SHAH ALAM - Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan wajar memulangkan semula elaun diterimanya sepanjang menjadi Ahli Lembaga Penasihat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).
Presiden Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM), Mohd Nizam Mohd Isa berkata, tindakan itu perlu dilakukan sekiranya Mohd Sidek seorang yang bermaruah kerana selama ini tidak perlu membuat apa-apa termasuk menghadiri mana-mana mesyuarat tahunan.
Beliau berkata, keutamaan selepas pendedahan yang dibuat Mohd Sidek ialah siasatan terhadap tujuan pelantikan beliau serta sama ada lantikan tersebut mengikut prosedur sepatutnya atau sebaliknya.
Menurutnya, pegawai kerajaan tidak sepatutnya menerima sebarang insentif tambahan yang tidak berkaitan dengan skop pekerjaan mereka.
"Pertama kena buat satu siasatan dahulu sama ada pelantikan itu mengikut prosedur. Kalau (elaun) itu bukan skop (tugas sebagai KSN) dia, memang kena pulang balik elaun berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Mohd Sidek dalam keterangannya pada Selasa semasa perbicaraan kes rasuah berkaitan penyelewengan 1MDB mendedahkan, beliau dibayar sebanyak RM30,000 tanpa perlu menghadiri sebarang mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah 1MDB.
Elaun tersebut diterima dari 1 Julai 2010 hingga 23 Jun 2012 ketika masih menjadi KSN.
Malah, Mohd Sidek juga dikekalkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah selepas bersara dengan elaun sebanyak RM10,000 sebulan sehingga Jun 2015.
Dalam sesi perbicaraan yang sama, Mohd Sidek berpandangan lantikannya sebagai lembaga penasihat syarikat itu dilakukan kerana ‘kebaikan hati’ Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengimbangi gaji bulanan diterimanya sebagai KSN.
Menurut Mohd Sidek, Najib semasa menjadi Perdana Menteri pernah bertanyakan berkenaan gajinya dan menyifatkan jumlah diterimanya sebanyak RM29,125 adalah rendah berbanding dengan tanggungjawab dipikul.
Mengulas lanjut, Mohd Nizam berkata, justifikasi diberikan oleh Mohd Sidek berkenaan keputusannya untuk menerima jawatan tersebut adalah sesuatu yang tidak dapat diterima.
"Pertama, sebagai orang kerajaan, integriti kenalah tinggi untuk menjadi contoh kepada orang lain.
"Kedua, tidak mungkin orang profesional yang tinggi jawatannya tidak faham perkara seperti ini. Beliau sepatutnya menolak jawatan itu kerana bukan skop dia.
"Kalau gaji itu dinaikkan kerana skop tugasan sebagai KSN, itu tidak ada masalah,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca