KUALA LUMPUR - Masalah jalan raya rosak, berlubang dan berlopak kini menjadi satu fenomena yang membimbangkan kerana boleh mengundang kemalangan.
Tinjauan Sinar Harian di seluruh negara mendapati ramai pengguna melahirkan rasa tidak puas hati dengan tahap kualiti jalan raya di negara ini kerana sering mengalami kerosakan.
Pelajar, Abdullah Syed Fadzli, 19, berkata, keadaan jalan di ibu kota masih belum mencapai tahap negara maju.
"Kualiti jalan perlu diperbaiki, banyak jalan berlubang dan berbahaya. Saya sendiri pernah hampir jatuh motosikal di Bukit Bintang disebabkan masalah itu.
"Kalau kawasan sedang dalam pembinaan kita faham jalan bermasalah sebab banyak lori keluar masuk, tapi kalau kawasan bandar raya, tak sepatutnya ada jalan berlubang dan turapan mestilah kemas,” katanya kepada Sinar Harian.
Abdullah berkata demikian sebagai mengulas video tular seorang penunggang motosikal dari luar negara mengkritik pihak berkuasa Malaysia kerana gagal membaik pulih jalan berlubang di negara ini.
Menerusi video berkenaan, penunggang motosikal berkuasa tinggi berkenaan mendakwa jalan raya di Peru adalah lebih baik.
"Kami melalui jalan yang begitu baik di Peru dan membuatkan ramai tertanya-tanya bagaimana Peru, sebuah negara miskin mampu mempunyai jalan yang baik,” kata penunggang tersebut.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Lukman Mohd Zahir, 34, berkata dia malu apabila pihak luar memandang rendah dengan keupayaan Malaysia yang didakwa gagal mengurus dan menyelenggarakan jalan raya dengan baik.
"Kita tahu keadaan jalan di Kuala Lumpur, fasiliti belum setanding negara maju. Kalau kita bawa kenderaan terutama kereta yang dah uzur, kita boleh rasa bergegar macam nak runtuh.
"Saya harap kualiti dapat ditambah baik dari masa ke masa khususnya di jalan utama seperti Jalan Klang Lama demi keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya.
Pada masa sama, dia berharap jurutera dan golongan pakar dapat melaksanakan penyelidikan bagi menambah baik kualiti penurapan jalan di ibu kota.
"Kalau tengok Arab Saudi, jalan di sana selesa, rata dan tidak kasar berbanding jalan di Malaysia.
"Pakar kita kena mainkan peranan bagi mencari bahan tar yang sesuai dengan keadaan cuaca kita,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca