum itu lagi Tun Mahathir membincangkan bahawa ilmu sains angkasa antara ilmu yang penting sekiranya kita mahu menjadi tamadun yang berkehadapan. Supaya kita menjadi satu masyarakat yang saintifik yang mana kita menyumbang kepada ilmu bukan sahaja membina teknologi dan sains. Jadi kalau lihat masyarakat sebagai masyarakat yang berilmu dan kita tidak ada ilmu sains angkasa, tempang jadinya, tidak boleh begitu. Sebab itu Tun Mahathir sangat advocate bidang itu dan melabur dalam bidang ini.

- Malaysia berjaya menghantar seorang rakyat iaitu Dr Sheikh Muszaphar Shukor ke angkasa lepas menggunakan Soyuz, Rusia. Pada pandangan Tan Sri, apakah makna daripada peristiwa itu?

Apabila saya diminta pulang dari Vienna pada 2002, hasrat Tun Mahathir pada masa itu untuk saya membina Agensi Angkasa Malaysia. Saya balik dan buat program, satelit bagaimana untuk dibina, program, tetapi pada masa sama saya sentiasa ditemubual oleh media. Saya nampak setiap kali ditanya oleh wartawan, mereka akan tanya bila Malaysia akan hantar seorang warganegara ke angkasa.

Pertama kali saya menerima soalan ini, jawapan saya senang sahaja. Saya akan kata kita belum bersedia untuk menghantar warganegara kita sebab kita mesti bina infrastruktur, prasarana, sains dan industri sebelum kita boleh rasional untuk hantar orang Malaysia ke angkasa. Apabila saya bertemu Tun Mahathir, saya kata kepada beliau mengenai soalan mereka. Saya mohon Tun Mahathir untuk guide kepada jawapan itu. Mahathir kata, dalam mana-mana program inisiatif, kita perlu ada satu yang boleh memberi inspirasi, boleh menyatukan rakyat tak kira bangsa, tahap ekonomi, pendidikan, kita perlukan satu seperti itu. Inilah satu-satunya yang boleh menyatukan semua rakyat Malaysia. Dia tanya saya, adakah kita bersedia? 15 tahun lalu, saya berikan jawapan kita belum bersedia.

Jadi apabila dia tanya saya pada 2002, saya jawab dengan yakin kita bersedia kerana sudah ada keperluan. Apabila dia tanya berapa kos, bagaimana rancangan, yang jelas saya beri tahu program ini mesti program rakyat yang mana kita buka penyertaan kepada semua rakyat. Dia tanya berapa orang yang akan apply? Saya kata kepadanya saya jamin 1,000 orang akan hantar penyertaan. Apabila kita buka penyertaan, ada 11,000 orang yang hantar penyertaan. Kita dapat tapis dalam masa tiga tahun.

Malaysia menghantar angkasawan pertama ke ISS pada tahun 2007.

- Kos untuk menghantar seorang angkasawan tentunya besar. Saya difahamkan tidak kurang daripada RM80 juta. Bagaimana kita menampung perbelanjaan itu?

Kalau kita pergi market place tanya siapa boleh provide service untuk train dan launch angkasawan kita, lebih kurang AS$25 juta, lebih kurang RM80 juta. Tun Mahathir kata saya kena fikir cara lain untuk dapatkan dana. Jadi saya telefon Kementerian Kewangan tanya kalau saya dapat separuh dana, boleh atau tidak kerajaan tampung separuh lagi dan mereka kata boleh. Ini akan jadi projek kebangsaan. Namun pada ketika itu saya dapat surat daripada Kementerian Pertahanan, mereka tanya adakah proposal atau cadangan untuk program offset dengan Rusia. Offset maknanya, kita belanja sebanyak ini dan 10 peratus daripadanya ialah offset yang tiada kena mengena langsung dengan projek itu. Jadi saya tulis dua proposal, satu pelancaran satelit dan satu lagi pelancaran angkasawan.

Beberapa hari selepas itu saya pergi jumpa Datuk Seri Najib dan beritahu kita ada idea itu dan saya cadangkan yang offset adalah program angkasawan. Datuk Seri Najib bersetuju kerana dia tahu dengan program itu, dia punya payback dan publisiti amat tinggi. Kalau nak ikutkan berapa kami belanja untuk latihan dan pelancaran, kosong. Orang semua tidak tahu, apabila saya cuba jelaskan mereka tidak faham. Tetapi saya kena adakan funding untuk kajian sains tetapi tidak sampai RM10 juta.

- Selepas peristiwa itu, Tan Sri ada kata projek angkasawan itu bukan Tan Sri punya. Tan Sri ada sebut ia merupakan pengalaman pahit manis. Boleh Tan Sri kongsikan.

Manis dari segi melihat seorang angkasawan kita sendiri, itu cukup manis tetapi pahitnya banyak dalam tiga empat tahun macam-macam yang perlu dilakukan sebab setiap benda yang kita nak buat, belum pernah dibuat. Tiada peraturan, melanggar peraturan, jadi saya kena jalan jumpa pelbagai orang. Orang tidak nampak kepayahan itu, tetapi tiga empat tahun itu yang struggle.

- Kita telah sampai ke peringkat itu, namun masalahnya Malaysia tiada kesinambungan. Apa yang telah berlaku kepada program angkasawan itu sekarang?

Itu saya tidak boleh komen kerana saya telah bersara pada 2007, sejurus selepas pelancaran. Saya tidak lagi ada pengaruh atau kuasa untuk memberitahu bagaimana kita perlu bergerak. Program ini perlu dilanjutkan dengan rasional yang baik, saya maksudkan, sebab selepas angkasawan pertama dilancarkan, semua orang mudah kata mari lancarkan angkasawan kedua. Jadi saya tanya angkasawan kedua nak buat apa? Untuk apa? Semua orang tidak boleh jawab. Semua orang kata kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). Glamour begitu hebat. Mereka nak glamour duduk di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) enam bulan, mereka tak faham, kita tak boleh buat seperti itu, sebab kita bekerjasama. Kalau nak repeat apa yang Sheikh Muszaphar dah buat, tak guna. Kita mesti ada rasional dan justifikasi lain. Kalau saya, saya akan hebahkan apa sains dan teknologi yang hebat boleh dibuat agar ISS tidak boleh tolak sebab kita ada teknologi yang mereka perlukan. Maka itu justifikasi untuk program angkasawan kedua. Itu saya tidak nampak.

- Apa justifikasi Tan Sri untujk mewajarkan penyelidikan, kelangsungan ilmu dan disiplin ini?

Astronomi adalah ilmu sains tertua kerana kita ada pertalian dengan angkasa secara naluri, budaya, agama. Kita kena persue sains astronomi sebagai sains tulen, tetapi kalau kita lihat NASA statistik menunjukkan AS$1 yang mereka laburkan, mereka akan dapat balik AS$22. Yang penting kita lihat sekarang hasil daripada semua dilakukan di angkasa ialah kita ada GPS, telefon bimbit, tiada satu benda yang kita buat seharian tidak melibatkan angkasa.

- Kedudukan Tan Sri sebagai Pengarah United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA). Apa sebenarnya peranan Tan Sri di sana?

UNOOSA bertanggungjawab ke atas perundangan, peraturan, garis panduan, prinsip-prinsip angkasa yang sebelum ini sudah ada sejak 1967 kerana pada waktu itu 'fitbit' baru dilancarkan Rusia dan Amerika Syarikat. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) takut pada masa itu, ia akan menilai 'arms in space'. Tugas dan tanggungjawab pejabat saya untuk memastikan ada perundangan ini. Angkasa tidak boleh diurus oleh mana-mana negara. Jadi segala peraturan atau prinsip mesti dipersetujui oleh United Nation.

- Bagaimana hendak duplicate Mazlan, seorang ilmuan dengan pengalaman yang luar biasa?

Tidak boleh duplicate saya kerana apa yang saya buat hanya kebetulan, ada rezeki dan sebagainya. Sekarang ini mesti ada rancangan untuk membina orang supaya sampai kepada sebagaimana saya sampai. Kalau tengok kerjaya saya sejak di universiti buat kajian, pergi ke kerajaan untuk terlibat dengan polisi dan selepas itu pergi ke antarabangsa. Semua ini boleh dirancang.

- Apa nasihat Tan Sri kepada generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang sains?

Kepada mereka yang minat sains, sudah tentu mereka lihat sains adalah jalan ke arah menerokai ilmu yang hebat dan sains angkasa yang sangat mencabar. Kalau kita seorang yang berintelek dan suka cabar diri, cuba baca apa misteri alam semesta. Saya rasa sifat ingin tahu mesti dibina dalam kalangan orang muda. Sains akan membina sifat ingin tahu.

Felo Kanan Akademi Sains Malaysia (ASM), Profesor Emeritus Tan Sri Mazlan Othman ditemubual tokoh wartawan negara, Tan Sri Johan Jaaffar dalam program Bersama Johan Jaaffar yang berlangsung di Kompleks Karangkraf baru-baru ini.
Klik di sini untuk terus membaca