SHAH ALAM - Isu jalan raya rosak tidak akan selesai jika peruntukan yang disalurkan bagi penyelenggaraan kemudahan itu masih mengalami ketirisan di setiap peringkat agihan tender kepada kontraktor.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) disaran menguruskan sendiri pemberian tender kepada kontraktor dan menghapuskan amalan melantik syarikat konsesi seperti yang diamalkan sekarang.
"Selagi ada sumbangan politik, selagi ada pelobi di setiap peringkat dan selagi sistem penyelengaraan ini kena melalui kerenah birokrasi, maka isu jalan raya rosak ini tidak akan selesai.
"Di setiap peringkat mesti ada pihak yang buat untung atas angin. Contohnya bajet untuk buat jalan RM10 juta, tetapi hasil jalan yang dibuat nampak macam berharga RM500,000 sahaja.
"Ini kerana peruntukan itu sudah melalui banyak peringkat seperti kontraktor utama dan subkontraktor. Di peringkat ini akan ada pelobi atau pihak tidak berkepentingan mengambil untung.
"Mana peranan JKR jika pemantauan sudah diserahkan kepada pihak konsesi dan kontraktor utama," katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, ujarnya, sumbangan politik juga menjadi antara punca berlaku rasuah dalam sistem penyelenggaraan jalan raya di negara ini.
Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye pula berkata, ketirisan dalam sebarang projek penyelenggaraan jalan sudah lama berlaku dan masih belum dapat diselesaikan sehingga sekarang.
Menurutnya, satu jawatankuasa pemantau wajar ditubuhkan pihak berkuasa untuk memastikan tender kepada kontraktor diberi secara telus.
"Saya tidak menafikan rasuah itu berlaku. Apabila peruntukan itu telah diberikan kepada kontraktor, pihak berkuasa mesti mempunyai jawatankuasa untuk memantau setiap kontraktor.
"Jawatankuasa pemantau ini seharusnya meneliti pemberian tender itu dan meneliti kualiti kerja setiap kontraktor agar mereka tidak menggunakan bahan yang murah atau tidak sesuai.
"Apabila kontraktor menggunakan bahan murah dan tidak berkualiti, ia menyebabkan jalan raya yang dibina tidak tahan lama sekali gus menyebabkan pelbagai masalah seperti jalan berlubang dan berbahaya kepada pengguna,” katanya kepada Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Lam Thye menggesa semua kerajaan negeri mengumumkan peruntukan penyelenggaraan jalan yang diluluskan dalam bajet negeri setiap tahun.
Beliau berkata, rakyat perlu tahu peruntukan yang disediakan setiap tahun dan wang tersebut digunakan pada tempat yang sepatutnya.
CUACA JUGA PUNCA
Dalam pada itu, masalah cuaca seperti hujan dan suhu tinggi merupakan antara punca jalan raya mudah rosak sehingga mengundang kemalangan.
Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, terdapat sesetengah bahan pembinaan jalan raya yang tidak sesuai digunakan di negara ini khususnya di kawasan yang selalu hujan.
"Semasa hujan, air boleh menyerap masuk melalui celah di antara agregat dan asfalt serta bertindak di bawah tekanan tayar. Akibatnya, bitumen menjadi lebih rapuh, retak dan seterusnya membawa kepada jangka hayat turapan yang lebih pendek.
"Sebab itu mungkin ada sesetengah bahan pembinaan jalan yang kurang sesuai digunakan di tempat yang selalu hujan.
"Ini kerana negara kita banyak hujan berbanding dengan negara lain. Ketika saya pergi London dahulu, dalam setahun pun tak banyak sangat hujan berbanding negara kita,” katanya.
Mengulas lanjut, Teik Hua berkata, punca lain ialah masalah pengurusan penguat kuasa yang tidak sistematik.
"Pihak JKR sudah pasti ada satu sistem pengurusan penurapan yang mereka gunakan sebagai panduan untuk tahu berapa kali perlu mereka melakukan penyelenggaraan jalan."Tetapi jika sistem pengurusan mereka berkesan, kenapa jalan masih berlubang? Mereka mesti melihat semula sistem pengurusan mereka sama ada ia terkini atau tidak,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca