PEPERANGAN antara Rusia dengan Ukraine pada 24 Februari lalu telah melonjakkan harga minyak masak di Indonesia yang mempunyai penduduk keempat paling ramai di dunia. Negara yang mempunyai lebih 270 juta penduduk di dunia itu kini merupakan... Klik di sini untuk terus membaca

PEPERANGAN antara Rusia dengan Ukraine pada 24 Februari lalu telah melonjakkan harga minyak masak di Indonesia yang mempunyai penduduk keempat paling ramai di dunia.

Negara yang mempunyai lebih 270 juta penduduk di dunia itu kini merupakan pengeluar terbesar kelapa sawit dan minyak kelapa sawit terbesar di dunia.

Namun, berjuta-juta penduduknya terpaksa menghadapi kenaikan harga minyak masak yang diperbuat daripada tanaman itu selama beberapa bulan kerana ada ketikanya harga minyak melonjak sehingga kepada 30,000 rupiah (RM9.09) bagi setiap liter.

Krisis kenaikan harga itu menyebabkan Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih dikenali sebagai Jokowi dan Menteri Perdagangan, Muhammad Lutfi disaman baru-baru ini kerana gagal menyelesaikan isu minyak masak.

Presiden Indonesia, Joko Widodo disaman berhubung krisis harga minyak sawit. - Foto AFP

Aktivis-aktivis yang menyaman itu mewakili sejumlah pertubuhan alam sekitar seperti Sawit Watch, HuMa Collective, Forum Alam Sekitar Indonesia (WALHI), Lembaga Studi & Advokasi Masyarakat (ELSAM), Greenpeace Indonesia dan Pilnet Indonesia.

Kenaikan harga itu juga menyebabkan para peniaga kecil-kecilan seperti pembuat makanan ringan dan kerepek tempe terpaksa bijak menyesuaikan kos operasi supaya mereka boleh mendapat keuntungan dan antara langkah yang dilakukan ialah memberhentikan pekerja.

SUSAHNYA CARI MINYAK MASAK

Seorang ibu berusia 49 tahun, Setiana sanggup melakukan perjalanan ke sebuah pasar raya lebih dari satu jam dari kampungnya, Desa Baruharjo, Jawa Timur untuk membeli minyak masak sebanyak lapan liter untuk kegunaannya.

Bagaimanapun, permintaan ibu dua anak berusia 49 tahun itu mahu membeli minyak masak tersebut ditolak kerana pasar raya berkenaan membuat catuan terhadap produk tersebut.

"Saya marah dan memberitahu si penjual bahawa saya mahu menggunakan minyak itu untuk tujuan peribadi, bukannya untuk disimpan," kata Setiana yang pernah memperoleh pendapatan hingga 750,000 rupiah (RM227.23) sehari dengan menjual makanan ringan.

"Bagaimanakah kita boleh mengalami kekurangan minyak masak ketika Indonesia merupakan pengeluar utama minyak sawit?" soalnya seperti dilaporkan AFP.

Pada bulan Mac lalu, seorang ibu pengsan sebelum meninggal dunia ketika berbaris dalam cuaca panas di sebuah pasar raya mini untuk membeli minyak masak manakala seorang lagi ibu turut menerima nasib yang sama di sebuah pusat pemborong barangan.

Krisis itu turut menyebabkan peniaga mengubah suai kos operasi perniagaan bagi memastikan perniagaan tidak ditutup ketika harga minyak masak melonjak.

Justeru, seorang peniaga, Sutaryo yang menjalankan perniagaan kerepek tempe di luar rumahnya di Jakarta Selatan terpaksa memberhentikan empat pekerja bagi membolehkan perniagaannya terus bertahan.

"Setelah lonjakan harga minyak masak, kita harus bijak membuat pengiraan kos operasi. Pelanggan kami tidak memiliki pilihan lain selain menerima harga yang lebih tinggi untuk krepek tempe kami,” katanya seperti dilaporkan AFP.

PENGELUAR UTAMA MINYAK SAWIT

Indonesia mengeluarkan sekitar 60 peratus minyak sawit di pasaran global dengan sepertiganya digunakan di dalam negeri manakala India, China, Kesatuan Eropah dan Pakistan merupakan pelanggan utamanya.

Krisis tersebut menyebabkan Indonesia terpaksa menghentikan eksport minyak masak dan bahan mentahnya sejak April lalu sebagai usaha untuk menstabilkan harganya di negara berkenaan.

Bagaimanapun, Jokowi telah membuat kenyataan di saluran YouTube Sekretariat Presiden Indonesia bahawa minyak masak boleh dieksport semula dari negara itu mulai 23 Mei 2022.

Beliau membuat keputusan itu dengan mengambil kira harga dan stok minyak masak semasa dan 17 juta tenaga kerja dalam industri minyak sawit termasuk petani dan pekerja .

Berikutan keputusan itu, harga minyak masak curah atau tanpa label pada akhir Mei lalu dijual sekitar 18,300 rupiah (RM5.54) setiap liter, lebih tinggi daripada sasaran pemerintah iaitu 14,000 rupiah (RM4.24).

Dalam video YouTube itu, Presiden Indonesia berkata, beliau mengetahui harga minyak masak di beberapa kawasan agak tinggi, tetapi Jokowi percaya pada minggu-minggu akan datang harga akan menjadi munasabah atau mampu milik.

Beliau juga menekankan bahawa larangan eksport telah berjaya mengurangkan harga purata minyak masak daripada 19,800 rupiah (RM5.99) seliter sebelum larangan eksport kepada 17,200 -17,600 (RM5.21 - RM5.33) seliter.

Stok buah kelapa sawit dalam negara Indonesia juga meningkat berikutan larangan ekport tersebut.

Keputusan untuk menyambung eksport itu melegakan para petani kerana sebelum ini mereka berhimpun bagi memprotes tindakan Indonesia yang tidak mahu mengeksport minyak kelapa sawit.

Sehubungan itu, adakah krisis minyak masak di Indonesia akan berakhir dengan langkah-langkah yang dilakukan pemerintah Indonesia? - - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca